Bab 33

Horror & Thriller Completed 25385

Sebaik tiba di muka pintu menghala ke dapur, Saiful terhenti di situ. Terperanjat melihat lantai dan atas meja makan bersepah dengan barang dapur. Kuali dan periuk berselerak di atas lantai. Pinggan mangkuk pula banyak yang pecah. Matanya beralih pula kepada kabinet dapur. Penuh dengan tepung yang memutih atas bench kabinet. Semua barang dapur sudah berubah kedudukan.

“Kenapa sampai bersepah macam ni sekali? Seingat aku... malam tadi semua masuk tidur lepas dengar suara orang ketawa dari bilik kecik tu!” Saiful memandang sekitar dapur. Ada beberapa mangkuk dalam singki yang berlumuran dengan tanah.

Dia ambil roti dari atas meja dan terus membakarnya. Sementara menunggu roti bakar siap, Saiful membancuh pula seteko kopi ‘o’ panas. Matanya masih melilau melihat keadaan dapur. Pertama kali kejadian seperti ini berlaku di rumah itu.

“Pul! Kau masak apa?” Ajid muncul di muka pintu dapur. Matanya memerhati sekitar dapur.

“Pul... kenapa dengan dapur kita ni? Bersepah macam tongkang pecah! Kau buat sarapan apa sampai bersepah macam ni?” Ajid mendekati Saiful.

“Kau ingat aku ni pengotor ke? Aku pun hairan ni. Masa aku masuk ke dapur tadi, keadaan dapur dah macam ni. Bersepah sana sini. Kau tengok dalam singki tu, siap ada tanah melekat pada pinggan tu!” Saiful tuding ke arah pinggan mangkuk yang berlumuran tanah selut.
Ajid menghampiri singki. Dia menjenguk pinggan mangkuk yang sudah kotor. Habis semuanya dilumuri tanah. Dia berkerut kening. Siapa punya kerja ni?

“Kenapa jadi macam ni? Malam tadi rasanya okey aje.” Ajid menggaru kepala. Kain pelekat diselimutkan hingga ke bahu.
Saiful memandang Ajid yang masih berselimut dengan kain pelekat.

“Kau tak ada kelas ke?”

“Ada... lambat sikit. Aku pergi dengan Azhar ajelah nanti.” Ajid masih menguap. Dia melangkah malas ke ruang tamu bertujuan untuk sambung semula tidur.

“Mak! Hantuuuu!!!!”

Tersembur air kopi yang diminum Saiful mendengar jeritan Azhar dari tingkat atas. Ajid yang baru hendak baring di sofa terus bingkas bangun menuju ke dapur. Saiful dilihat masih di dapur menikmati roti bakar. Mereka berpandangan seketika. Jam di dinding sudah hampir tujuh setengah pagi.

“Eh Pul! Mana ada hantu pagi-pagi macam ni… kalau malam tadi tu ya la.” Ajid memandang Saiful yang mengesat mulutnya yang comot.
Mereka berdua segera ke tingkat atas menuju ke bilik Azhar. Pintu bilik Azhar tidak berkunci.

“Har ! Kau okey ke?” Saiful terus masuk ke bilik bersama Ajid.

Melilau mereka mencari Azhar. Azhar tidak ada atas katil. Mereka jenguk pula di bilik air. Pintu bilik air ditolak kuat. Kelihatan Azhar sedang menyorok di bawah singki bilik air dengan wajah pucat.

“Har... kau kenapa ni?” Saiful pegang bahu Azhar yang terketar-ketar di situ.

“Aku... aku nampak hantu tadi!” Azhar tunjuk ke arah almari bajunya.

“Mana ada hantu siang-siang macam ni!” Ajid pula menyampuk.
Sebenarnya dia juga turut berasa takut bila melihat Azhar seperti orang hilang akal.

Saiful segera ke almari baju bila melihat jari Azhar menuding ke arah itu. Dia buka pintu almari. Tiada apa-apa. Dia beralih pula ke arah katil. Dia tengok bawah katil. Juga tiada apa-apa di situ.

“Tak ada apalah Har. Kau berangan kot!” Saiful melangkah semula ke bilik air. Azhar masih duduk di situ sambil memeluk lutut.

“Dah! Jom bangun. Kita sama-sama ke kelas.” Saiful tarik tangan Azhar.

Pagi itu Saiful terpaksa tunggu Azhar dan Ajid bersiap untuk sama-sama ke kampus menaiki kereta Azhar. Sempat Saiful melangut di sofa di ruang tamu. Benaknya ligat memikirkan kejadian malam tadi dan apa yang berlaku sebentar tadi di dapur. Sementara menunggu Azhar dan Ajid bersiap, dia kembali ke ruang dapur, mengemas dan membersihkan pinggan mangkuk yang sudah kotor.

DALAM kelas, Saiful masih memikirkan kejadian yang menimpa Azhar tadi. Dalam hati dia berkira untuk bertanya Azhar lepas habis kelas nanti. Pagi tadi dia tidak sempat bertanya lebih. Selesai sahaja kelas, Saiful mula mengajak Azhar ke kafeteria. Ajid pula sudah ke perpustakaan mencari bahan rujukan sebaik kelas habis pukul sebelas tadi.

“Pul! Kau dah habis kelas?”

Dari jauh Saiful melihat Ajid sudah tersengih kepadanya dan Azhar. Dia turut melambai.

Ajid mula mendekati mereka berdua dan duduk di sebelah Azhar yang kelihatan masih kebingungan.

“Har... aku tanya sikit boleh? Sebenarnya kau nampak apa pagi tadi?” Saiful mula mengorek cerita dari Azhar fasal kejadian pagi tadi.
Azhar masih kebingungan. Sekejap dia mendongak ke arah langit. Seketika kemudian dia pandang pula Ajid di sebelahnya.

...bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang ada di fikiran Azhar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience