Sudah hampir sebulan berlalu sejak Adam dibawa pulang ke bumi kelahirannya. Sejak itu, pagi Nabila bermula dan malamnya berakhir dengan nama Adam di bibir. Tiada hari tanpa doa. Tiada malam tanpa tangisan. Di La Flora, tempat cinta mereka mula berkembang, Nabila meneruskan hidupnya seperti biasa. Namun hanya zahirnya sahaja yang nampak gagah. Dalam diam, hatinya berkecai perlahan.
Dia masih setia menunggu khabar. Pesanan dikirim hampir setiap hari, ke nombor yang entah diaktifkan atau tidak. Panggilan kepada papa Adam jarang bersambut. Sekalipun berjaya disambungkan, jawapan yang diberi hanya singkat dan hambar.
“Adam is still unconscious. Please don’t call too often.”
Nabila tahu dirinya cuma menantu, bukan darah daging. Tapi hati seorang isteri tak akan mudah dipujuk. Setiap gambar Adam yang tersimpan dalam telefonnya menjadi pelarian saat rindu mula mengganas. Di kamar malam, dia tidur bertemankan wajah itu. Di siang hari, dia bekerja sambil berdoa agar takdir berpihak padanya.
Namun takdir itu… semakin hari semakin menjauhkan mereka.
Hari itu, langit mendung sejak pagi. La Flora sunyi dari suara Nabila yang biasanya ceria melayan pelanggan. Dia lebih banyak mendiamkan diri, membetulkan susunan bunga tanpa bicara. Di hati, ada rasa tak enak yang tidak mampu dijelaskan. Debaran halus yang tidak mahu pergi.
Sedang dia menyusun kuntuman mawar putih di rak tengah, seorang pekerja memanggil dari luar.
“Bos, ada surat berdaftar !”
Nabila menyambut sampul surat berwarna krim itu dengan sedikit hairan. Tercetak cop pos dari United Kingdom. Hatinya berdegup.
Perlahan-lahan dia membuka surat itu. Dan saat matanya menangkap ayat pertama, darahnya seakan berhenti mengalir.
Legal Notice of Divorce Proceedings
…on behalf of Mr. Adam Collen…
Kertas itu jatuh dari tangannya.
Langit seperti berputar. Nafasnya pendek, jantungnya berdegup kencang.
“Tidak… tak mungkin…” bisiknya.
Dia cuba melangkah, tapi tubuhnya tidak mampu berdiri. Lantai kayu La Flora menjadi saksi jatuhnya seorang wanita yang selama ini tabah menahan luka.
“Kak Nab!” jerit salah seorang pekerjanya. Mereka bergegas mendapatkan tubuh majikan mereka yang terkulai layu.
Suasana menjadi kelam-kabut. Ambulans dipanggil segera. Dan dalam masa singkat, Nabila dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Salah seorang pekerja La Flora segera menghubungi Dr Emir kerana Dr Emir kerap ke La Flora sebelum ini dan mereka juga telah ikut serta menggubah bunga di majlis hari lahir Datin Seri Mirinda. Dr Emir yang ramah mesra melayan mereka menyebabkan mereka sangat akrab dengannya.
Dr Emir bergegas ke hospital sebaik menerima panggilan. Dia meninggalkan mesyuarat penting hanya kerana mendengar nama Nabila dan “pengsan” dalam satu ayat yang disampaikan secara tergesa-gesa.
Setibanya di wad kecemasan, dia melihat Nabila sudah terbaring lemah di atas katil pemerhatian. Wajahnya pucat, tangan diinfus, dan dada berombak lemah.
“Dia pengsan di kedai bunga, doktor,” ujar Zara cemas. “Kami temui dia rebah sambil pegang surat. Surat tu dari UK. Saya rasa… surat penceraian.”
Wajah Dr Emir berubah.
Perlahan-lahan, dia menghampiri Nabila dan berdiri di sisi katil. Tangannya menggenggam tangan wanita itu, dingin dan lemah.
“Nabila…” bisiknya.
Tiada jawapan. Cuma helaan nafas yang perlahan.
Doktor bertugas memandang Dr Emir. “Dia alami kejutan emosi yang kuat. Denyutan jantung semasa tiba sangat tinggi. Kami beri ubat penenang. Sekarang dia stabil.”
Dr Emir mengangguk. Dia duduk di bangku kecil di tepi katil. Matanya tidak beralih dari wajah Nabila. Dan di situ, dia dapat melihat luka yang tidak berdarah tapi jauh lebih menyakitkan dari sebarang kecederaan jasmani.
“Nabila… mengapa hidup ini terlalu kejam kepada kamu?” bisiknya dalam hati.
Dia mengenali Nabila sebagai wanita tabah. Sejak pertama kali mereka bertemu, dia tahu ada sesuatu yang berbeza. Nabila gadis yang baik dan sangat istimewa. Namun ujian demi ujian datang bertimpa-timpa.
Adam, suaminya, satu-satunya tempat Nabila bersandar—masih terlantar koma. Dan kini… ada surat yang mahu merobek ikatan suci itu.
Siapa yang kejam ini?
Dr Emir tahu… Adam tidak mungkin memfailkan penceraian. Bukan Adam yang dikenalinya, lelaki yang menyambut tangan Nabila di hari akad dengan linangan air mata kesyukuran akan berubah dalam sekelip mata.
Pasti ini perbuatan papa Adam.
Sehelai kertas terlipat di sisi katil. Dr Emir mengambil dan membacanya.
Setiap baris meneguhkan telahan hatinya.
“Kenapa dia buat begini?” Dr Emir menggenggam surat itu, marah. “Apa salah Nabila?”
Beberapa jam kemudian, Nabila terjaga. Pandangannya kabur, tetapi perlahan-lahan wajah yang samar di hadapannya menjadi jelas.
“Dr Emir…?” suaranya lemah.
“Ya, saya di sini,” jawab Dr Emir, lembut dan perlahan.
Nabila menggigit bibirnya. Matanya bergenang.
“Dia… dia ceraikan saya, Dr Emir. Saya sudah merancang untuk ke UK minggu depan. Tapi…”
“Shhh… jangan banyak cakap. Awak perlu rehat.”
“Kenapa… dia tak pernah benci saya. Dia janji akan bersama saya… sampai tua…”
Dr Emir menunduk. Hatinya sakit melihat wanita yang dulunya kuat, kini rebah di hadapannya.
“Nabila, mungkin bukan Adam yang lakukan ini. Kita tahu dia masih koma. Kemungkinan besar, papa dia yang ambil keputusan sepihak.”
“Tapi surat itu… nama Adam yang tercatat…”
“Kalau itu benar, saya sendiri akan ke sana. Saya akan cari kebenaran untuk awak. Tapi buat masa ini, awak kena kuat. Jangan biar mereka hancurkan apa yang tinggal dalam diri awak.”
Air mata Nabila jatuh lagi. “Saya dah tak ada siapa. Saya akan ikut doktor ke sana…”
“Awak masih ada saya,” kata Emir, tegas. “Dan saya takkan biarkan awak jatuh sendiri.Kita sama-sama mencari kebenaran di UK”
Malam itu, di luar hospital, hujan turun perlahan. Di dalam bilik, Nabila tidur dengan air mata yang belum kering. Namun kali ini, ada seseorang di sisi yang tetap setia. Yang akan bertahan walau badai terus datang.Dr Emir menjadi pelindung, bukan kerana ingin mengambil tempat Adam, tapi kerana seorang wanita sebaik Nabila , layak disayangi… bukan dikhianati.
Dr Emir akan berjuang untuk Nabila. Nabila sepatutnya diberikan kekuatan bukan dihancurkan dengan sehancur-hancurnya tanpa rasa kemanusiaan. Ayah Adam harus bertanggung jawab atas setiap kelukaan Nabila.
Cinta sejati tidak akan membiarkan seseorang berjuang sendirian.Saat Nabila berusaha mempertahankan cintanya, Dr Emir pula berjuang untuk memastikan insan yang dicintainya berbahagia tanpa dikhianati.
Share this novel