Bab 28

Horror & Thriller Completed 25385

“Pul! Kau cari sapa?” Ajid memandang Saiful yang melilau matanya mencari kelibat makcik jual karipap.

“Aku cari mak cik yang jual karipap tu... kau ada nampak?” Saiful masih memerhati sekeliling.

“Ooo... mak cik yang kau cerita kat aku hari tu ke?” Azhar pula mencelah.

Saiful angguk. Ajid pula masih tidak faham. Dia pandang Saiful dan Azhar.

“Hihi... aku nak juga tengok mak cik misteri kau tu!” Azhar mula ketawa.

Seketika kemudian, makanan yang dipesan tadi tiba. Mereka mula menikmati makan malam. Saiful sempat jeling sekitar restoran. Matanya masih mencari mak cik jual karipap. Pelanggan mula memenuhi restoran itu. Ada yang dia sudah kenal dan ada juga yang pertama kali dia jumpa.

“Mak cik tu tak datang agaknya malam ni.” Saiful berkata sendiri. Dia habiskan nasi goreng kampung dan mula meneguk kopi o ais.
Suasana di restoran kelihatan agak kelam kabut bila pelanggan mula masuk tidak henti-henti. Saiful dan yang lain mula beredar bila selesai membayar di kaunter.

“Pul! Mak cik jual karipap tu tak datang ke malam ni?” Azhar mula bertanya. Hampa juga bila mak cik jual karipap yang diceritakan oleh Saiful hari tu tidak datang. Teruja juga hendak tahu bagaiamana rupa dan kisah hidup mak cik itu.

“Entah! Selalunya bila kami makan kat sini, mak cik tu datang. Malam ni tak ada pulak.” Saiful juga bingung sambil menjeling Ajid di sebelah yang juga kelihatan bingung.

“Ala... tak datang pun bagus jugak! Tak adalah nanti dia bagi karipap lagi.” Ajid mula tersengih bagi menghilangkan rasa resah di hati.

Mereka bertiga mula menuju ke kereta yang dparkir di depan restoran. Sampai di situ, mereka masih berbual mengenai mak cik jual karipap misteri itu. Sebenarnya mereka sengaja tunggu di kereta sambil memerhati ke arah restoran tadi. Mana tahu mak cik jual karipap akan muncul di situ. Memang sah, mak cik jual karipap itu tidak muncul juga malam itu. Saiful menjeling jam. Hampir sepuluh malam.

“Hmm... rasanya mak cik tu tak datang lah malam ni.” Saiful memandang Azhar yang juga mula rasa kecewa. Beria Azhar nak kenal mak cik jual karipap itu.

Mereka bertiga mula membuka pintu kereta.

“Assalamualaikum.”

Saiful berpaling. Dia seakan kenal dengan suara yang memberi salam itu. Dia tergamam sebaik terpandang pemilik suara yang memberi salam tadi. Ajid juga turut berpaling. Dia mula menelan liur. Azhar terpinga-pinga.

“Wa... waalaikumussalam.” Saiful cuba untuk senyum.

“Ada apa mak cik?” Azhar pula menyampuk. Masih tidak tahu apa-apa.

“Makcik nak bagi karipap ni... ambillah!” Perempuan tua itu menghulurkan satu beg plastik merah kepada Azhar.

“Karipap? Mak cik beri percuma ke ni?” Azhar mengambil karipap yang dihulur mak cik tadi sambil tersenyum. Dia mencium bau karipap dalam beg plastik merah itu.

Saiful dan Ajid pula hanya memandang gelagat Azhar yang teruja mendapat karipap percuma.

“Err... mak cik!” Saiful mula memanggil apabila melihat perempuan tua itu ingin berlalu pergi.

Perempuan tua itu berpaling semula ke arah Saiful. Mukanya sedikit berkerut.

“Mak cik...saya nak tanya sikit. Macam mana mak cik tahu kami dah makan karipap tu?” Saiful segera bertanya. Kali ini dia akan pastikan jawapan yang dicari selama ini.

Perempuan tua itu hanya senyum. Dia kemaskan genggaman bakul di tangannya yang masih banyak dengan karipap. Tanpa sebarang jawapan dia melangkah pergi meninggalkan mereka bertiga termangu di situ.

Azhar dan Ajid turut memandang perempuan tua itu berlalu pergi. Mereka memandang pula Saiful yang masih terpinga-pinga dengan sikap perempuan tua tadi.

“Pul! Itu ke mak cik jual karipap yang kau cerita tu?” Azhar tepuk bahu Saiful yang masih terpinga-pinga.

“Hah? Err...ya, tu lah mak cik tu!” Saiful masih bersandar di kereta.
Azhar hanya memerhati perempuan tua itu pergi dengan riak biasa. Apa yang diceritakan oleh Saiful tempoh hari tentang perempuan tua penjual karipap itu tidak sedikitpun mengganggu fikirannya. Padanya perempuan tua itu hanyalah insan biasa yang berniaga karipap untuk menampung hidup seharian. Mungkin karipap itu diberi percuma sekali sekala.

“Dahlah. Jom kita balik.” Ajid pula mengajak Saiful dan Azhar yang masih memandang ke arah perempuan tua itu yang sudah pergi jauh dari situ.

Sampai di rumah, mereka bertiga lepak pula di ruang tamu. Berehat sebentar di situ setelah menikmati makan malam di restoran tadi. Azhar mengambil remote control tv dan mula menonton sambil mengunyah karipap yang diberi oleh mak cik tadi. Ajid dan Saiful hanya melihat gelagat Azhar yang berselera menjamah karipap mak cik tadi. Padahal baharu sahaja tadi mereka bertiga makan di restoran itu.

...bersambung
Bab akan datang:
Betulkah mak cik itu seorang manusia atau hanya mereka saja yang dapat melihat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience