CHAPTER 6

Romance Series 1533

Sudah berbulan-bulan lamanya Nabila berlayar di samudera maya. Laman demi laman dijelajahi bukan kerana ingin menambah kenalan, apatah lagi mencipta populariti palsu. Tidak. Niatnya tetap tulus—untuk meletakkan La Flora di puncak tertinggi yang mampu dicapai, agar setiap kuntuman yang disusun dengan jari dan doa, dapat dilihat dan dihargai oleh mereka yang mencari makna.

Namun, hidup memang tidak pernah berlayar dengan satu arah.

Tanpa disangka, kehadirannya di dunia maya membuka pintu-pintu lama yang selama ini tertutup rapi oleh masa dan jarak. Nama-nama yang dahulu pernah hadir dalam hidupnya kembali menyapa dengan senyum yang dikirim melalui mesej peribadi. Teman-teman sekolah yang lama terpadam dari ingatan tiba-tiba muncul dengan ingatan-ingatan manis:

“Masih ingat kita pernah duduk di barisan belakang kelas, berkongsi bekal dan ketawa diam-diam?”
"Nab, sudikah kita sambung kembali kisah silam kita yang terputus di tengah jalan?"

Nabila mengabaikan pesanan ini. Baginya kisah cinta lama telah dia padam dan buang jauh-jauh. Dia sudah menata hati. Kelukaan lalu jadi pengajaran dan pedoman supaya tidak terlalu melayan soal hati dan rasa kerana manusia itu sering berubah.

Kenalan baru pula datang seperti hujan yang lembut, menyapa tanpa dipaksa. Ada yang menyanjung usahanya, ada yang berkongsi kisah hidup, dan ada juga yang sekadar hadir memberi semangat:

“Bunga awak beri kekuatan. Saya doakan terus sukses.”

Nabila membaca satu per satu dengan hati yang mengembang. Kesibukannya di kedai bunga telah lama menjadikan dunia nyatanya kecil dan pada. Berputar antara kelopak, daun dan reben. Namun kini, layar kecil di tangannya membawanya kembali kepada dunia yang lebih luas… lebih hidup.

Dia tidak lagi merasa terasing.

Setiap notifikasi yang masuk bukan sekadar angka di skrin, tetapi sapaan-sapaan halus yang menyambung silaturrahim. Ia bagaikan benang-benang halus yang mengikat kembali jalinan lama yang pernah terputus, dan menenun jalinan baru yang tidak mungkin ditemui di lorong-lorong dunia nyata.

Dan dalam semua itu, Nabila menyedari
bahawa rezeki bukan hanya pada wang dan pelanggan, tetapi juga pada pertemuan yang membawa sinar, pada persahabatan yang hadir tanpa diduga, pada hati-hati yang mengingat tanpa perlu bersua.

Dulu, hidupnya hanya bercahaya di kedai bunga yang wangi dan tenang. Kini, cahayanya tersebar lebih jauh—menerangi dunia orang lain dengan sentuhan kecil yang tidak disangkanya punya makna. Bahawa sekeping gambar bunga dan sepatah kata dari hatinya mampu menjadi pelita dalam hidup insan lain, sungguh… itu anugerah yang tidak pernah dia pinta, tetapi sangat dia syukuri.

Di balik skrin, Nabila tidak lagi merasa sunyi. Dia tidak mencari cinta, tetapi dia temui kasih dalam bentuk yang halus, yang sopan, yang hadir tanpa memaksa, hanya menyapa.

Dan dia belajar satu hal yang indah:
Kadangkala, tuhan membuka jalan melalui medium yang tidak kita duga.
Kadangkala, di balik niat yang sederhana, tersimpan hadiah yang luar biasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience