Bab 34

Horror & Thriller Completed 25385

“Pul... aku rasa aku tak lama kat rumah tu.” Azhar mula berbicara. Perlahan.

“Maksud kau? Kau nak pindah ke? Takkan kerana kejadian pagi tadi kau nak pindah. Kami duduk kat rumah tu tak ada apa pun!” Ajid pula mencelah.

“Aku bukan kata nak pindah tapi aku kata aku tak lama kat rumah tu!” Azhar mula marah-marah.

Saiful dan Ajid berpandangan sama sendiri. Terkejut bila tiba-tiba Azhar bersikap begitu. Mata Azhar juga sudah sedikit kemerahan.
Saiful menelan liur. Dia mula perhati sikap Azhar. Nyata Azhar sudah sedikit berubah. Dia sudah jadi pendiam. Tidak banyak bicara.

“Har... kau cakap apa ni? Aku tak faham, apa maksud kau tak lama kat rumah tu?” Saiful masih mengorek maksud kata-kata Azhar sebentar tadi.

“Kan aku dah kata! Aku tak lama di rumah tu! Korang tak faham ke??” Azhar mula menengking. Matanya tajam memandang Saiful dan Ajid silih berganti.

Saiful mula mengubah topik bila melihat Azhar sudah seperti orang dirasuk. Dia memandang Ajid yang kelihatan pucat bila disergah begitu.

Ajid terdiam. Dia memerhati tingkah Azhar yang sudah berubah riak. Saiful di sebelahnya dicuit. Dia semakin rapat dengan Saiful.

“Pul... kau rasa Har ni... dah kena rasuk ke?” bisik Ajid.

Saiful mengangkat bahu. Dia juga turut bingung dengan tingkah Azhar yang tiba-tiba menyinga bila ditanya tadi.

“Jomlah makan. Lapar ni!” Azhar tiba-tiba senyum.

Saiful dan Ajid saling berpandangan. Riak Azhar sudah mula lain. Mereka bertiga mula membeli makanan. Pagi tadi, Saiful hanya sempat jamah sekeping roti bakar dan segelas kopi o panas. Ajid dan Azhar pula langsung tidak bersarapan.

Azhar duduk semula di kerusi. Beg sandangnya diletakkan di kerusi sebelah. Nasi berlaukkan ayam goeng dan sedikit sayur itu digaul perlahan. Ajid dan Saiful turut menapak ke meja Azhar. Masing-masing asyik menikmati makanan.

“Pul... aku minta maaf pasal tadi. Entah kenapa aku rasa macam nak marah aje tadi.” Azhar mula bersuara setelah habis nasi sepinggan.

“Tak apa.” Saiful senyum kelat. Dia jeling Ajid yang sudah berpeluh makan ikan bakar dicicah dengan air asam.

“Malam tadi... sebenarnya aku sakit perut. Entah apa yang aku makan. Rasa memulas. Dua kali aku membuang. Pertama tu masa aku guna bilik air di bawah. Lepas tu, aku guna pula bilik air kau tapi aku hairan, masa aku masuk ke bilik kau malam tadi, aku nampak ada orang tidur atas katil kau, siapa tu?” Azhar pandang Saiful sambil meneguk sirap limau ais.

Saiful berkerut kening. Dia memandang Ajid yang sudah menala mata ke arahnya. Azhar dipandang lagi. Lama dia memerhati riak di wajah Azhar.

“Betul kau nampak?” Saiful masih merenung Azhar. Malam tadi, sudah banyak kali dia dan Ajid bertanya Azhar tentang susuk tubuh atas katil itu dan mati-mati Azhar mengatakan yang dia tidak nampak apa-apa. Alih-alih tadi, Azhar tanya pula hal malam tadi. Mana satu yang betul sebenarnya ni?

“Ya... aku nampak ada orang tidur atas katil kau. Yang peliknya kau dan Ajid ada dekat pintu tu.” Azhar sandar tubuhnya di kerusi. Dia pandang Ajid dan Saiful silih berganti.

“Tapi... malam tadi kami tanya kat kau. Kau kata tak nampak apa-apa?” Ajid menyampuk.

“Aku kata macam tu?” Azhar pula berasa bingung.

Serentak Saiful dan Ajid mengangguk.

“Hmm... pelik. Masa aku keluar dari bilik air tu, memang aku tak nampak apa-apa atas katil kau tu Pul tapi masa aku meluru masuk ke bilik kau, aku ternampak ada benda atas katil tu. Masa tu aku dah sakit perut sangat, tak sempat nak tanya korang.” Azhar menggaru kepala yang tidak gatal. Mukannya sudah berkerut-kerut.

Saiful dan Ajid masih mendengar cerita Azhar. Nampaknya apa yang mereka alami dan Azhar alami ternyata berlainan versi. Malam tadi, jelas dia melihat Azhar baring di atas katilnya. Rupa dan pakaian di tubuh lelaki itu sebiji macam Azhar. Cuma lelaki itu membelakangi mereka, tidur mengiring mengadap dinding.

“Kau nampak apa sebenarnya?” Ajid masih tidak puas hati.

“Aku nampak seorang perempuan cantik sedang nyenyak tidur situ.”

“Hah?” Serentak Saiful dan Ajid menjawab. Membuntang mendengar pengakuan Azhar.

“Kau biar betul Har! Aku tak percaya!” Saiful tepuk bahu Azhar.
Entah-entah saja Azhar buat cerita. Malam tadi, dah banyak kali mereka tanya tapi Azhar menafikan dia nampak apa-apa. Pagi ni pula Azhar buka cerita lain!

“Haah! Mana boleh kau nampak perempuan sedangkan aku dan Pul pula nampak kau yang tidur kat atas katil tu!” Ajid mula cerita perkara sebenar tentang apa yang dia dan Saiful nampak malam tadi.

...bersambung
Bab akan datang:
Satu per satu kejadian misteri berlaku di dalam rumah itu. Mengapa mereka sering diganggu? Apa yang ‘benda’ itu mahukan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience