Bab 38

Horror & Thriller Completed 25385

Perempuan cantik itu sudah tiada. Dia lihat pula tingkap yang terbuka luas. Angin sejuk dari luar mula menerpa masuk. Kakinya mula lemah. Badannya menggigil.

Azhar menggeliat kecil. Perlahan kain selimut ditolak ke bawah. Dia mula melangkah turun dari katil. Di luar tingkap masih berbalam-balam cahayanya. Jam kecil di tepi katil menunjukkan pukul enam setengah pagi. Dia terus menuju ke bilik air.

“Adoi! Apa pulak ni? ” Azhar jatuh tersungkur di atas lantai. Rupanya dia tersepak sesuatu. Dia pandang ke arah kakinya. Saiful? Bila masa dia ada kat sini?

Azhar menggoncang badan Saiful.

Saiful masih tidak bergerak. Badan Saiful digoncang lagi. Kali ini sehabis kuat.

“Eh... air apa pula ni?” Azhar lihat seluar Saiful basah. Bau hancing mula menusuk hidung.

Saiful segera tersedar apabila mukanya disimbah air. Dia memandang Azhar sedang tercegat di depan sambil memegang sebuah baldi. Dia memandang pula katil Azhar. Mukanya berkerut.

“Pul! Kenapa dengan kau ni? Dahlah tidur kat sini, kau kencing pula kat situ! Kot ya pun nak kencing sangat, takkan tak nampak bilik air tu?” Azhar mula membebel.

Saiful masih terpinga-pinga. Dia memandang Azhar dan kemudian pandang pula ke arah katil. Perempuan cantik yang dilihat malam tadi sudah tiada. Mulutnya terasa berat untuk bertanya lebih kepada Azhar.

“Har... aku minta maaf. Malam tadi aku nampak sesuatu tapi biarlah aku cerita nanti.” Saiful mula bangun dan segera ke bilik air.

PAGI itu, Saiful banyak diam dari berbicara. Dia mengunyah perlahan roti bakar yang disapu mentega dan seri kaya. Otaknya masih ligat memikirkan kejadian menakutkan malam tadi. Sesekali dia menjeling Azhar dan Ajid yang turut menikmati sarapan bersama di meja makan di ruang dapur. Masing-masing senyap.

“Korang ni kenapa?” Azhar mula bersuara setelah melihat Ajid dan Saiful masing-masing diam membisu. Wajah masing-masing sudah pucat.

“Pul, kau tidur kat mana malam tadi? Aku ke bilik kau, kau tak ada.” Ajid memandang Saiful tanpa menghiraukan soalan Azhar. Air kopi o dihirup perlahan.

“Kalau kau nak tahu, Saiful ni tidur kat bilik aku! Dah lah tu, terkencing kat situ!” Azhar tersengih.

Ajid tercengang. Dia pandang Saiful yang masih diam dari tadi.
Saiful masih diam membisu. Tiada bicara keluar dari mulutnya. Roti bakar dalam pinggannya masih berbaki. Air kopi dalam cawan dihirup perlahan. Dia jeling Azhar yang nyata sudah berubah menjadi ramah. Semalam sikap Azhar jauh berbeza.

“Ajid... malam tadi kau tidur kat mana?” Saiful mula bertutur lemah. Dia memandang Ajid tidak berkelip.

“Bilik aku lah! Kenapa kau tanya? Malam tadi aku ke bilik kau sebab aku rasa tak sedap hati tapi kau tak ada!” Ajid menghabiskan air kopi.

Saiful terkejut. Dia merenung Ajid dalam-dalam. Fikirannya mula teringat kejadian malam tadi selepas mendengar suara orang menjerit di tingkat bawah, dia terus ke bilik Ajid. Ajid memang tidak ada di biliknya. Apa yang dia nampak hanyalah sebuah batu nisan yang telah retak. Hatinya mula berteka-teki. Takkan mata aku tak betul. Saiful masih bingung.

“Korang dengar tak suara orang menjerit malam tadi?” Saiful mula bertanya.

Ajid dan Azhar saling berpandangan. Mereka memandang pula Saiful yang tidak berkelip memandang ke arah mereka.

“Suara orang menjerit?” Azhar pula bingung. Seingatnya malam tadi dia lena tidur di biliknya.

“Aku tak dengar apa-apa pun! Pukul berapa kau dengar?” Ajid yang sedikit penakut mula dekat dengan Saiful. Dia enjeling kiri kanan.

“Hoi! Dah siang lah!” Saiful tolak Ajid jauh darinya. Dia cukup rimas dengan sikap Ajid yang mula rapat dengannya jika merasa takut. Dia jeling pula Azhar yang mula senyum-senyum sendiri.

“Aku pun tak dengar apa-apa. Perasaan kau aje kot..” Azhar sengih lagi.

Saiful masih bingung. Bermakna hanya dia seorang yang mendengar suara orang menjerit malam tadi. Dia menuang sekali lagi air kopi ke dalam cawan bila melihat cawannya sudah kosong.

“Jadi… aku sorang ajelah yang dengar suara tu.” Saiful pandang Ajid dan Azhar yang mula ketawakannya.

“Tu lah... kau tu belajar sampai lewat malam. Mulalah terbayang benda bukan-bukan.” Ajid senyum sambil menepuk bahu Saiful.

Saiful hanya mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak mungkin dia berkhayal. Malam tadi dia memang nampak perempuan cantik tidur di sebelah Azhar dan batu nisan yang telah retak atas katil Ajid.

Fikirannya melayang pula pada kata-kata Azhar dulu yang ternampak perempuan cantik memakai pakaian pengantin tidur di atas katilnya. Perempuan yang sama ke yang aku nampak malam tadi?

“Sudahlah! Kan aku dah azan malam tadi.” Azhar bingkas bangun. Beg sandang disangkut ke bahu kiri.

...bersambung
Bab akan datang:
Adakah ‘benda’ itu masih di situ setelah di azankan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience