Subuh masih berbalut embun ketika bas berhenti di Stesen Bas Kota Bharu. Langit kelabu menyambut seorang perantau bernama Nabila. Dengan tubuh yang letih, namun bersemangat menanti pelukan mak dan ayah.
Dingin pagi mencengkam hingga ke tulang, namun sebaik terlihat wajah ayah, hangat itu datang dalam diam. Wajah tua itu berdiri teguh. Menanti tanpa bicara, namun penuh makna.
Tanpa banyak kata, Nabila memeluk tubuh ayah yang kian susut dimakan usia. Rindu yang lama disimpan tumpah dalam sentuhan sederhana itu. Ayah tidak banyak bertanya, hanya sekadar menyapa, " Dah lama sampai, Nab?"
Namun pandangan matanya, seakan menyimpan sesuatu yang belum terucap. Nabila tahu, ayah sering memilih diam. Membiarkan mak yang menjadi jurucakap dalam apa sahaja urusan melibatkan anak-anak.
Perjalanan ke Tanah Merah mengambil masa empat puluh minit. Namun bagi hati yang rindu, setiap saat terasa panjang. Dalam hati, Nabila hanya mampu menghitung detik untuk pulang ke dakapan mak, dan menikmati air tangan yang tak pernah gagal menyentuh jiwanya.
Benar kata orang, masakan mak adalah bahasa cinta yang tidak pernah pudar, walau dunia berubah arah. Dan pagi itu, sebaik kaki melangkah masuk ke halaman rumah, aroma nasi dagang sudah menyambutnya bagaikan pelukan kedua. Di sisi nasi dagang, solok lada juga terhidang.Mak tak pernah lupa.Inilah yang dirindukan Nabila, lebih dari apa pun yang dunia bisa tawarkan.
Setelah memeluk mak dan mencium pipi dan dahi mak, Nabila dapat melihat ada bulir jernih menghiasi wajah tua mak.
"Mak rindu anak bongsu mak!!"
"Nab, berapa hari Nab bercuti?"
"Kalau boleh duduklah di rumah sampai hujung bulan ni!!"
Ayah memberikan mak isyarat supaya Nabila melepaskan lelah seketika.Namun seorang Nabila bukannya sabar untuk menyia-nyiakan juadah yang telah terhidang di depan mata.
Nabila duduk bersila. Mengambil suapan perlahan-lahan, seperti ingin mengekalkan rasa di lidah selama mungkin. Dia belum peduli apa agenda sebenar kepulangan ini. Belum mahu menyoal mengapa ayah diam, atau kenapa mak kelihatan sedikit berbeza?
Sekurang-kurangnya untuk saat itu, Nabila hanyalah anak yang pulang, dan pulang itu, indahnya luar biasa.
Setelah menikmati juadah, mak sudah tidak sabar untuk menyatakan hasratnya menyuruh Nabila pulang. Seolah perkara penting ini tidak boleh dilewatkan walaupun sesaat.
Usai suapan terakhir nasi dagang membelai lidahnya,
Nabila bersandar tenang.
Perut kenyang dan rindu terlerai.
Namun damai itu tidaklah lama.
Kerana mak, yang sedari tadi diam memerhati,
tiba-tiba bersuara.
Dalam nada yang terburu, dalam nafas yang tidak cukup.
"Nab, dua hari lepas... Iskandar dan keluarganya datang.
Is dah kerja di Dubai,
Dia bertanyakan Nab. Katanya dia nak meminang Nab.
Kalau boleh... hujung minggu ni bertunang,
dan tiga bulan lagi... bernikah.
Dia nak bawa Nab ikut ke Dubai.
Tak payah dah Nab susah payah jual bunga."
Kata-kata mak meluncur deras,
bagai anak sungai yang baru dilepaskan dari empangan sunyi.
Namun bagi Nabila,
tiap patah itu bagaikan halilintar menyambar dada.
Cerita itu adalah
cerita yang sudah lama dikuburkan,
tiba-tiba dihidupkan semula… tanpa amaran.
Iskandar.
Nama yang dulu pernah menghuni ruang hatinya,
kemudian pergi tanpa suara,
meninggalkan hanya satu pesan:
"Hubungan ini sudah tamat.
Dan Nabila, yang pernah berdarah oleh luka itu,
telah belajar berdiri,
telah belajar membuang nama itu
jauh dari ruang hidup dan mimpinya.
Bahkan dalam doanya pun,
nama itu tidak disebut.
Kini, Iskandar kembali.
Bukan sebagai bayang,
tetapi sebagai pelamar,
membawa khabar dari kota asing bernama Dubai,
dan seolah-olah semuanya mudah untuk bermula semula.
Mak nampak gembira,
wajahnya berbunga seperti musim yang lama tak berkunjung.
Bagi mak, ini adalah peluang.
Anak gadisnya bertemu jodoh.
masa depan yang lebih terjamin,
bebas dari jerih perniagaan dan hidup berdikari.
Tapi tidak bagi Nabila.
Kerana bagi dia, cinta bukan seperti pintu
yang boleh dibuka tutup sesuka rasa.
Hatinya bukan tanah kosong
yang boleh didirikan rumah atas sisa semalam.
Dan jiwanya belum siap untuk berhijrah,
bukan ke luar negara,
tapi dari luka yang belum sembuh sepenuhnya.
Dalam dirinya bergema satu suara:
"Tidak semudah itu, mak...
bukan kerana Nab berdendam,
tetapi kerana Nab pernah hancur."
Nabila tunduk membisu.
Langit di luar tetap biru,
tapi di dalam dirinya,
awan mendung mulai menggumpal.
Dia belum tahu bagaimana mahu menjawab.
Belum tahu bagaimana mahu menolak
tanpa menyakitkan hati mak,
yang hanya mahu melihat anak gadisnya bahagia.
Dan di antara sisa nasi dagang yang belum habis di meja,
dan rasa pahit yang mula merayap di hujung lidah,
Nabila tahu...
pulang kali ini bukan sekadar pulang.
Ia adalah pertemuan semula dengan masa silam
yang pernah dia anggap telah mati.
Share this novel