Bab 16

Horror & Thriller Completed 25385

“Eh... aku rasa tadi Pul letak serpihan papan buai tu kat atas ni. Mana pulak perginya papan tu?” Ajid garu kepala. Dia menari sekitar pangkin dan di bawah pangkin. Tidak ada!

“Hmm... pelik.” Ajid hanya sengih. Mungkin papan itu sudah terjatuh di mana-mana. Sebatang rokok dikeluarkan dari poket seluar. Dia mula menghisap rokok dengan penuh khusyuk. Asap rokok dihembus perlahan. Berkepul bulat bentuk asap yang dihembus. Pernah dia bertanding dengan kawannya siapa yang paling cantik membentuk asap rokok bila dihembus. Ajid senyum sendiri. Sedang asyik dia menikmati rokok, tiba-tiba dia terdengar satu suara menegurnya.

“Seronok hisap rokok bang…”

Ajid berpaling. Tiada sesiapa di situ. Dia mula memasang telinga. Mana tahu suara tadi muncul lagi. Senyap.

“Siapa tu?” Ajid cuba bertanya. Masih senyap.

Ajid melihat sekitar pangkin dan sekitar pokok manggis. Tiada sesiapa di situ. Dia mula gementar. Jantungnya mula berdegup kencang. Matanya melilau melihat sekitar laman. Pandangannya terhenti di pokok buluh yang rendang. Ada sesuatu melintas di situ. Angin kuat tiba-tiba menerpa menyebabkan buai berayun sendiri. Dia menelan liur. Cepat-cepat dia masuk ke dalam rumah.

Malam itu, selesai solat maghrib, Saiful mula ke dapur. Peti sejuk dibuka. Saiful bersiul-siul kecil. Bahan basah yang dibeli tadi mula dikeluarkan dari peti sejuk. Dia mula memasak. Ikan dan sayur dimasak ala kadar saja. Mana yang dia tahu saja.

“Hmm... ikan ni aku goreng kicap aje. Sayur ni pun aku goreng.” Saiful ketawa sendiri. Memang itupun yang dia tahu. Lain dari itu, kirim salam! Itu saja yang selalu dia buat semasa menolong ibu memasak dulu. Dah bujang macam ni, masak mana yang ringkas sahaja.

“Mana Ajid ni? Takkan solat maghrib lama sangat? Wirid ke apa?” Saiful jeling jam di dinding. Hampir lapan setengah malam. Rajin benar kalau Ajid tu berwirid.

Dia hidang pula lauk di atas meja. Nasi dari tadi sudah siap dimasak. Dia jenguk ke ruang tamu. Mana tahu Ajid sudah ada di situ sedang menonton tv.

“Mana Ajid ni? Dah la tak tolong aku masak. Pandai nak melantak aje dia tu!” bebel Saiful lagi.

Saiful mula mencuci pinggan mangkuk yang digunakan untuk memasak tadi. Meja di tepi singki dilap sehingga bersih. Erk! Terkejut. Matanya tertancap pada kelibat yang melintas di cermin tingkap dapur.

“Apa tu?” Saiful beranikan diri membuka cermin tingkap. Dia intai ke laman belakang. Tiada sesiapa.

“Hmm... pelik. Aku nampak jelas tadi macam ada orang kat luar tu.” Cermin tingkap dapur ditutup semula.

“Manalah mamat ni?” Saiful menutup lauk yang sudah siap dihidang di bawah saji. Dia mula melangkah ke tingkat atas menuju ke bilik Ajid. Sewaktu melangkah ke tingkat atas, sempat dia melihat pasu bunga kecil di atas meja di tepi tangga. Pasu itu dihias cantik dengan bunga daisi putih. Siaful berkerut kening. Mana pulak datangnya bunga tu? Seingatnya masa mula-mula masuk ke rumah itu tiada satu pun bunga dalam pasu itu. Hmm.. .agaknya aku yang tak perasan bunga tu. Saiful tersengih. Dia melangkah menuju ke bilik Ajid.

“Ajid! Buka la pintu ni!” Saiful ketuk pintu bilik Ajid bertalu-talu. Senyap. Dia ketuk lagi.

“Hish! Manalah Ajid ni? Takkan dah tidur kut. Belum lagi pukul sembilan!” Saiful garu kepala.

Saiful cuba pulas tombol pintu.

“Laa... tak berkunci rupanya.” Saiful senyum. Dia meolak pintu bilik Ajid. Dia lihat Ajid berselimut lingkup atas katil. Memang tepat sangkaannya tadi. Ajid membuta atas katil! Malas!

“Ajid! Mari makan! Aku dah masak tu! Kau ni asyik membuta aje!” Saiful menggoncang bahu Ajid.

Ajid tidak bergerak. Masih berkelubung dengan selimut.

“Hoi! Bangunlah! Kau dah solat maghrib belum ni?” Saiful goncang lagi tubuh Ajid yang diam dari tadi. Saiful mula geram. Ajid diam membatu di situ.

“Eii! Aku simbah dengan air baru tau!” Saiful semakin geram. Dia mencekak pinggang di tepi katil Ajid. Geram dengan Ajid yang buat tidak endah! Tidur mati ke apa mamat ni?

“Pul! Kau kejut sapa tu?”

Saiful berpaling. Gulp! Dia menelan liur. Terbeliak melihat Ajid di depan bilik air. Matanya beralih pula pada susuk tubuh atas katil. Hanya ada selimut saja. Tiada lagi tubuh yang berkelubung dalam selimut tadi. Dia mula bingung. Dia yakin benar tadi dia pegang tubuh Ajid.

“Ma... macam mana kau ada kat situ? Bukan ke kau kat atas katil tadi?” Saiful garu kepala.

“Aku memang kat bilik air. Lepas solat maghrib tadi perut aku memulas!” Ajid betulkan kain pelikat yang dipakai.

Saiful masih bingung. Dia semakin bingung dengan apa yang berlaku sebentar.

...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang di atas katil itu sebenarnya? Benarkah itu Ajid?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience