Pagi merekah dengan harumnya angin yang menyapa dedaunan dan kuntuman yang masih segar berembun. Nabila melangkah ke La Flora dengan semangat yang disulam doa, setiap langkahnya adalah irama usaha mencari rezeki yang halal dan diberkati.
Kedai bunga kecil itu mula bernyawa. Pekerja-pekerja sudah pun menekan kad kehadiran, menandakan sebuah permulaan. Di satu sudut, Zara dengan tekun menggunting bunga yang sudah hilang serinya.Bunga-bunga yang layu dimasukkan ke dalam bakul khas sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang tersedia di bahagian belakang kedai bunga.
" Kak Nab mengapa mawar putih banyak yang layu?" Tanya Zara apabila melihat banyak bunga yang sudah hilang seri. Tidak seperti saat dihantar pembekal beberapa hari lalu
" Mungkin cuaca agak panas sehari dua ini atau pun "flower food "tidak diberikan secukupnya?" Kata Nabila menebak selepas diajukan soalan oleh Zara.
Meskipun harga bunga makin melambung dek musim yang tidak menentu, Nabila tidak pernah terfikir untuk menaikkan harga jualannya.
“Biarlah untung menipis, asal kehadiran pelanggan tidak surut,” bisik hatinya.
Sedang sibuk menyusun kuntuman mawar merah dan lili dalam pasu kaca buatan Itali, Zara tiba-tiba muncul dari belakang.
“Kak Nab... semalam saya nampak Dr Emir.” suara Zara lirih, seolah rahsia besar sedang terbongkar.
Nabila mengangkat wajah, mata mereka bertaut.
“Dia berdiri lama di balik cermin kaca. Seolah mengintip. Lama saya perhatikan... tapi akhirnya dia pergi.”
Nabila terkedu. Fikirannya melayang.
"Semalam... bukankah semalam saya ada!! Oh, baru saya ingat saya keluar sekejap bertemu Liya di restoran sebelah kedai kita?"
Zara menambah, seolah membaca hatinya.
“Tapi Kak Nab balik lambat semalam, kan? Selepas makan tengah hari baru muncul.Mungkin Dr Emir bukan sekadar ingin beli bunga tapi ingin bertemu pemilik bunga."
Jantung Nabila berdetak sedikit laju. Seperti ada gema yang tidak sempat ditafsirkan.
" Kenapa Dr Emir masih muncul? Bukankah sudah dijelaskan status aku kepada mamanya" Tapi Nabila cuba bersangka baik.
“Mungkin dia cuma nak beli bunga…”
Zara membalas cepat.
“Kalau sekadar beli bunga, kenapa harus mengintai dan kemudiannya pergi?”
Nabila terdiam. Benar. Kata-kata Zara ada rasionalnya. Tapi sebelum sempat hatinya menenangkan gelora, langkah tegap seorang lelaki muncul dari pintu utama.
Dengan senyum yang tenang, dan auranya yang sukar ditafsir, Dr Emir berdiri di hadapan mereka.
Wajahnya kacukan Melayu dan Arab. Seperti ukiran istimewa ciptaan langit. Mata tajamnya bertemu pandangan Nabila, dan dalam sesaat dunia seperti terhenti.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawab mereka serentak.
Nabila berusaha mengawal debaran yang membadai dadanya. Tapi angin seolah menyampaikan degupan itu kepada lelaki di hadapannya.
Dr Emir tersenyum. “Saya ingin membuat tempahan bunga… untuk hari lahir mama saya. Majlisnya lusa.”
Zara berlalu perlahan-lahan ke belakang, memberi ruang yang samar untuk dua hati berbicara.
“Warna apa yang Dr Emir mahu? Konsep bagaimana?” Nabila bertanya, cuba berlagak biasa.
“Panggil saya Emir. Tiada ‘Dr’ antara kita. Kecuali jika kau mahu jadi Ratu dalam hidup saya.”
Nabila terdiam. Nafasnya seperti tersekat di kerongkong. Tapi dia cepat-cepat mengalih pandangan ke meja gubahan.
“Saya tanya tentang bunga. Bukan tentang takhta.”
Emir ketawa kecil, tapi matanya tidak lepas dari wajah Nabila.
“Baiklah, saya mahu tema putih emas. Bunga ros putih dan orkid kekuningan. Mama saya menyukai sesuatu yang bersih dan lembut, seperti kasih seorang wanita... seperti kamu.”
Nabila menghela nafas panjang, berpura-pura menulis nota tempahan.
“Jangan bermain kata tuan doktor."
Emir mendekat sedikit. Tidak terlalu rapat, tapi cukup untuk suara hatinya bergema.
“Dunia tidak pernah mencipta sempadan cinta, Nabila.Saya tidak akan menyerah sebelum mencuba. Kamu mungkin gadis yang sederhana, tapi menyimpan kemuliaan yang saya cari selama ini.”
Nabila tidak tahu harus berkata apa. Tapi hatinya, cuba di kuatkan. Dia tidak mahu perasaannya goyah kerana kerana lelaki tampan yang berada di hadapannya.
“Dr tahu kan saya telah berpunya?” katanya perlahan untuk menyedarkan Dr Emir supaya tidak terus membuai perasan Nabila.
Emir mengangguk perlahan. “Ya. Tapi saya datang... bukan untuk merampas, tapi untuk menyampaikan.”
“Menyampaikan apa?”
“Bahawa dalam ramai wajah yang saya temui, hanya satu yang membuat saya ingin kembali setiap kali. Dan itu adalah wajah kamu.”
Suasana sepi seketika. Zara dari jauh memerhati, senyum kecil terbias di bibirnya.
Emir menyambung, kali ini nadanya lebih tenang:
“Cinta bukan selalu tentang memiliki. Kadang-kadang ia tentang keberanian untuk mengakui. Bahawa saya Emir, tidak pernah menyukai seorang wanita seperti mana saya menyukai seorang Nabila.”
Nabila memandangnya, mata mereka bertemu sekali lagi. Tapi kali ini, tiada siapa yang lari.
“Dr Emir… hidup saya sudah terlalu rumit. Jangan tambahkan lagi.”
“Saya tak datang untuk merumitkan. Tapi untuk mewarnai. Kalau Nabila izinkan.”
Nabila memejamkan mata seketika, menarik nafas panjang. Lalu dengan suara perlahan dan gemersik, dia menjawab:
“Mungkin kita tidak ditakdirkan untuk bersatu. Maaf tuan Dr."
Emir hanya tersenyum. “Dan ingat Nabila, saya akan berjuang sehingga akhirnya saya jadi pemenang atau pun pencundang."
Mereka berbincang tentang tempahan, tapi setiap kata yang terucap disulam dengan debar yang tidak tertafsir. Emir berlalu pergi selepas itu, meninggalkan wang pendahuluan dan harapan yang tergantung di udara.
Nabila memegang senarai tempahan, tapi hatinya memegang sesuatu yang lebih berat.Bait-bait kalimah Dr Emir dan keseriusannya menghantui perasaan Nabila.
Zara muncul kembali.
“Kak Nab...Dr Emir betul-betul serius suka kan kak?”
Nabila tidak menjawab. Dia hanya tersenyum pahit, lalu membisik dalam hati,
hati nan sekeping , ramai yang boleh singgah tetapi tak semua akan tinggal.
“Boleh jadi seseorang hadir sebagai matahari,
dan yang lain sebagai bulan.
Tapi hanya satu yang membuat jiwa kita pulang dengan tenang.
Share this novel