LANGKAH TERHENTI SEKETIKA

Romance Series 1533

Malam di bilik rawatan kecemasan itu tidak pernah benar-benar sunyi. Siren ambulans seperti deru nafas yang tidak pernah letih, datang satu demi satu seiring dentuman hujan di luar jendela. Dalam bilik pejabatnya yang hanya diterangi lampu meja, Dr. Emir masih tekun mencatat laporan kes seorang remaja lelaki iaitu satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang meragut seluruh ahli keluarganya.Mereka dilanggar lari oleh sebuah lori yang kini masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Kanak-kanak itu kini di ICU. Setiap tulangnya retak, sebahagiannya remuk. Femur, tibia, humerus, bahkan beberapa vertebranya semuanya seperti tidak lagi punya bentuk yang sempurna. Nafasnya tenang dengan bantuan mesin. Namun masa depannya tidak pasti. Terdapat keberangkalian dia tidak akan dapat berdiri semula atau pun akan terbaring untuk selamanya. Semuanya adalah ketentuan Ilahi. Ada kala, pesakit yang tidak punya harapan untuk hidup tapi mampu bertahan dan hidup sehingga ke usia tua.

“Dr Emir!”

Panggilan cemas itu datang dari arah koridor. Seorang jururawat bergegas masuk, mukanya pucat.

“Ada mangsa kemalangan baru.Kita diminta beri keutamaan. Parah.”

Tanpa bertanya lanjut, Dr. Emir mencapai kot putihnya dan melangkah keluar.

Di ruang trauma, suasana kelam-kabut. Dua paramedik menolak stretcher masuk. Di atasnya, seorang lelaki dalam lingkungan usia pertengahan 30-an, tubuhnya berselimut darah dan serpihan kaca. Haris iaitu seorang doktor pelatih yang sedang bertugas malam itu, sudah mula memeriksa mangsa sambil memberi arahan pantas.

“BP dropping fast. Tachycardic. There’s spinal fluid leakage. Suspected cervical and lumbar injuries,” ujar Haris, berusaha menahan getar dalam suaranya.

Mata mangsa hanya terbuka separuh.Wajahnya bengkak. Bibirnya pecah dan lebam. Nafasnya berat.Antara hidup dan mati. Dr. Emir mendekat dan segera memahami situasi. Hasil X-ray dan CT yang muncul tidak lama kemudian, mengesahkan jangkaan mereka.

Fraktur teruk pada tulang belakang iaitu dari vertebra servikal ke lumbal. Saraf tunjang terputus di beberapa tempat. Trauma dalaman pada pelvik dan pendarahan aktif di sekitar pundi kencing. Hancur. Bukan sekadar luka. Ini satu kesakitan yang akan kekal.

Haris terdiam lama di sisi mesin monitor. Jarum penanda tekanan darah turun naik. Dia melihat wajah mangsa yang kini tidak lagi menunjukkan reaksi. Seakan jasad itu menolak segala rasa.

"Haris..." suara Dr. Emir perlahan, tapi jelas, "He won’t walk again. Bukan hanya lumpuh... dia akan terlantar sepanjang hayatnya.”

Haris menggenggam jemarinya sendiri, menghalau gemuruh yang merayap ke dalam dada. “I know. But it still hurts… to say it out loud.”

Malam terus berlalu, namun bagi dua orang doktor dan seorang mangsa yang sedang bertarung antara harapan dan kenyataan, masa seakan beku. Di celah suara mesin, bau iodin, dan hela nafas yang tidak pasti, dunia seakan berhenti sejenak.

Dan dalam diam, Dr Emir tahu, ini bukan sekadar kehilangan fungsi tubuh. Ini kehilangan seluruh kemungkinan untuk berlari, untuk menari dalam hujan, untuk berjalan menuju cinta, atau melangkah menjauh dari duka. Mangsa itu, mungkin suatu masa dahulu seorang suami, seorang pencinta, seorang pemimpi… kini hanyalah seorang manusia yang perlu belajar hidup kembali, tanpa langkah.

Pagi kian menua. Suasana wad mulai hangat dengan derapan langkah jururawat, deru alat perubatan yang dipasang dan suara-suara lembut yang saling bertanya khabar. Namun di dalam hati Dr. Emir, masih ada ruang yang sunyi dan dalam
ruang tempat dia menimbang antara realiti, harapan, dan rasa yang tak pernah selesai.

Dia duduk sendirian di bangku panjang di hujung koridor, hanya ditemani sehelai kertas laporan dan sisa keletihan dari malam yang panjang. Pandangannya jauh, menembusi jendela kaca, melihat langit biru yang perlahan-lahan disaluti awan putih seperti kapas.

“Allah…” bisiknya dalam hati.

“Setiap hamba diuji, dan ujian itu tidak pernah sia-sia.”

Dia memejamkan mata seketika. Terbayang wajah pesakitnya yang masih belum sedar sepenuhnya, terlantar dengan tubuh yang kaku dan tidak berdaya. Bahkan mungkin tidak mampu mengurus dirinya sendiri sampai akhir hayat.

Emir menggenggam jari-jemarinya yang dingin. Lalu satu rasa yang asing menyeruak ke dasar jiwanya.Bukan sekadar simpati, tapi satu keinsafan yang menyelebungi diri.

“Ujian aku bukan seteruk itu. Aku hanya kehilangan seseorang yang aku cinta. Tapi aku masih boleh berjalan, berdiri, bekerja, tersenyum... walau hati masih luka.”

Air mata yang ditahan akhirnya menitis perlahan. Satu titik kecil, tapi cukup untuk melegakan beban yang lama dipendam.

Dia sedar, selama ini dia terlalu larut dalam luka cinta, merintih dalam diam tentang kehilangan yang tidak pernah sempat dimiliki sepenuhnya. Tetapi hari ini, dia melihat ujian yang jauh lebih berat. Pesakit-pesakitnya bukan sahaja kehilangan kebebasan jasmani, tetapi juga seluruh keupayaan untuk hidup seperti orang lain.

Dr. Emir mendongak ke langit, mengintai melalui kaca tingkap yang bersih.

"Ya Allah… Engkau Maha Tahu cara menguji hamba-hambaMu. Ada yang diuji dengan kehilangan cinta, ada pula yang kau uji dengan kehilangan seluruh hidupnya. Tapi Engkau tetap adil… kerana Engkau juga beri kekuatan yang tidak terlihat kepada mereka yang tabah.”

Dr Emir cuba tersenyum perlahan.Bukan kerana bahagia, tetapi kerana dia mengerti bahawa dalam kesedihan sekalipun, masih ada ruang untuk bersyukur kerana dia masih ada banyak sebab untuk terus tersenyum.

“Aku masih mampu berkhidmat. Masih mampu menyalurkan sedikit harapan untuk orang lain. Mungkin itu hikmahnya. Mungkin itu bahagianku dalam rencanaMu.”

Langkahnya kembali gagah. Dia bangkit dan melangkah semula ke wad, menelusuri lorong-lorong putih dengan jiwa yang sedikit lebih tenang. Dia tahu hidupnya tidak sempurna. Tapi dia juga tahu, di sebalik semua yang tidak dimilikinya, masih ada nikmat yang patut disyukuri.

Dan pagi itu, semangat Dr. Emir lebih luar biasa. Dia bukan sekadar seorang doktor pakar yang merawat pesakit tetapi dia juga adalah saksi kepada takdir.Setiap ujian datang dengan pelajaran, dan setiap kehilangan tetap menyimpan erti kehidupan yang harus diteruskan.
Belajarlah berdamai dengan kisah silam dan redha dengan segala percaturan takdir. Kebahagiaan pasti muncul akhirnya seperti hujan selepas kemarau nan panjang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience