Bab 23

Horror & Thriller Completed 25385

“Baru tadi dia masuk ke sini dan bagi kami sebungkus karipap ni!” Saiful tunjuk beg plastik yang mengandungi lima biji karipap.

“Err... entahlah bang. Mungkin saya tak perasan tadi.” Gadis itu tersengih.

Tiba di rumah, Saiful segera letak bungkusan karipap tadi di atas meja ruang tamu. Tidak berani dia letak bawah saji lagi. Dia mula berfikir, kalau saji ajaib itu boleh sediakan lima ketul karipap, mesti ia akan jadi sepuluh nanti dengan lima lagi karipap yang diterima dari perempuan tua tadi.

“Pul, kau nak buat apa dengan karipap tu?” Ajid garu kepala.

“Entah! Biar ajelah kat situ!” Saiful pandang beg plastik merah yang diletak atas meja tadi.

“Pul! Kau nak ke mana?” Ajid menoleh sebaik melihat Saiful menapak keluar dari rumah.

“Aku nak ambil angin kat pangkin tu kejap. Kau nak ikut ke?” Saiful senyum. Selipar jepun sudah disarungkan ke kaki.

“Boleh juga!” Ajid mula bangun dan mengekori Saiful ke pangkin di bawah pokok manggis.

Mereka berdua mula berehat di situ seperti semalam, mengambil udara petang . Angin sepoi-sepoi mula meniup perlahan menerpa lembut ke muka. Daun pokok meliuk lentuk bila angin bertiup sedikit kuat. Terasa nyaman berada di atas pangkin yang teduh di bawah pokok manggis.

Saiful mendongak. Dari hari pertama dia asyik memerhati buah manggis yang sudah mula berputik walaupun ada banyak yang masih berbunga. Tidak sabar dia hendak merasa kemanisan buah manggis itu. Buah kegemarannya sejak kecil. Dia menjeling Ajid yang sudah baring dengan kedua lengan di bawah kepala. Mata sudah terpejam. Agaknya kekenyangan lah tu. Baharu sahaja melantak di restoran hujung taman tadi. Mahunya tak lelap, ditambah lagi dengan angin sejuk pada petang macam ni. Ingin sahaja dia mengejutkan Ajid. Teringat pesanan mak di kampung, mak memang pantang kalau tidur pada waktu petang selepas asar dan selepas waktu subuh. Katanya tidur selepas waktu asar tidak elok, sekiranya tidur selepas asar secara 40 hari berturut-turut, maka kita akan mewarisi sifat-sifat orang gila. Katanya lagi kalau selalu diamalkan otak akan jadi gila. Itu yang mak selalu pesan. Pernah aku tanya ada bukti ke jadi macam tu? Mak hanya melarang saja.

Akhirnya dengan bantuan Mr. Google, pantang larang itu diketahui juga sebabnya walaupun tidak ada dalil pasal itu. Ini mengikut pengalaman mereka yang selalu tidur selepas waktu asar. Bangun dari tidur aje kepala jadi pening dan bingung. Saiful tersenyum bila teringat pengalamannya sendiri bila tidur masa macam ni. Bangun tidur aje terus masuk bilik air, mandi dan terus pakai baju sekolah. Mak tanya nak ke mana? Bila aku jawab nak ke sekolah, terus mereka ketawa terbahak-bahak! Itulah bahananya tidur selepas waktu asar sebenarnya. Jadi bingung dan keliru! Hahahaha!

Saiful pandang pula ke arah depan laman rumah. Kedua lututnya diangkat sehingga rapat ke dada. Kedua tangan pula memeluk lutut. Lama dia melihat ke arah padang. Sejak hari pertama berpindah, dia memang teringin bermain di padang itu tetapi sampai ke hari ini tidak ada seorang pun yang bermain di padang itu.

Matanya beralih pula pada buai di tepi pokok rambutan. Terhayun-hayun sendiri bila angin kuat menerpa. Dia senyum. Memang rumah itu sungguh menarik dan tenang. Kadang-kadang terfikir, siapa agaknya tuan rumah asal yang memiliki rumah yang begitu besar dan lengkap dengan perabot. Sayang rumah sebesar itu dan lengkap semuanya diberi sewa kepada orang lain. Kalau penyewa adalah seorang yang pengotor atau tidak endah pada kebersihan, agaknya sudah lama rumah besar itu sudah jadi tongkang pecah. Sampai ke hari ini dia masih terfikir benda itu semua. Kalaulah rumah itu menjadi miliknya, alangkah bagusnya!

“Haih... bila la aku boleh memiliki rumah macam ni. Aku harap dapatlah aku kerja nanti bila dah keluar universiti.” Saiful mula berangan.

Angin tiba-tiba bertiup kencang. Daun kering berterbangan sampai ke laman depan rumah. Saiful menoleh ke belakang. Memang dia terasa angin kuat yang tiba-tiba bertiup tadi datangnya dari arah belakang rumah.

Gulp! Bulat matanya memandang ke arah buai kecil di bawah pokok jambu air merah. Buai itu terhayun kuat seolah ada sesuatu yang tolak. Angin yang kuat bertiup tadi sudah berhenti tetapi buai itu masih terhayun-hayun sendiri. Namun bukan itu yang membuatkannya terkedu dan terbeliak. Buai itu sendiri yang dilihat kembali elok seperti biasa. Tidak ada sedikitpun kesan patah! Berkali-kali Saiful menggenyeh mata. Memang benar buai itu elok dan tidak patah sedikit pun!

“Ajid... Ajid... bangun weh!” Saiful mula mengejutkan Ajid yang sudah lena di sebelah.

...bersambung
Bab akan datang:
Apakah kejadian pelik yang berlaku di buai itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience