Bab 36

Horror & Thriller Completed 25385

Habis menjamah makanan, mereka mula berbual kosong. Banyak cerita kampus menjadi topik perbualan mereka petang itu. Dari satu bab ke satu bab sehinggalah kepada cerita awek.

“Pul, Emi tu macam mana?” Ajid tersengih. Dulu Saiful kecewa kerana gadis itu tidak sedikitpun membalas cinta Saiful. Alih-alih tadi, beria Saiful bercerita dengan wajah ceria tentang gadis pujaannya itu.

“Dia dah mula sukakan aku. Tak sangka dia tu nak juga kat aku.
Yalah... aku ni mana ada rupa sangat. Lainlah korang ni.” Saiful merendah diri.

“Alah... rupa bukan jaminan lah, Pul. Sekarang ni, perempuan tengok ni!” Azhar memetik jarinya menunjukkan isyarat wang.

“Hmm... betul tu. Ada duit semua boleh. Tak ada duit, boleh juga... boleh jalan!” Ajid ketawa mengekek.

Saiful tersengih. Teringat kata-kata Emi dulu yang inginkan seorang yang rajin berusaha. Emi tidak memandang pada wang ringgit.
Tiba-tiba angin bertiup kuat. Habis terbang bungkusan polisterin jatuh ke tanah. Saiful segera mengutip bungkusan plastik tadi dan dibuang ke dalam tong sampah di luar pagar rumah. Dia menapak semula ke pangkin. Dia berkerut kening. Tingkah Ajid sudah lain.

“Ajid... kau kenapa ni?” Saiful mencuit lengan Ajid yang sudah termenung.

Ajid diam.

“Pul... kenapa tu?” Azhar pula cuit lengan Saiful. Ajid dilihat masih diam. Selepas angin bertiup kuat tadi, Ajid tiba-tiba berubah.

Ajid masih diam. Dia kemudian melompat dari pangkin dan mula melangkah ke belakang rumah. Melulu pergi ke arah buai kecil di bawah pokok jambu air merah.

Saiful dan Azhar tercengang melihat Ajid seperti dipukau. Mereka berdua cepat-cepat mengekori Ajid. Ajid dilihat sudah berdiri di sebelah buai kecil itu. Lama Ajid berdiri di situ sambil memerhati ke arah buai. Saiful menjeling Azhar di sebelah. Azhar juga bingung dengan sikap Ajid yang tiba-tiba diam membisu.

“Ajid... kau buat apa kat situ?” Saiful memberanikan diri mendekati Ajid.

Ajid masih diam. Dia hanya memandang buai itu berayun sendiri. Angin kuat yang bertiup tadi sudah lama berhenti. Saiful semakin dekat dengan Ajid. Dia juga turut melihat buai itu berayun sendiri.

“Kau siapa?” Tiba-tiba Ajid bercakap sendiri. Matanya tepat memandang buai kecil itu.

Saiful dan Azhar saling berpandangan. Bingung dengan sikap Ajid.

“Oh... jadi kau datang sini sebab nak marahkan aku ke?” tanya Ajid lagi sambil mata masih melihat pada buai itu.

“Ajid... kau cakap dengan siapa ni?” Saiful menyentuh bahu Ajid.

Tangan Saiful ditepis kuat. Saiful tertolak ke belakang, hampir terjatuh tetapi sempat dipegang oleh Azhar. Sekali lagi Saiful mendekati Ajid yang sudah seperti dirasuk.

“Ajid... mengucap Ajid.” Kali ini Saiful pegang tangan Ajid dengan kuat.

“Kau diam! Aku nak bercakap dengan budak ni!!” Ajid menuding ke arah buai. Mukanya sudah merah padam.

Azhar menelan liur. Nyata Ajid sudah dirasuk. Dia dan Saiful tidak nampak apa-apa pun di atas buai itu. Mereka segera menarik tangan Ajid sekuat hati. Ajid seperti memiliki kuasa lain. Ajid seperti tidak berganjak langsung dari tempat itu. Saiful dan Azhar cuba menarik tangan Ajid sekuat hati. Lagak orang bermain tarik tali.

Duubb!!

Berdebuk Saiful dan Azhar jatuh di atas rumput. Ajid dilihat masih berdiri kaku di situ.

“Pul, apa kita nak buat ni?” Azhar mula bangun. Belakang bajunya sudah kotor.

“Cuba kau azan!” saran Saiful. Dia juga turut bingkas bangun. Ajid dilihat masih tercegat di sebelah buai kecil itu. Muka Ajid seperti orang yang sedang bertengkar dengan riak bengis.

Pantas Azhar melaungkan azan sekuat hati.

“Har! Har! Ajid!” Saiful cuit lengan Azhar yang masih melaungkan azan.

Azhar berpaling. Ajid dilihat sudah rebah di atas rumput. Terpaksa mereka berdua mengusung Ajid masuk ke dalam rumah.

******

Saiful memandang Ajid yang mula tersedar dari pengsan tadi. Banyak kali muka Ajid direnjis dengan air, baharulah Ajid sedar. Azhar pula menepuk-nepuk pipi Ajid.

Ajid masih terpinga-pinga. Dia bangun perlahan dari sofa panjang dan duduk sambil menekup muka. Saiful dan Azhar masih memandang Ajid yang sudah mula sedar tetapi masih diam membisu.

“Kenapa dengan aku ni?” Ajid mula bersuara.

“Kau pengsan tadi.” Saiful hulur segelas air kepada Ajid. Ajid meneguk perlahan.

“Kau tak sedar ke apa yang kau buat tadi?” Azhar pula mencelah. Riak Ajid seperti orang yang baharu bangun dari tidur. Masih mamai.

“Buat apa?” Ajid berkerut kening.

Azhar memandang Saiful kemudian beralih pada Ajid semula.

“Kau bercakap sorang-sorang tadi.” Azhar menjawab, mata masih merenung Ajid yang masih terpinga-pinga.

“Aku bercakap sorang-sorang? Bila?” Ajid tidak mengerti.

...bersambung
Bab akan datang:
Adakah mereka akan tinggal di rumah itu lagi jika berterusan di ganggu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience