WAJAH YANG DIRINDUI

Romance Series 1533

Usai pulang dari London, sepatutnya Dr Emir terus pulang ke rumah.
Jet lag masih berlagu dalam urat nadi. Dr Emir kembali menyesuaikan diri dengan zon waktu yang berputar seperti biasa. Tetapi yang peliknya, langkah pertama Dr Emir sebaik tiba di tanah air bukannya pulang ke rumah, bukan juga ke hospital, tetapi ke La Flora. Dr Emir sedar, La Flora adalah tempat yang sering dia rindukan sepanjang dia berada di United Kingdom.

Sungguh, rindu itu terlalu berat,
Ada malam-malam,
bayang Nabila datang seperti tamu
yang tak pernah tahu bila harus pulang.
Dan Dr Emir… tidak pernah benar-benar ingin menghalaunya.

Dr Emir tahu,
ada tangan lain yang Nabila genggam,
ada doa lain yang Nabila aminkan,

Tapi rindu itu
tidak mahu mengerti tentang takdir.
Ia tetap tumbuh,
walau akarnya tidak pernah diberi air harapan.

Nabila tidak perlu menjawab rindu ini.
Biarlah ia menjadi rahsia
antara Dr Emir dan Tuhan yang tahu,
bahawa tidak semua yang kita cinta
perlu kita miliki.

Biarlah apapun kata hatinya,
Tapi Dr Emir tetap membulatkan tekad.
La Flora akan dikunjunginya.
Itulah destinasi yang pertama bertamu dalam fikirannya sejak pesawat mendarat.

Sudah beberapa minggu dia tidak melihat wajah Nabila, Gadis yang punya senyum sehalus embun, dan suara yang selalu menyapa dengan tenang.

Kali terakhir mereka bertemu, adalah sewaktu majlis ulang tahun mamanya. Nabila hadir sebagai penggubah bunga dan tetamu istimewa di hati Dr Emir dan keluarga.

Namun sejak itu, kesibukan di hospital menyelubungi hari-harinya. Tidak ada alasan kukuh untuk berkunjung ke La Flora. Dia tidak punya siapa-siapa untuk dihadiahkan bunga. Dan lebih getir lagi, orang yang dia ingin hadiahkan bunga… adalah penggubah bunga itu sendiri.

Loceng di pintu kedai La Flora berdenting lembut saat dia melangkah masuk.

Dan di situ, Nabila sedang menyusun bunga segar ke dalam baldi air. Wajahnya sedikit tertunduk.Sebaik mendengar bunyi pintu dibuka, dia menoleh dan senyumannya, seperti dulu, masih sama. Senyuman yang menawan sesiapapun yang memandangnya.

“Assalamualaikum, Dr Emir,” sapa Nabila, suaranya lunak dan tenang.
“Sudah pulang rupanya Dr Emir dari UK. Dah lama saya tak nampak Dr Emir.”

Senyuman itu.
Senyuman yang membuatkan seluruh isi jiwanya rebah dalam diam.

“Waalaikumussalam, Nabila. Ya, baru semalam sampai. Eh,.bagaimana Nabila tahu saya ke sana? Dr Emir kehairanan kerana walaupun dia dan Nabila saling menyimpan nombor telefon masing-masing tetapi mereka tidak pernah berhubung untuk bercakap hal-hal peribadi.

"Semalam mama Dr Emir datang. Dia singgah sekejap bertanyakan khabar." Terang Nabila.

"Entahlah Nabila, sebaik saja tiba di KLIA saya hanya teringatkan awak.Walaupun saya tahu, awak tak pernah sekalipun merindukan saya, dan hati saya pula tak pernah awak sambut." keluhnya dengan nada hiba dan berbaur kecewa. Dr Emir sendiri hairan dengan kata-kata yang meluncur laju dari bibirnya. Adakah asbab perbualan yang telah berlaku dengan lelaki Inggeris itu sedikit sebanyak mencalarkan perasaan serta meruntuhkan tembok percaya diri yang pernah dimiliki Dr Emir.

Nabila ketawa kecil, menyambut kata-kata itu dengan senyuman yang tidak pernah berlebihan, tetapi cukup membuat hati bergetar.

“Alhamdulillah.Terima kasih Dr Emir ingatkan saya. Orang baik, semua orang sayang." Ucap Nabila dalam nada bergurau sekaligus cuba meneutralkan keadaan."
" Semoga konferens di sana berjalan lancar?”

" Alhamdullillah.. sangat bermanfaat.Tapi entah kenapa, selepas semuanya selesai… saya rasa macam kehilangan sesuatu.”

Nabila terdiam sebentar, pandangannya jatuh kepada Dr Emir yang masih terus menatapnya seperti takutkan sebuah kehilangan.

“Kadang, bila kita keluar dari rutin, barulah kita sedar apa yang kita rindu.

Dr Emir cuba menggambarkan isi hatinya sendiri yang semakin ribut berkocak di dasar fikiran.

Dr Emir melihat sekeliling La Flora. Bunga-bunga ros, baby’s breath, tulip dan matahari tersusun rapi, segar dan hidup. Tapi tetap… tiada satu pun yang secantik pemandangan di hadapannya.

“Saya tak tahu nak pilih bunga apa,” katanya perlahan cuba mengalihkan topik perbicaraan di samping meleraikan segala keresahan .
“Sebab orang yang saya nak hadiahkan bunga… berdiri di depan saya.”

Nabila cuba mengawal raut wajahnya.

“Dr Emir suka bergurau.”

“Saya serius.”

Nabila senyap. Dia berpaling perlahan, seolah-olah mencari sesuatu di rak yang tidak perlu dicari. Dalam hatinya, dia tahu… ini bukan kali pertama isyarat itu muncul. Dr Emir pernah memberi harapan dan mengharapkan Nabila menerimanya. Tetapi Nabila juga sudah pernah menjelaskan…

“Dr Emir,” katanya perlahan.
“Saya minta maaf. Hati saya… sudah dimiliki.”

Emir menunduk. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Tapi kali ini, dia tidak mahu sekadar mengangguk dan berdiam.

“Saya tahu. Tapi kadang-kadang hati ni degil. Ia masih berharap… walaupun akal dah tahu keputusan akhir.”

“Kenapa doktor menyiksa diri?Hati nan sekeping tak boleh berbagi-bagi?”
Suara Nabila sedikit lirih, ada getar halus yang cuba disembunyikan.

“Sebab saya masih percaya… mungkin takdir ada rencana lain.”

Nabila memandang ke luar jendela.Jauh di sudut hati, rasa simpati terhadap Dr Emir semakin memuncak tapi Nabila tidak mungkin mensia-siakan Adam yang telah berjuang sejauh ini.

“Saya tak mahu beri harapan palsu. Saya akan bernikah tidak lama lagi” Berat tapi kebenaran terpaksa diungkapkan Nabila.

Emir tersenyum tawar. Tetapi dia tidak marah, walaupun ada rasa kecewa yang hadir tiba-tiba.

“Dia lelaki yang sangat bertuah.”

“Saya pun bertuah,” jawab Nabila.
“Kerana pernah bertemu seseorang seperti Dr Emir. Yang sabar, yang diam-diam mengambil berat tentang diri saya… walau dari jauh.”

Suasana hening seketika. Hanya kedengaran bunyi kipas dan dentingan pasu bunga yang disentuh perlahan.

“Saya akan tetap datang ke La Flora,” kata Emir akhirnya.
“Bukan untuk memenangi hati awak, tapi kerana… saya rasa tenang di sini.”

“Datanglah bila-bila. Pintu kedai ini sentiasa terbuka untuk orang yang baik seperti Dr Emir.”

Dr Emir mengangguk perlahan. Dia tahu, beberapa rasa tidak akan pernah sampai ke pelabuhan cinta. Tapi ia tidak bermakna dia tidak boleh menghargai pemandangan dari lautannya.

Sebelum melangkah keluar, Dr Emir masih sempat bergurau,

“Saya doakan awak bahagia, Nabila. Dan jika suatu hari nanti awak perlukan doktor untuk suami awak..hubungilah saya. Saya akan memberikan servis yang terbaik.”

Nabila tergelak kecil.

“Kalau dia terjatuh dari motorsikal atau tersasar ketika panjat pokok nak petik rambutan, saya pasti cari doktor ”

“Selagi bukan patah hati…”

“Itu, hanya Tuhan yang boleh sembuhkan.”

Dr Emir melangkah keluar dari La Flora dengan hati yang retak seribu.Dia tahu bukannya mudah perjuangan untuk mendapatkan cinta Nabila kerana dia hadir di saat Nabila sudah berpunya.Tapi salahkah untuk berharap kerana angan-angan dan mimpi adalah percuma? Dr Emir akan cuba melepaskan... dengan cara yang paling indah.Menyakitkan hatinya tapi tidak melukakan Nabila.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience