Bab 32

Horror & Thriller Completed 25385

Saiful dan Ajid masih terpinga-pinga. Azhar tadi sudah tidak tahan agaknya. Meluru sahaja masuk bilik air. Mereka berdua saling berpandangan. Seketika kemudian mereka sama-sama melihat ke arah katil Saiful.

“Pul... kau rasa yang mana satu Azhar ni? Yang masuk bilik air ke.. .atau yang sedang tidur atas katil kau tu?” Suara Ajid sudah tersekat-sekat. Dia muncungkan mulutnya ke arah katil Saiful.

Saiful masih diam. Ajid juga turut diam. Mata masih menala ke arah katil Saiful. Jelas susuk tubuh Azhar sedang tidur lena mengadap ke dinding.

“Aku pelik... Azhar tak perasan ke masa dia masuk tadi?” Saiful garu kepala.

Ajid hanya menjongket bahu. Dia berpaling ke arah bilik air. Bunyi air paip dibuka jelas di telinga. Kemudian bunyi tandas dipam juga jelas di cuping telinga. Dia menjeling Saiful yang masih melihat Azhar yang nyenyak tidur di atas katil. Seketika kemudian, bunyi pintu bilik air dibuka. Azhar sudah menapak keluar dengan wajah lega.

“Err... kau Azhar kan?” Ajid mula bertanya.

Azhar berkerut kening. Apa hal Ajid ni tanya aku macam tu? Aku ni macam hantu ke apa?

“Kenapa kau tanya macam tu?” Azhar mendekati Ajid dan Saiful yang masih berdiri di tepi pintu bilik.

“Jadi tu siapa?” Serentak Saiful dan Ajid menuding ke arah susuk tubuh yang sedang baring di atas katil Saiful tadi.

Azhar segera berpaling. “Mana?”

Tercengang Saiful dan Ajid memandang Azhar yang sudah menggaru kepala. Riak Azhar seperti orang kebingungan.

“Tu!” Sekali lagi serentak Saiful dan Ajid menuding ke arah susuk tubuh tadi.

Azhar masih bingung. Apa yang dia nampak hanyalah sehelai selimut dan dua biji bantal atas katil itu. Tiada apa yang pelik. Dia berpaling pula ke arah Saiful dan Ajid yang sudah pucat muka keduanya. Apa yang dia orang ni nampak? Ada yang tak kena ke? Pucat semacam sahaja muka mereka ni.

“Weh, korang nampak apa?” Azhar mula bertanya.

“Betul kau tak nampak?” Saiful memandang Azhar tidak berkelip. Pelik melihat Azhar yang sudah terpinga-pinga dari tadi.

Azhar menggeleng.

Saiful dan Ajid masih tercegat di muka pintu bilik. Susuk tubuh itu masih baring di atas katil saiful. Pakaian yang membaluti tubuh susuk tubuh itu sebiji macam pakaian yang Azhar pakai sekarang. Kain pelekat dengan baju kemeja T lengan pendek warna putih. Rambut ala askar yang dipotong pendek juga sama. Sekali lagi Saiful dan Ajid berpaling ke arah Azhar yang sudah berdiri di sebelah mereka.

“Sure kau tak nampak apa-apa?” Sekali lagi Saiful bertanya.

Azhar menggeleng sekali lagi.

“Kau tahu apa yang kami nampak?” Ajid pula mencelah.

“Apa?” Azhar masih bingung.

“Kami nampak.”

Saiful cepat-cepat tutup mulut Ajid. “Hihihi... kami nampak selimut aje, tadi angin beritup kuat dari tingkap yang terbuka tu. Kami ingatkan apa la tadi sebab selimut tu dah berbonggol bila ditiup angin. Tak ada apalah.”

Ajid mencerlung melihat Saiful yang cuba sorokkan kejadian itu dari Azhar.

“Laa... angin pun korang nak takut?” Azhar ketawa mengekek. Dia kemudian minta diri ke biliknya semula.

Saiful dan Ajid juga turut keluar dari bilik itu dan tidur di bilik Ajid.

SELEPAS solat subuh dan baca Quran, Saiful mula termenung di meja belajar. Dia mula memikirkan kejadian malam tadi. Suara ketawa dari bilik kecil dekat dapur masih menjadi tanda tanya. Susuk tubuh seperti Azhar di atas katilnya juga masih menjadi misteri. Dia lihat jam di atas meja belajar. Sudah menghampiri pukul tujuh pagi. Dia pandang pula keluar tingkap, cahaya matarhari sudah mula menerjah masuk ke dalam bilik. Suara burung bernyanyi semakin kuat di luar. Sempat Saiful menjenguk ke luar tingkap. Burung-burung riang berterbangan dari satu pokok ke satu pokok. Ah! Rasa tennag semula. Dia segera mengemas buku nota yang bersepah atas meja belaajr dan dimasukkan ke dalam beg sandang. Hari ini kelasnya bermula seawal pukul sembilan pagi. Ajid pula masih dalam bilik air. Laju kakinya melangkah ke dapur untuk menyediakan sarapan. Sempat dia menjeling bilik Azhar.

“Tak ada kelas ke dia orang ni?” Saiful berkata sendiri sambil menuruni anak tangga ke dapur.

Ketika melintas di ruang tamu, Saiful menjeling pula pasu bunga yang berada di atas meja sofa. Pasu itu masih berada di situ. Dia jeling pula bilik kecil sebelah dapur. Tiada apa-apa suara datang dari bilik itu. Semuanya seperti sediakala. Dia segera menyelak langsir tingkap memberi laluan untuk cahaya masuk ke dalam rumah. Lampu kecil di dinding ditutup. Dia melangkah pula ke dapur.

...bersambung
Bab akan datang:
Apa yang mengganggu mereka di rumah itu? Apakah rahsia yang disembunyikan oleh tuan rumah tentang rumah itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience