Bab 18

Horror & Thriller Completed 25385

“Kau pasti?” Ajid mengusap dagu. Mata masih menala tajam ke arah Saiful.

“Eh! Pastilah! Aku yang letak benda tu.” Saiful pula berkerut kening melihat gelagat Ajid.

“Aku hairan... petang tadi. Lepas aku duduk di buai tepi pokok rambutan tu, aku ke pangkin nak hisap rokok. Kau tahu, daun kering penuh atas pangkin tu. Aku kuis jatuh ke bawah. Papan buai yang kau letak atas pangkin tu tak ada pulak kat situ. Aku cari bawah pangkin, tak ada juga.” Ajid berterus terang.

Saiful terdiam. Dia mula berfikir kata-kata Ajdi tadi. Memang pelik. Dia masih ingat, memang dia letak papan buai patah itu atas pangkin itu sebelum masuk ke dalam rumah.

“Hmm.. mungkin ada orang ambil kut.” Saiful berkata untuk menyedapkan hati.

Ajid hanya diam.

“Ajid... aku nak tanya kau sikit ni.” Saiful pandang Ajid. Seleranya sudah hilang. Tangan dibasuh di singki. Dia duduk semula di kerusi.

“Kau ada rasa apa-apa tak? Maksud aku, kau nampak tak sesuatu yang pelik ke, rasa seram ke... macam tulah.” Saiful menyambung bicara.

Ajid memandang Saiful. Nyata Saiful juga mengalami perkara yang sama dengannya. Teringat senja tadi, dia ternampak sesuatu melintas di sebalik pokok buluh. Suara yang menegurnya di pangkin. Buai yang tiba-tiba bergerak sendiri.

“Nampak apa? Rasa apa?” Ajid mula merenung Saiful. Dia sebenarnya tidak sabar mendengar apa yang Saiful nampak dan apa yang Saiful rasa. Adakah sama dengan apa yang dia lalui petang tadi.

“Tadi… masa aku kejutkan kau kat katil. Aku yakin yang itu kau. Aku sendiri pegang tubuh kau.” Saiful mula merasa bulu romanya meremang.

“Kau biar betul Pul! Aku dah hampir sejam kat bilik air!” Ajid teringat selepas solat maghrib tadi, dia ingin menolong Saiful memasak tapi tiba-tiba perutnya memulas.

Saiful masih bingung. “Pasal apa yang kau tengok kat dalam saji tu... kau pasti itu karipap?”

Ajid angguk. “Aku yakin!”

“Macam mana karipap tu boleh ada kat situ? Kan kita dah makan habis! Bila aku buka tudung saji tu, elok aje lima ketul karipap dalam pinggan tu. Macam tak terusik!” Saiful semakin pening.

Ajid turut angguk tanda setuju. Dia sendiri melihat karipap itu masih elok dalam pinggan bawah saji pagi semalam.

“Kau rasa... ada orang letak karipap kat bawah saji tak?” Saiful menelan liur.

“Hish kau ni! Siapa yang nak letak? Kita berdua aje dalam rumah ni. Lagipun rumah ni kan berkunci. Siapa yang boleh masuk?” Ajid angkat kening.

“Ya tak ya juga... habis tu macam mana karipap tu boleh ada kat situ?” Saiful sudah bingung.

Mereka diam seketika. Masih bingung dengan apa yang terjadi. Sesekali mata mereka bertentang. Masing-masing berkerut kening memikirkan kejadian yang tidak munasabah. Mereka berdua bukan pandai pun buat kuih tu. Makan tahulah!

Di ruang tamu, Saiful dan Ajid mula bersembang mengenai kejadian yang berlaku. Televisyen sengaja dipasang kuat. Rumah yang besar begitu, terasa sunyi bila dihuni hanya mereka berdua. Saiful melihat sekitar ruang tamu, hiasan dalam rumah itu seolah rumah itu baru ditinggalkan oleh tuan rumah dan melihat kepada kebersihan dan kekemasan susunan perabot, rumah itu memang dijaga rapi sebelum ini.

“Ajid, kau tengok rumah ni. Bersih dan kemas aje. Maknanya ada orang yang datang kemas rumah ni setiap hari sebelum kita masuk.” Saiful meliar melihat sekitar ruang tamu.

“Betul tu... lantai pun berkilat aje. Perabot dan barang hiasan dalam rumah ni pun tak ada satupun yang berhabuk.” Tambah Ajid.

“Hmm... kita dah tinggal dua hari kat sini. Aku rasa macam biasa aje. Apa yang orang sekeliling pelik sangat tengok kita?” Saiful masih tidak puas hati. Namun semua benda pelik yang dialami tidak diceritakan kepada Ajid.

“Tu yang aku hairan tu Pul. Setakat kita ternampak kelibat dan dengar suara tu, aku rasa biasa aje la tu. Entah-entah penduduk sini yang nak sakat kita. Mereka upah seseorang untuk menakut-nakutkan kita. Sebab tulah mereka tu asyik pandang pelik aje kat kita.” Ajid mengusap dagu.

“Hmm... betul juga tu. Kelibat yang aku nampak tu, mungkin dia orang yang datang dan cuba takutkan kita. Saja nak suruh kita rasa takut lepas tu kita cabut lari dari sini.” Saiful pun sudah mula berfikiran macam Ajid.

Masing-masing diam seketika. Cerita drama Melayu di kaca tv tidak diambil kisah. Suara kuat dari tv sengaja dibiarkan. Biar bising sikit dalam rumah tu.

Saiful memandang sekitar ruang tamu sehinggalah ke ruang dapur. Selama dua hari mereka menghuni rumah bercat hijau itu, bilik bawah berdekatan dengan dapur tidak pernah dibuka.

...bersambung
Bab akan datang:
Mungkinkah andaian Ajid dan Saiful adalah benar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience