CHAPTER 10

Romance Series 1533

Langit petang itu mendung, seolah-olah awan turut sama menanti pertemuan dua hati yang lama tidak bersua.
Di sebuah kafe kecil yang dipenuhi aroma kopi dan nostalgia, Nabila dan Liya duduk berhadapan. Dua sahabat lama yang telah melalui liku hidup bersama, tapi kini terpisah oleh tuntutan masa dan urusan perniagaan yang tiada noktahnya.

Liya memandang Nabila dengan mata yang tidak pernah menipu.
Wajah sahabatnya tampak lain… Ada sinar yang halus, lembut dan berkilau di sudut matanya.
Bukan sekadar cantik tapi berseri, seolah bunga di hatinya sedang mekar dalam diam

“Kau nampak lain, Nab!! ,” ujar Liya sambil menyisip teh.
“Wajah kau bercahaya seperti bulan yang baru disentuh malam.”

Nabila tersenyum, cuba menyorokkan debarnya.
Namun mata sahabat itu terlalu arif membaca riak rasa. Setelah desakan yang lembut namun penuh makna, Nabila akhirnya membuka kisah.

Dengan suara yang perlahan, seperti sedang membaca sajak kepada langit, Nabila berkata:
"Aku tidak pasti perasan aku. Ada debar yang bertamu. Ada rindu yang bersemi.
Seseorang yang hadir… dari jauh. Tidak bersua, tidak bersentuh. Tapi kata-katanya menyentuh perasaanku.”

Liya mendengar dengan raut yang mula berubah.
Senyumannya pudar sedikit demi sedikit, diganti dengan garis kebimbangan yang merayap di wajah.

“Dari jauh?” soalnya.

“Dari seberang benua.”
“Namanya Adam.”

Liya memejamkan mata sejenak, menghela nafas seperti menahan gelombang di dadanya.

“Nab.. aku tahu kau wanita kuat, bijak, dan tak mudah goyah. Tapi dunia hari ini tak semuanya manis. Seseorang dari benua asing, dengan kata-kata manis yang datang tanpa sejarah… kau pasti dia bukan sekadar bayang yang mahu menipu?”

Nabila tersentak.
Namun dia tidak marah. Kerana Liya bukan sembarangan sahabat.
Dia adalah tiang doa, penjaga rahsia, dan dinding tempat Nabila bersandar saat dunia bergoncang.

“Aku tahu apa yang kau maksudkan,” bisik Nabila.
“Dan aku terima pandangan kau dengan hati yang terbuka. Tapi Liya… kadang-kadang, bukan mata yang melihat kebenaran. Tapi rasa yang Allah tanam dalam hati.”
“Instinct aku tidak menjerit… tapi ia berbisik dengan damai.”

Liya menunduk. Dia tahu Nabila bukan mudah terpedaya.
Namun sebagai sahabat, dia wajib bersuara, kerana kasihnya bukan sekadar pada senyuman, tetapi juga pada luka yang mungkin terjadi.

“Kalau itu bisikannya, maka pegang ia dengan akal dan doa. Jangan hanyut dalam mimpi yang belum pasti.”
“Siasat, perhati… bukan kerana sangka buruk, tapi kerana kau berhak menjaga hati kau.”

Mereka saling berpandangan.
Antara cinta dan logik. Antara firasat dan realiti.

Dan petang itu, kafe itu menjadi saksi dua wanita yang berdiri atas dasar kasih — seorang diambang rasa yang mula mekar, seorang lagi di sisi, sebagai penjaga yang tak mahu sahabatnya terjatuh dalam taman yang mungkin hanya ilusi.

Sebelum berpisah, Liya memeluk Nabila erat.

“Aku tak mahu menjadi tembok kepada rasa bahagiamu. Aku cuma mahu menjadi cermin, agar kau tak buta oleh cahaya yang mungkin palsu.”

Nabila membalas pelukan itu dengan mata yang berkaca.
Dia tahu, dalam dunia ini, tidak semua orang akan memahami getar hatinya.
Tapi jika ada satu suara yang dia akan dengar walau berbeza, ia adalah suara sahabat sejatinya iaitu Liya.

Dan di dalam hati, dia berbisik kepada Tuhannya yang Maha Mengetahui:

“Jika Adam hadir sebagai ujian, kuatkan aku. Jika dia hadir sebagai petunjuk, dekatkan hatiku kepada-Mu, bukan sekadar padanya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience