Bab 17

Horror & Thriller Completed 25385

Memang dia yakin tadi dia mengejutkan Ajid di atas katil. Memang terasa bahu Ajid tadi apabila digoncang dengan kuat.

“Kenapa dengan kau ni? Macam nampak hantu aje?” Ajid pula hanya sengih memandang Saiful yang kebingungan begitu.

“Kau jangan celupar mulut tu Ajid.” Saiful masih tercegat di tepi katil Ajid.

“Habis tu? Muka kau tu dah macam mayat aku tengok. Kau tengok apa sampai muka kau jadi macam ni?” Ajid menapak perlahan ke arah Saiful yang masih berdiri di tepi katilnya.

“A... aku rasa kau ada kat atas katil tadi.” Sekali lagi Saiful garu kepala. Masih bingung. Aku bermimpi ke apa?

“Sudahlah! Cakap dengan kau ni, sampai esok pagi pun kau tak boleh jawab. Dah berkerut kening kau tu!” Ajid sengih lagi.

“Err...” Saiful masih memandang ke arah katil Ajid. Selimut yang menutup tubuh Ajid tadi sudah leper. Tiada lagi bonjol.

“Kau masak apa? Aku dah lapar ni!” Ajid tanya Saiful yang masih kebingungan.

Saiful masih diam di situ. Mata masih menala ke arah selimut Ajid.

“Woi! Aku tanya ni. Kau masak apa?” Ajid kuatkan sedikit suaranya.

“Hah? Masak?” Saiful sudah bingung. Entah apa yang dia fikir tadi.

“Ya lah! Dah!” Ajid menarik tangan Saiful ke dapur.

Saiful terpaksa mengikut rentak Ajid yang sudah kuat menarik tangannya menuju ke ruang dapur.

Di dapur, Saiful hanya diam tanpa sepatah kata. Otaknya masih memikirkan kejadian tadi. Sejak berpindah di rumah itu, sudah banyak kali dia bertembung dengan kejadian yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Pertama kali dulu, bunyi desiran angin menerjah ke telinga dalam biliknya dan pintu tertutup sendiri. Lepas itu, nampak kelibat di dapur dan tadi pula di bilik Ajid. Dia menjeling Ajid di sebelah. Masih tidak percaya.

Ajid pula begitu berselera menikmati masakan Saiful. Ikan kembung masak kicap dan sayur kubis goreng. Sudah dua kali dia menambah nasi.

“Weh! Makan lah! Kau ni kenapa? Dari tadi aku tengok kau diam aje. Macam nampak hantu!” Ajid sengih. Dia cuit lengan Saiful yang masih mengelamun.

“Err... Ajid, sejak kau masuk rumah ni, kau ada nampak apa-apa tak?”

“Nampak apa?” Ajid berpaling.

“Macam... kelibat ke.” Saiful malas nak cakap terang-terang. Dia tahu Ajid lagi penakut darinya.

“Kelibat? Kelibat apa?” Ajid memandang Saiful dengan wajah keliru.

“Err...” Saiful masih berfikir. Apa aku nak cakap ni..

“Kelibat apa?” tanya Ajid lagi.

“Macam nampak orang ke.” Saiful berkata perlahan.

“Orang?” Ajid bingkas bangun dan mula basuh tangan. Dia duduk semula di sebelah Saiful.

Saiful masih memandang Ajid yang mula meneguk air kosong.
“Hmm... setakat ni tak ada pulak. Eh, kalau orang tu memanglah ada.
Kan di kawasan taman ni ada rumah lain. Tentulah ada orang lain!”
Ajid tersengih.

Saiful mengetap bibir. Aku serius dia boleh buat lawak bodoh pulak malam-malam ni!

“Maksud aku tadi, kelibat orang di rumah ni! Bukan di kawasan perumahan ni!” Saiful luku kepala Ajid. Bengap tak habis! Nama aje belajar sampai universiti!

“Oh... cakaplah terang sikit. Ni dah kelabu! Aku ni bukan reti kalau cakap bengkang bengkok macam tu. Aku ni pelajar kejuruteraan tau! Mesti straight to the point!” Ajid buat lawak lagi.

“Susahlah cakap dengan kau ni! Banyak loyar buruk aku tu!” Saiful mula makan nasi.

Ajid ketawa. Kini Saiful dilihat begitu lahap menjamah nasi. Tadi bukan main duduk melangut.

“Pul, kau ada dengar suara tak? Macam... suara berbisik atau bertanya ke?” Ajid pula bertanya Saiful pasal hal itu.

Saiful tersedak. Cepat-cepat dia capai gelas berisi air dan meneguk sampai habis. Ajid geleng melihat Saiful tersedak begitu.

“Suara? Bisik?” Saiful mula berkerut kening. Memang malam tadi dia mendengar seperti desiran angin menghembus cuping telinga, tubuh dan terus ke kakinya. Dia pandang Ajid yang masih memandangnya tidak berkelip.

Ajid angguk.

“Tak ada. Kenapa?” Saja Saiful berbohong.

“Petang tadi, masa kau masuk ke rumah. Aku dengar macam ada orang tegur aku. Bila aku cari, tak ada sesiapa pula. Pelik betul la.” Ajid mula berterus terang.

Saiful turut diam. Dia juga pelik dengan kejadian yang dialaminya malam tadi.

“Kau letak mana papan buai yang patah tu tengah hari tadi?” Ajid mula teringat papan buai patah yang dipegang Saiful tengah hari tadi.

“Aku letak atas pangkin sebelum kita masuk ke rumah. Kenapa?”

Ajid diam seketika. Cuba mengingat semula apa yang berlaku petang tadi. Satu persatu diputar semula di ruang fikirannya. Memang sah tak ada papan buai patah itu atas pangkin. Dia menoleh ke arah Saiful.

...bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang membuatkan Ajid dilemma sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience