Dalam diam dan sabar yang tak pernah mengeluh, nama Nabila kini mula dikenali. Bukan sekadar di kalangan pelanggan setia, malah di bibir para pencinta seni gubahan dari pelbagai pelosok dan lapisan. La Flora, yang dahulu sunyi dan kecil, kini menjadi mercu harapan buat mereka yang mencari keindahan yang bukan palsu, dan makna yang bukan rekaan.
Nabila disapa lembut di ruang maya, disebut-sebut dalam hantaran yang dipenuhi pujian dan rasa kagum. Gaya gubahannya yang halus, padat dengan simbol dan rasa, menjadi inspirasi. Ada yang menjadikannya contoh, ada yang menjadikannya rujukan dalam berkarya. Tidak sedikit pula yang datang bukan untuk menempah, tetapi untuk menimba—menimba semangat, kesungguhan, dan kejujuran yang terpancar dari setiap jambangan yang disusun dengan penuh cinta.
Manusia hari ini, fikir Nabila, lebih petah di laman maya daripada di dunia nyata. Di ruang digital, wajah yang kelihatan garang dan tidak ramah berubah menjadi manis dan penuh bicara. Senyuman lebih mudah dikongsi dalam bentuk emoji, dan penghargaan lebih mudah dilafaz melalui mesej peribadi. Namun Nabila tidak berkecil hati. Kerana dia tahu, setiap hati tetap mencari keindahan, walau dari balik skrin.
Tempahan yang masuk kini bukan sekadar dari si dia yang mahu menghadiahkan mawar merah kepada kekasih, atau ibu yang menyambut hari ulang tahun anak. Kini, meja kecilnya dibanjiri tempahan dari syarikat-syarikat besar, institusi ternama, dan acara-acara berprofil tinggi. Ada yang menempah 50 jambangan serentak untuk pelancaran produk, ada yang meminta ratusan tangkai untuk majlis korporat yang gilang-gemilang.
Dari pagi hingga malam, Nabila sibuk menyusun, merancang, membungkus, menghantar. Kadangkala tangannya luka dek duri mawar, namun dia tidak pernah mengeluh. Peluh yang menitis tidak terasa membebankan, malah menjadi bukti bahawa impiannya sedang subur berkembang. Dia berlari mengejar masa, namun hatinya tenang—kerana dia tidak lagi mengejar apa-apa yang bukan miliknya.
Dalam kesibukan itu, tanpa disedari, soalan-soalan lama yang sering membingitkan telinga... kini semakin tenggelam.* Bila mahu berkahwin?Tidak rindukah pada cinta? Sampai bila mahu sendiri?"
Semuanya bagaikan kabus pagi yang perlahan-lahan menghilang. Dia tidak lagi memikirkannya. Hidupnya kini dipenuhi jadual, pesanan, perancangan. Pagi dia bermula dengan bauan bunga segar, malam dia akhiri dengan senarai pesanan esok hari. Tiada ruang untuk sunyi, tiada ruang untuk gundah.
Dan anehnya, dalam kesibukan itu… dia bahagia.
Bukan kerana dia menolak cinta, tetapi kerana dia telah menemukan cinta dalam bentuk yang lain. Cinta kepada pekerjaannya, kepada pelanggannya, kepada harapan-harapan yang disematkan pada setiap jambangan yang dihantar keluar dari pintu kedainya.
Nabila kini bukan sekadar usahawan. Dia penyulam rasa, pelukis jiwa dengan warna-warna semula jadi. La Flora adalah dunia kecilnya yang telah tumbuh menjadi taman luas, di mana cinta, harapan dan keindahan bertaut dalam satu ikatan yang suci.
Dan di taman itu, dia memilih untuk terus mekar… walau tanpa seseorang di sisi. Kerana dia tahu, apabila tiba masa yang tepat, Tuhan pasti akan menghantar suatu terindah dalam hidupnya—yang bukan sekadar menyapa, tetapi tinggal, dan mekar bersamanya.
Share this novel