Bab 37

Horror & Thriller Completed 25385

“Tadi, kau pergi dekat buai tu dan kau bercakap sorang-sorang kat situ. Aku cuba sentuh kau tapi kau tepis tangan aku.” Saiful berterus terang.

“Oh...” Ajid menekup muka.

“Dahlah! Dah nak maghrib ni. Kita solat jemaah okey?” Saiful memegang bahu Ajid yang masih tunduk.

Mereka bertiga mula membersihkan diri dan mengambil wuduk. Usai solat, mereka membaca pula al-Quran beramai-ramai sehinggalah masuk waktu isyak. Tadi sebelum solat maghrib, Azhar melaungkan azan sekuat hati. Bergema seluruh rumah.

Malam itu, usia solat isyak, mereka mula menelaah bersama di ruang tamu. Azhar sibuk menyalin nota yang dipinjam daripada rakan sekelas semasa kelas tutorial. Saiful pula sibuk menyiapkan tugasan yang diberikan Profesor Rashid dan Ajid pula masih menelaah buku rujukan yang dipinjam dari perpustakaan tadi. Air kopi o panas dan setin biskut kering sudah tersedia di atas meja sofa.

Waktu hampir sebelas setengah malam. Ajid sudah mula menguap. Azhar pula masih sibuk menyalin nota. Saiful senyum melihat Azhar yang begitu khusyuk menyalin nota kuliah.

“Har, kau ni dari tadi sibuk salin nota tu. Apa kau tak masuk kelas ke tadi?” Saiful jenguk nota di tangan Azhar. Sudah sepuluh helai Azhar menulis. Entah nota siapa dia pinjam.

“Aku terlepas kelas tu. Ni, aku pinjam dari awek aku.” Azhar tersengih.

“Weh, awek kau satu kelas dengan kau ke?” Ajid mula buka mata dengan luas.

Saiful turut tersengih melihat Ajid sudah cerah mata bila mendengar Azhar ada awek.

“Ya, sejak masuk tahun satu lagi aku couple dengan dia tu.” Azhar senyum lagi.

“Wah! Senyap-senyap kau ya!” Saiful tepuk bahu Azhar.

“Aku nak masuk tidur dulu. Sambung kat bilik.” Saiful minta diri untuk ke biliknya.

Ajid dan Azhar turut menapak ke bilik masing-masing. Lampu di ruang tamu ditutup. Hanya lampu di tepi dinding sahaja dibiarkan bernyala. Mereka mula masuk ke bilik masing-masing.

**

PUKUL dua belas malam, Saiful masih di meja belajar. Tugasan yang diberikan oleh pensyarah tadi harus disiapkan secepat mungkin walaupun tarikh tutup untuk menghantar tugasan itu masih panjang. Jarinya laju menaip di papan kekunci. Sesekali kepalanya digerakkan ke kiri dan ke kanan bila terasa lenguh. Dia lihat air kopi dalam gelas sudah habis.

“Hmm… malas la pulak aku nak buat lagi. Waktu macam ni..agaknya Ajid dan Azhar sudah tidur ni..” Saiful letak semula gelas yang sudah kosong di atas meja.Dia sambung semula menaip.

“Macam mana aku nak habiskan assignment ni... mata pun dah berat semacam aje.” Saiful sudah menguap beberapa kali. Matanya mula terasa berat. Kepalanya sudah terlentuk di meja.

“ARGHHHHH!!!!!”
Saiful terkejut mendengar jeritan kuat. Dia menjeling jam di atas meja. Sudah pukul satu pagi. Rupa-rupanya dia terlena di atas meja belajar hampir sejam. Kain pelekat yang dipakai diikat kemas-kemas. Dia segera berlari ke bilik Ajid. Sekali lagi dia memasang telinga.

“Aaaaarrrrghhhhh!!!”

Saiful menelan liur. Suara orang menjerit kuat jelas di telinganya. Langkahnya semakin laju menuju ke bilik Ajid.

“Ajid! Ajid!” Daun pintu bilik Ajid diketuk bertalu-talu. Saiful menolak daun pintu bilik Ajid.

Dia segera mengejutkan Ajid yang nyenyak tidur sambil berdengkur. Tubuh Ajid digoncang semakin kuat. Kain selimut yang menutupi muka Ajid ditarik kuat. Muka Saiful mula berubah. Matanya bulat melihat sesuatu di hadapannya. Berkali-kali dia menelan liur. Terasa suara sudah tersekat di kerongkong. Kakinya pula mula terasa berat. Bagai ada batu besar menghempap!

“ALLAHUAKHBAR!!” Saiful cuba melaungkan takbir dengan kuat.
Dia segera berlari keluar dari bilik Ajid apabila terasa kakinya sudah boleh digerakkan. Laju dia menghala ke bilik Azhar di hujung.

“Har! Har!”

Belum sempat Saiful mengetuk pintu bilik Azhar, dia terdengar sekali lagi suara menjerit dari bawah. Mukanya mula pucat. Dia mula serba salah sama ada hendak ke ruang tamu atau masuk bilik Azhar saja.

“Ahh... tak berani aku turun. Baik aku masuk ke bilik Azhar!” Saiful mula buka pintu bilik Azhar yang tidak berkunci.

Sebaik pintu terbuka, sekali lagi Saiful terkejut. Matanya membuntang melihat satu susuk tubuh tidur di sebelah Azhar. Dia memberanikan diri menghampiri katil Azhar. Jelas tubuh seorang perempuan sedang tidur di sebelah kanan Azhar sambil menghadap dinding. Saiful seperti dipukau melihat perempuan yang berbaju putih seakan baju pengantin itu masih tidur di sebelah Azhar. Dia kaku di situ.

Tiba-tiba perempuan berbaju putih itu mula buka mata sambil tersenyum kepadanya. Saiful memandang tidak berkelip. Terpukau dengan kecantikan perempuan itu dengan rambut lebat panjang mengurai.

“Arghhhhh!!!!”

Saiful mula tersedar. Bunyi jeritan kuat tadi berulang lagi. Dia memandang katil Azhar.

...bersambung
Bab akan datang:
Adakah bunyi itu datang dari bilik kosong yang berkunci itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience