Dua minggu di kampung berlalu perlahan,
seperti embun yang enggan menguap di pagi hari.
Di sisi mak dan ayah, Nabila belajar tenang kembali. Menjadi anak bongsu yang manja dan sesekali mengada-ngada meminta dimasakkan mak pelbagai juadah tradisi Kelantan yang Nabila rindui sekian lama.
Mak juga tersenyum bahagia apabila hasil air tangan mak dipuji melangit sang anak. Hati mak berbunga-bunga.
Namun Nabila sudah tidak boleh berlama-lama di bawah ketiak mak.Zara sudah beberapa kali berkias-kias bertanyakan kepulangan Nabila ke La Flora. Pagi tadi, Zara sudah menelefon Nabila. Agaknya sudah tidak sabar menanti Nabila kembali ke La Flora.
“Kak Nab… Maaf ganggu.”
Suara Zara bergetar di hujung talian.
“Kita ada tempahan besar. Majlis perkahwinan anak Dato’ Arman.Dato' dan datin berhajat Kak Nab sendiri mengubah bunga di pelaminan. "
Nabila terdiam namun di sudut hati merafak kesyukuran kerana dato' dan datin sudi menempah hiasan pelamin dari Nabila waima perkenalan mereka hanya melalui teman-teman yang pernah menggunakan khidmat Nabila.
Bagi Nabila, setiap gubahan bukan sekadar susunan warna,
tetapi bisikan jiwanya sendiri.
“La Flora masih perlukan saya…”
bisiknya perlahan kepada mak, selepas makan malam.
Mak memandang anak bongsunya lama,
seperti cuba menghafal setiap garis wajah yang dibentuk oleh keletihan dan kasih sayang.
“Mak doakan kamu, Nab.
Tapi mak tetap akan rindu. Baliklah ke kampung jika Nab lapang. "
Nab memeluk tubuh mak dan ayah erat-erat. Tubuh tua mak dan ayah banyak berjasa kepada Nabila.Mak dan ayah tidak pernah merungut sepanjang membesarkan dan menyekolahkan mereka sehinggalah mereka semua menyambung persekolahan ke peringkat tertinggi. Betapa banyak air mata tumpah dan keringat yang mengalir kerana mak dan ayah hanya orang kampung yang menggunakan tulang tempat kerat untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.
Kuala Lumpur menyambut Nabila dengan kebisingan dan debu.
Namun dia tidak mengeluh.
Kerinduan pada La Flora lebih kuat dari segala kesesakan lalu lintas atau kekusutan rutin bandar.
Langkahnya berhenti di depan pintu kaca berukir bunga melati.
La Flora kelihatan seperti rindu juga.Sunyi,damai dan tetap wangi.
“Kak Nab!”
Zara hampir melompat, meninggalkan meja kaunter dengan senyuman dan air mata.
“Saya tahu akak akan balik… Tapi saya tak jangka kak sampai hari ini."
Nabila memeluknya.
Kedai ini bukan hanya tempat mencari rezeki,
ia adalah mimpi yang dibesarkan bersama Zara dan pekerja-pekerja.
“Terima kasih sebab jaga kedai ni.Kak tak bimbangkan La Flora kerana adanya Zara."
“Kak Nab, ini periuk nasi saya. Ini juga nadi hidup saya. Saya akan jaga seperti menjaga milik saya sendiri. Tapi kak, pelanggan tetap tanya, mana bunga tangan Kak Nabila? Katanya… lain benar sentuhan kak berbanding dengan kami."
Nabila membuka almari kayu kecil di sudut kedai.
Di dalamnya tersimpan kain renda, pita satin, dan gambar-gambar gubahan lama.
Dia menarik satu fail lama yang menyimpan sketsa reka bentuk pelamin yang pernah mendapat pujian ramai.
Tangannya mula bergerak. Menyusun mawar Ecuador, menyisip eucalyptus,
memetik sedikit kelopak ros putih yang segar dipetik pagi tadi oleh pekerja baru bernama Hafiz.
“Kak Nabila…” Hafiz bersuara hati-hati.
“Saya pernah kerja kedai bunga lain, tapi saya tak pernah nampak orang gubah bunga dengan tenang macam ni.”
Nabila senyum.
“Bunga bukan benda untuk dijual sahaja. Ia nyawa, Hafiz.
Bila kita hargai nyawa sesuatu… hasilnya akan hidup sendiri.”
Dalam dua hari bersengkang mata tempahan bunga Dato' Arman siap.Gubahan Nabila memukau pandangan mata.
Majlis Dato’ Arman menjadi sebutan.
Ada yang bertanya, "Siapakah tangan di sebalik pelamin berwarna champagne-rose itu? "
Nama Nabila kembali meniti di bibir pelanggan. Walaupun Nabila hanya seorang gadis kampung yang sederhana tapi Nabila kini sudah setanding dengan Ronald Ooi dan Valerie Fan.
Bibir mekar Nabila mengukir senyuman kecil.Pahit jernih dan pengorbanan membangunkan La Flora telah membuahkan hasil yang dibanggakan. Teringat pesan ayah setelah Nabila menyatakan hasratnya dulu untuk membina La Flora,
"Dalam hidup ini, setiap benih yang kita tanam
meski kecil, punya potensi jadi hutan.
Begitu jugalah perniagaan bunga Nab.
Jangan hanya anggap ini jualan bunga.
anggaplah ini perjuangan jiwa,
untuk membuktikan bahawa bangsa kita
juga mampu setanding bersaing megah di kota raya."
"Tapi ayah… bisnes ini kecil saja,
tak sebesar bisnes bangsa asing yang sudah lama bertapak…"
"Jangan pandang kecil pada apa yang kita usahakan.
Jangan ukur kejayaan pada saiz,
tapi pada niat dan tekad
yang tak henti untuk bangkit.
Biar bunga di tangan menjadi saksi,
bahawa anak Melayu ini tahu erti usaha,
tahu erti sabar, tahu membina dari bawah."
"Nab akan cuba, ayah. Tapi kadang-kadang Nab takut tak mampu pergi jauh."
"Kalau kau jatuh,
Ingat tangan ini yang dulu menggenggam tangan kecilmu
waktu kau belajar menulis, sekarang tulislah sejarahmu sendiri.
Buktikan, bukan pada dunia, tapi pada dirimu sendiri
bahawa Nabila bukan sekadar anak kampung yang biasa-biasa tapi Nabila tak akan goyah walaupun badai menerjah."
"Biar La Flora bermula kecil,
tapi kalau tekadmu besar,
ia akan tumbuh jadi taman yang menyembuhkan jiwa-jiwa."
La Flora, akhirnya tidak lagi hanya kedai bunga.
Ia menjadi tempat pulang bagi cinta yang tak bersuara,
tempat belajar untuk hidup kembali,
dan tempat mekar segala luka yang akhirnya ingin sembuh.
Nabila percaya, usaha kecil ini pasti tidak ke mana tanpa restu mak dan ayah.
Di balik setiap kuntum yang mekar,
ada air mata yang pernah gugur dalam diam.
Di balik setiap langkah yang tegap,
ada doa yang tak pernah putus di sejadah malam.
Kepada Adam juga dikongsikan gambar hasil pelaminan indah yang dihasilkan.
Nabila ingin tahu pandangan Adam kerana Adam juga seorang penggemar gubahan bunga.
"I arranged these myself… every bloom, every leaf, every corner. It’s not perfect, but I tried to let it tell a story." Nabila mengucapkannya dengan merendah diri
Adam terus membalasnya,
"Not perfect?"
"Nabila, this… this is more than flowers. This is soul. This is poetry in petals. You didn’t just arrange a pelamin. You’ve created a masterpiece."
"I just wanted to make something that speaks of joy…
...something that whispers beauty without shouting.
Maybe… something that reminds people of love that stays."
"And you did. This doesn’t just remind me of love, Nabila —
it feels like love. Like the kind you craft quietly,
petal by petal… until it becomes something divine."
Share this novel