Bab 1

Horror & Thriller Completed 25385

Sudah sebulan Saiful mencari rumah sewa. Puas dia meronda sekitar kawasan berdekatan dengan kampus. Dari satu taman perumahan ke satu taman perumahan yang lain. Kebanyakannya sudah berpenghuni sama ada bujang ataupun berkeluarga. Hampir putus asa.

Sejak melangkah masuk ke tahun dua di universiti, dia tidak lagi dibenarkan tinggal di asrama yang sememangnya disediakan hanya untuk pelajar tahun satu. Sebaik melangkah ke tahun dua pengajian, semua diarahkan mencari rumah sewa di luar kampus.

“Haih… manalah nak cari lagi rumah sewa ni. Dah jenuh aku cari. Semuanya penuh.” Saiful melangut di bilik. Matanya menala ke siling putih rumah kakak iparnya di Petaling Jaya.

Bukan dia tidak mahu tinggal di rumah itu tetapi dia tidak betah duduk berdua sejak abangnya kena kerja shif siang. Malam bila balik dari kampus, dia berdua sahaja dengan kakak iparnya. Seram juga rasa bila mengingatkan mereka berdua sahaja tinggal dalam rumah itu pada waktu malam. Buatnya datang pegawai agama tangkap mereka kerana berkhalwat. Tak ke naya?

“Ah! Aku kena keluar juga dari rumah ni. Apa pula kata jiran sebelah bila tengok aku dengan kakak ipar aku aje dalam rumah ni?” Saiful garu kepala. Pening bila memikirkan semua itu.

Telefon bimbit dicapai dari atas meja. Dia segera menghubungi Ajid, teman sekelas yang sama-sama mengambil bidang kejuruteraan di universiti. Ajid yang juga kawan sekampung sejak zaman sekolah dulu juga masih mencari-cari rumah sewa sejak melangkah masuk ke tahun dua.

“Hmm… esok lepas kelas aku cari lagi rumah sewa. Aku ajak Ajid sekali. Mana tahu nasib aku baik bila Ajid ada sekali nanti.” Saiful sengih.

Dia menatap skrin komputer riba. Tugasan yang diberi oleh pensyarah perlu disiapkan segera. Profesor Rashid, pensyarah yang paling garang yang pernah dia tahu. Setiap tugasan yang diberi perlu disiapkan pada masa yang ditetapkan. Tiada kompromi! Kalau tidak, kena denda dengan satu lagi tugasan tanpa ada markah sedikitpun!

“Aku kena cari rumah sewa cepat. Kalau tak, bila assignment aku ni nak siap? Duduk di rumah ni malam-malam buat aku tak sedap hati aje.” Saiful mengeluh lagi. Siang tadi, balik dari kampus, jiran sebelah yang mulut murai itu sibuk bertanya hal aku dan kakak ipar aku. Memang dasar mulut longkang! Ada ke patut tuduh aku sengaja tinggal di situ kerana nak mengurat kakak ipar aku itu. Haish! Tak terlintas langsung aku nak buat macam tu pada abang aku sendiri.

Memang tak dinafikan kakak ipar aku tu cantik dan menarik malah lebih muda daripada aku tapi aku masih ada maruah. Jadi, dari menjadi buah mulut orang lebih baik aku keluar dari rumah itu cepat-cepat.

Saiful jeling jam di atas meja belajar, sudah menghampiri dua belas tengah malam. Dia perlu siapkan tugasan itu secepat mungkin. Tempoh yang diberikan oleh Profesor Rashid hanya tiga bulan sahaja. Sudahlah sebulan dihabsikan dengan mencari rumah sewa aje.

Tuk! Tuk! Tuk!

Saiful berpaling. “ Siapa?”

“Akak Ina ni.”

Saiful menapak malas ke arah pintu bilik. Dia mula rasa berdebar setiap kali kakak iparnya mengetuk pintu biliknya.

“Ya kak?” Saiful senyum sebaik pintu dibuka.

“Tak tidur lagi ke?” Salina mengorak senyum.

Saiful menelan liur. “Err.. belum kak. Nak siapkan assignment sekejap. Kenapa kak?”

“Oh... tak ada apa. Ingatkan dah tidur. Nanti tutup lampu di ruang tamu ya,” pesan Salina sebelum dia berlalu masuk ke biliknya yang terletak di hujung sekali.

Saiful hanya mengangguk. Dia menutup pintu dan menyambung semula tugasan yang tertangguh tadi. Hampir satu pagi dia menaip tugasan. Berkali-kali dia menguap.

“Ah... kalau nak tunggu siap, memang tak akan siap ni. Pukul berapa aku nak tidur. Esok ada kelas pukul sembilan. Lepas tu aku nak cari rumah sewa lagi.” Saiful tutup komputer riba. Dia mula menapak ke katil. Terus rebah di situ tidak sedarkan diri.

PAGI lagi Saiful sudah bangun. Dia bersiap-siap untuk ke kampus. Bergegas dia capai kunci motosikal di atas meja belajar.

“Abang baru balik ke?” Saiful menegur abangnya yang kelihatan keletihan di sofa di ruang tamu.

“Ya... ada kelas ke hari ni?” Sharif menoleh ke arah Saiful yang sudah siap untuk ke kampus. Beg sandang dikelek di bahu kiri.

“Ada.” Sepatah Saiful menjawab.

“Kak Ina mana?”Tanya Sharif lagi.

“Err... ada dalam bilik kot. Mungkin bersiap-siap untuk ke ofis tu.”

Saiful menapak ke pintu rumah. Kasut sukan jenama Nike disarung ke kaki. Sempat berpesan pada abangnya yang dia akan balik lambat sedikit hari itu.

Motosikal menderum laju menuju ke arah jalan besar.

...bersambung
Bab akan datang:
Dimanakah Saiful ingin mencari rumah sewanya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience