Bab 31

Horror & Thriller Completed 25385

Saiful mengangguk. Dia juga melihat sendiri Azhar menghabiskan karipap yang diberi oleh mak cik tadi. Berkali-kali dia menelan liur. Dia menjeling Ajid yang juga turut memandnag ke arah karipap tadi. Memang elok aje lima biji karipap atas pinggan.

Guuungg!!

Serentak Saiful dan Ajid berpaling ke arah kiri bila mendengar bunyi kuat dari arah bilik kecil. Mereka berjalan pula ke arah bilik kecil sambil mata memandang sekitar rumah. Kelibat Azhar masih tidak jumpa.

“Pul... tadi bunyi tu datang dari bilik kecil tu ke... bilik air bawah ni?” Ajid mula keliru. Bilik air dan bilik kecil hanya bersebelahan saja.

“Err... entahlah, tapi aku rasa dari bilik kecil ni.” Saiful mengatur langkah perlahan.

“Astaghfirullahalazim!!!”

Saiful mengurut dada apabila tiba-tiba Azhar muncul dari bilik air dengan muka berkerut.

“Kenapa kau guna bilik air ni?” Ajid pula bertanya.

“Bilik air aku rosak la.” Azhar masih berkerut. Agaknya menahan sakit perut.

“Err... kau dengar bunyi kuat tadi tak?” Saiful mula bertanyakan pada Azhar.

“Hihihi... aku jatuh tadi! Licin!” Azhar menggosok punggungnya yang terasa sakit. Dia jatuh terjelepok atas lantai yang licin. Habis bersepah baldi dan gayung terpelanting ke dinding.

“Ohhh…” Saiful sedikit lega.

Mereka bertiga mula melangkah ke bilik masing-masing. Baru beberapa tapak melangkah sekali lagi bunyi kuat terjadi. Kali ini jelas bunyi itu datang dari arah bilik kecil. Serentak mereka bertiga berpaling. Tepat memandang bilik kecil yang sentiasa berkunci.

“Pul… kau dengar tak tadi?” Ajid mula pasang telinga. Mana tahu bunyi itu berlaku lagi sekali.

Saiful dan Azhar mengangguk serentak sambil memandang ke arah bilik kecil. Seketika kemudian bunyi seperti orang ketawa datang dari bilik itu. Azhar terlebih dulu mengangkat kaki berlari ke tingkat atas meninggalkan Saiful dan Ajid yang masih tercegat di depan pintu bilik kecil.

Ajid memandang Saiful. “Pul! Suara siapa tu?”

Saiful angkat bahu. Setahunya bilik itu berkunci sejak hari pertama dia dan Ajid masuk ke rumah itu. Mustahil ada penghuni di situ.
Perasaannya mula gelisah. Hatinya mula berdebar. Dia memandang Ajid yang juga tercengang mendengar suara tadi. Cepat-cepat mereka berdua melangkah ke tingkat atas.

“Pul, aku tidur bilik kau boleh?” Ajid mengikut Saiful hingga ke muka pintu bilik.

“Kenapa? Kau takut?” Saiful tersengih.

Ajid tersenyum sumbing. Saiful faham senyuman Ajid. Dia segera pulas tombol pintu. Ajid pula hanya mengekori Saiful masuk ke dalam bilik.

“Eh, Pul, apa tu?” Ajid menuding ke arah katil Saiful yang sudah berbonggol.

Saiful berkerut kening. Apa benda pula kat atas katil aku tu? Dia menapak perlahan mendekati katilnya.

Ajid pula masih mengikut Saiful dari belakang. Sebaik berada di tepi katil, Saiful cuba sentuh benda berbonggol di atas katilnya.
Berselimut lingkup.

Ajid hanya memerhati dari belakang Saiful. “Pul... apa benda tu?”

Sekali lagi Saiful sentuh bonggol yang berselimut lingkup atas katilnya. “Hoi! Kau Azhar kan?”

Teka Saiful. Dia menelan liur berkali-kali melihat bonggol di dalam selimut itu mula bergerak-gerak. Mukanya sudah pucat. Kalau Azhar yang tidur di situ, tentu dia sudah menyahut semasa dia memanggil nama Azhar tadi. Dia berpaling ke arah Ajid di belakangnya.

“Ajid... kau rasa Azhar ke... siapa?” Saiful masih memandang Ajid yang juga sudah pucat mukanya. Ajid hanya mengangkat bahu.

Sekali lagi Saiful beranikan diri menyentuh bonggol itu yang masih bergerak-gerak. Kali ini dia menggoncang dengan kuat. Dia pernah mengalaminya dulu semasa mengejutkan Ajid dari tidur.

“Har... Har... kau ke tu?” Suara Saiful terketar-ketar. Masih diam. Saiful sudah geram. Dia tarik selimut itu dengan kuat dan mencampakkannya ke lantai.

“Weh! Kenapa kau tak jawab?” Saiful semakin geram. Azhar dilihat sudah berdengkur di situ mengadap ke arah dinding. Tubuh Azhar digoncang kuat.

Ajid turut menggoncang tubuh Azhar.

“Pul! Pul! Buka pintu ni! Cepat buka pintu ni!!”
Saiful dan Ajid serentak berpaling ke arah pintu bilik. Mereka saling berpandangan. Perlahan mata mereka menala semula ke arah katil tadi. Azhar masih tidur di situ.

“Pul... siapa yang panggil kau kat luar tu?” Ajid memandang Saiful. Matanya beralih pula ke arah katil Saiful.

Saiful sudah pucat. Dia berpaling semula ke arah pintu bilik. Suara Azhar dari luar pintu jelas di telinganya. Perlahan dia melangkah ke arah pintu. Ajid yang dari tadi asyik berada di belakang Saiful juga turut sama melangkah. Pintu dikuak perlahan. Sebaik pintu terkuak, Azhar cepat-cepat masuk ke dalam bilik Saiful.

“Pul, aku nak guna bilik air kau boleh?” Laju saja Azhar berlari ke arah bilik air.

...bersambung
Bab akan datang:
Yang mana satukah Azhar sebenarnya? Yang sedang tidur atau yang masuk bilik air?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience