Bab 10

Horror & Thriller Completed 25385

Keadaan di ruang tamu agak suram. Tadi sebelum masuk tidur, lampu utama di ruang tamu ditutup dan hanya lampu di dinding sahaja yang dibiarkan bernyala. Dalam cahaya samar-samar begitu, Saiful berhati-hati melangkah ke dapur. Suis dapur dipetik. Dia segera ke peti sejuk, mengambil sekotak jus oren. Sebiji mug yang diletak atas rak dapur dicapai dan jus oren dituang sampai penuh. Dia terus meneguk sampai habis. Jus oren dituang lagi, kali ini hanya separuh mug saja.
Sedang enak meneguk jus oren yang sedikit masam, Saiful mula perasan ada sesuatu melintas di tingkap dapur. Dia segera mendekati tingkap dapur. Terhendap-hendap dia mengintai dari celah cermin tingkap yang retak sedikit.

“Hmm... apa benda pulak tu?” Saiful mula berfikir.

Sekali lagi dia mengintai tanpa ada rasa apa-apa. Dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Jam di dinding dapur sudah hampir pukul satu pagi. Dia segera meneguk jus oren sampai habis. Mug dibasuh dan diletakkan di atas rak di tepi singki. Sebelum melangkah keluar dari dapur, dia sempat menjeling saji di atas meja makan. Entah kenapa hatinya begitu kuat menyuruhnya membuka tudung saji itu.
Perlahan Saiful buka tudung saji. Sebaik tudung saji itu diangkat sedikit, mukanya pucat. Matanya terbeliak. Luas! Dia menelan liur berkali-kali.

“Biar betul.” Saiful berkerut kening. Badannya tiba-tiba terasa panas. Peluh dingin mula menitik di dahi. Cepat-cepat dia menutup semula tudung saji dan terus melangkah laju ke biliknya semula.

Sampai di bilik, Saiful terus melompat atas katil. Selimut ditarik hingga menutupi seluruh muka. Dia cuba pejamkan mata. Namun tidak juga mahu lelap. Dia paksa juga.

Kriiikkkkkkkkkk….

Saiful buka mata. Bunyi pintu biliknya dibuka jelas di telinganya. Dia masih berkelubung dalam selimut.

“Ya ALLAH... bunyi apa pula tu?” Tubuh saiful mula menggeletar. Dia diam membatu di dalam selimut. Mata dipejam rapat.

Syyyyyyyyyysss…

Kali ini dia terasa pula ada sesuatu yang meniup di telinganya. Bunyi angin menghembus perlahan jelas di cuping telinga. Dia pejam mata semakin rapat. Tidak mahu percaya itu semua. Perlahan desiran angin tadi beralih ke tubuh dan kakinya. Sejuk!

Terkumat kamit Saiful membaca ayat al-Quran. Berterabur semuanya. Dia masih diam membisu dalam selimut.

Duuuuummm!!

Bunyi pintu ditutup kuat menerjah lubang telinganya. Saiful buat tidak tahu. Dia baca lagi apa-apa ayat yang dia ingat. Matanya dari tadi dipejam rapat.

Selesai solat subuh tadi, Ajid segera ke dapur mencari apa yang boleh dimakan. Dia bersiul-siul kecil. Peti sejuk dibuka perlahan sambil melilau mencari bahan apa yang boleh dimasak. Hari ini dia tidak ada kelas sampai petang.

“Hmm... tak ada apa pulak…”

Peti sejuk ditutup semula. Dia segera capai mug dan mula membancuh kopi ‘o’. Roti yang dibeli semalam disapu dengan mentega dan sedikit seri kaya. Perlahan dia tarik kerusi dan mula menikmati roti dan air kopi.

“Tak bangun lagi ke Pul ni… mentang-mentanglah tak ada kelas pagi ni.” Ajid tersenyum sambil mengunyah roti.

Sedang enak mengunyah roti, matanya tidak lepas dari memandang tudung saji di depannya. Seakan ada sesuatu yang menariknya untuk membuka tudung saji itu. Tudung saji itu diperhatikan lagi. Perlahan dia mengangkat sedikit tudung saji. Ajid masih rasa ragu-ragu. Tudung saji diletakkan semula. Matanya masih menghala pada tudung saji yang diperbuat dari daun mengkuang. Keadaan tudung saji itu agak lusuh. Di bahagian tepi dan keliling tudung saji itu sudah banyak yang tertanggal. Sekali lagi Ajid mengangkat tudung saji itu. Perlahan-lahan. Dia mengintai dari celah tudung saji yang sedikit terbuka. Masih teragak-agak.

“Ah! Buka ajelah! Tudung saji aje pun!” Ajid sengih.
Sebaik tudung saji dibuka, matanya terbeliak. Pipinya ditepuk berkali-kali. Tidak percaya dengan apa yang dilihat. Air kopi diteguk laju.

Terkocoh-kocoh Ajid keluar dari dapur dan melangkah ke bilik Saiful. Pintu diketuk bertalu-talu.

“Pul! Pul!” Laung Ajid dari luar.

“Pul! Bangun la woi! Tidur mati ke apa mamat ni!” Masih tiada jawapan. Ajid ketuk lagi.

“Woi! Apa jerit pagi-pagi ni!” Kali ini Saiful mula menjawab.
Seketika kemudian pintu dibuka. Kelihatan Saiful masih dalam baju tidur.

“Ajid... kau nak apa pagi-pagi ni?” Saiful berkata sambil menguap.
“Kau ada keluar mana-mana ke malam tadi?” Soalan Saiful tidak berjawab sebaliknya soalan lain pula ditanya.

“Keluar? Kan kita masuk bilik masing-masing lepas tengok tv malam tadi.” Saiful sengih. Dia pandang muka Ajid yang kelihatan pucat.
Ajid garu kepala yang tak gatal. Keningnya berkerut memikirkan apa yang dilihat bawah tudung saji tadi.

“Kau fikir apa?”

“Pelik!” Sepatah saja Ajid menjawab.

...bersambung
Bab akan datang:
Apa yang dilihat oleh Ajid? Apa yang ada dibawah tudung saji itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience