Bab 42

Horror & Thriller Completed 25385

“Pul... kau... kau nampak tak apa yang aku nampak?” Ajid tersekat-sekat bersuara. Tangannya memaut kuat lengan Saiful yang berdiri di sebelah.

Saiful tidak berani bersuara. Dia hanya mengangguk. Matanya masih melekat pada perempuan cantik yang dari tadi tidak berkelip memandang ke arah mereka berdua. Dia seperti dipukau oleh renungan perempuan itu yang masih berdiri di situ. Memang sah perempuan itulah yang dilihat dulu yang tidur di sebelah Azhar. Rambut panjang mengurai hampir mencecah kaki.

“Pul! Kau nampak tak tu?” Ajid mula menuding jari ke arah perempuan berbaju putih itu sambil menelan liur. Liar memandang tubuh perempuan itu. Jantungnya berdegup kencang sebaik terpandang susuk tubuh perempuan itu yang nyata seperti tiada jasad apabila angin mula meniup.

Hanya baju sahaja yng meliuk lentuk bergerak apabila ditiup angin begitu. Dia pandang pula ke arah bawah. Baju labuh perempuan itu menutupi kakinya. Namun, apabila ditiup angin dari arah pintu belakang dapur, Ajid melihat dengan jelas hanya ada ruang antara lantai dan hujung kain labuh yang dipakai perempuan itu. Sekali lagi Ajid menelan liur. Dia memandang Saiful di sebelah yang masih diam membisu.

“Pul! Kau dengar tak ni??” Ajid goncang bahu Saiful yang masih terpaku di situ.

“Ajid! Tu lah perempuan yang aku nampak malam tu!” Saiful menarik tangan Ajid yang mula ingin beredar dari situ.

Ajid yang mula ketakutan sudah tidak hiraukan kata-kata Saiful. Dia terus berlari keluar dari situ menuju ke pintu utama. Kakinya laju meredah malam yang gelap pekat. Berlari sekuat hati!

Saiful yang masih terkedu di situ hanya mampu melihat perempuan itu senyum kepadanya. Kumat-kamit mulutnya membaca ayat suci al-Quran yang terlintas di fikirannya tika itu. Mata dipejam rapat. Sebaik dia habis membaca walaupun dirasakan lintang pukang, perempuan itu sudah tiada. Perlahan dia mengundur dan terus melangkah laju keluar dari rumah. Dia terus berlari membiarkan pintu rumah terbuka luas. Tanpa menoleh ke belakang, dia terus menghayun langkah menuju ke seberang jalan yang agak cerah. Tiba di simpang, dalam cahaya samar lampu jalan, dia melihat Azhar sudah terjelepok di atas jalan seorang diri sambil mengerang kesakitan.

“Har! Kau okey?” Saiful mula mendekati Azhar yang kelihatan menahan sakit. Darah mengalir laju di kepala lututnya akibat terjatuh dan bergesel dengan jalan tar.

“Pul! Kaki aku! Argghh!” Azhar mengerang kesakitan. Dia menekup lututnya dengan kedua belah tangannya. Luka pada lututnya agak dalam.

Saiful yang masih kebingungan cuba mengangkat Azhar ke bahu jalan. Dia sempat menahan sebuah kereta yang kebetulan lalu di jalan itu, namun tidak dihiraukan. Mereka berdua terus berjalan ke restoran yang selalu mereka singgah.

“Har, kau boleh tahan ke sakit tu?” Saiful mula membalut luka Azhar dengan kain pelekat yang sempat disambar semasa berlari keluar rumah.

Azhar hanya mengangguk. Dia memandang sekeliling. Pelanggan restoran lain semua melihat ke arah mereka. Wajah masing-masing seperti merenung tajam ke arah mereka berdua.

“Pul, mana Ajid?” Azhar mula bertanyakan kawan serumah seorang lagi.

“Entah! Dia lari keluar tinggalkan aku seorang diri di dapur! Bengang aku!” Saiful merasa sedikit cuak dengan sikap Ajid yang berlari keluar begitu sahaja.

“Pul... aku tak berani balik ke rumah tu malam ni. Kita duduk sini jelah ya. Pagi esok baru kita balik!” Azhar tergagap-gagap sambil menahan sakit. Dia pandang lagi sekitar restoran itu. Masih ramai pelanggan walaupun waktu sudah hampir larut malam.

“Aku pun. Nasib baik restoran ni buka 24 jam!” Saiful mula mengelap peluh yang menitik. Penat berlari masih terasa. Dia jenguk ke luar restoran. Mana tahu Ajid berlari ke arah situ.

“Kau rasa Ajid datang sini tak?” Azhar turut memandang keluar. Terjenguk-jenguk mencari kelibat Ajid.

“Entahlah! Dia dulu yang lari tadi. Aku last sekali keluar dari rumah tu! Seram aku! Kau nampak tak perempuan cantik tu?” Saiful mula teringat wajah perempuan cantik yang tersenyum kepadanya di dapur tadi.

Azhar mengangguk. “Masa aku buat kopi tadi, aku dengar ketukan di pintu belakang. Aku bukalah. Nampak aje perempuan tu aku terus terkedu. Perempuan tulah yang aku nampak duduk kat buai depan rumah dan perempuan itulah yang aku nampak tidur atas katil kau tu! Entah kenapa perempuan tu mula mengilai panjang! Aku apa lagi, cabutlah!” Azhar mula bercerita.

Dia meneruskan ceritanya. Setelah mendengar perempuan itu mengilai, dia terus berlari keluar dari pintu belakang. Kakinya terasa tidak menjejak tanah. Sampai saja di simpang, dia terkejut bunyi hon sebuah lori yang tiba-tiba muncul. Dia cuba mengelak dan tercampak lalu terjatuh di atas jalan tar.

...bersambung
Bab akan datang:
Apakah kejadian yang menimpa perempuan itu suatu ketika dahulu? Apa yang diinginkan sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience