Bab 15

Horror & Thriller Completed 25385

Kadang-kadang Saiful hairan melihat rakan sekuliah yang berhabis duit semata-mata melayan kehendak awek masing-masing. Selesai membeli barang keperluan, mereka mula pulang ke rumah.

Pukul lima petang. Saiful dan Ajid mula ambil angin petang di sekitar laman yang luas. Mereka duduk di buai dekat dengan pokok rambutan sambil menikmati buah jambu air yang diambil pagi tadi semasa membersihkan halaman belakang rumah. Mereka mula berbual kosong. Pulang dari kedai runcit tengah hari tadi, semua barang terus disimpan di dapur. Ikan dan sayur pula disimpan dalam peti sejuk. Malam nanti mereka bercadang untuk memasak sendiri.

“Ajid, kenapa penduduk taman ni tengok kita semacam aje ek?” Saiful mula teringat riak wajah penduduk di situ yang memandang mereka dengan satu pandangan pelik. Sebiji jambu air dikunyah perlahan.
Ajid hanya angkat bahu. Buai dihayun perlahan.

“Esok kau ada kelas pagi?” Ajid pandang Saiful di sebelah. Buai itu cukup untuk dua orang saja.

Saiful angguk. “ Pukul sembilan. Kau?”

“Aku pukul sebelas baru ada kelas. Boring aahh. Kelas tu... lecturer tu slow sikit! Mengantuk aku!” Ajid tersengih.

“Biasa lah tu!” Saiful turut senyum. Walaupun mereka sama-sama mengambil jurusan yang sama tapi kadang-kadang kelas tutorial mereka berlainan.

“Aku hairan lah, Pul. Kita ni macam tak ada jiran. Padahal kawasan taman ni penuh dengan rumah berderet. Orang sebelah rumah kita ni pun, bukan nak tegur kita. Sombong semacam je aku tengok. Masa kita membersih laman tadi, aku perasan jiran kita tu siap keluar dari laman rumah dia. Dah tu, siap jenguk-jenguk kita. Mengintai dari rumahnya. Macam takut nak datang dekat dengan rumah kita ni.” Ajid menghayun buai perlahan-lahan. Terhayun sekali dengan Saiful yang duduk di sebelah. Buah jambu air di dalam baldi kecil sudah separuh dimakan.

“Biarlah Ajid. Mereka nak tegur ke, tak nak tegur ke, kita bukan buat jahat apa pun kat dia orang tu.” Saiful pandang Ajid yang seperti tidak puas hati dengan sikap penduduk di situ.

“Tak ada lah. Kita kan hidup berjiran. Kenalah beramah mesra. Ni dah macam hidup dalam hutan. Dah la rumah sewa kita ni jauh sikit dari rumah dia orang tu,” terang Ajid lagi.

“Kita ni masih belajar. Tak payah lah kau sibuk nak menegur jiran-jiran tu semua. Baik kau tegur nota kau tu! Ada juga faedahnya!” Saiful ketawa.

“Eh, Pul. Cuba kau tengok kat padang tu!” Ajid tuding ke arah padang.

Saiful panjangkan lehernya memandang padang yang tidak terurus. Tidak ada seorang budak atau penduduk di situ yang bermain ataupun berborak di situ. Padang itu lengang. Sejak mereka berpindah ke situ, padang itu dilihat tidak digunakan. Patutlah rumput panjang dan semua alat permainan di situ sudah kelihatan agak lusuh.

“Hmm... kenapa?” Saiful mula menjawab.

“Tak ada orang guna pun. Lengang aje aku tengok. Nak main bola pun, rumput tu dah panjang. Dah jadi macam padang lalang aku tengok. Kenapa dia orang tak guna ek?” Ajid pandang saiful yang masih melihat padang itu.

“Entah. Mungkin padang tu agak jauh dari rumah mereka kut. Kan padang tu betul-betul depan rumah kita ni.”

Ajid angguk-angguk.

“Eh, jomlah masuk rumah, dah nak senja ni.” Saiful pandang ke dada langit. Semakin gelap. Dia terus mengajak Ajid masuk ke dalam rumah bila dilihat jam tangannya sudah menunjukkan pukul enam setengah petang.

“Cepatnya kau nak masuk! Cerah lagi ni!” Ajid masih duduk di buai. Dia pandang Saiful yang sudah bingkas bangun dan tercegat berdiri di depan buai sambil mata melilau melihat sekitar laman.

“Kau tak ingat ke pesan pak cik tadi? Dia suruh kita jangan lepak waktu senja macam ni!” Saiful masih teringat kata-kata pak cik yang berbual dengannya pagi tadi di pangkin.

“Alah! Pak cik tu ugut aje tu! Kau takut apa?” Ajid pandang Saiful yang mula kelihatan takut.

Saiful tidak menghiraukan kata-kata Ajid. Dia terus masuk ke rumah. Ajid tersenyum melihat gelagat Saiful yang mula terpengaruh dengan kata-kata pak cik pagi tadi.

“Apalah. Entah-entah pak cik tu sengaja nak gertak. Mungkin dia cemburu sebab tak dapat rumah sebesar ni.” Ajid sengih sendiri. Dia masih menghayun buai.

Ajid masih lepak di buai. Dia kemudian bangun dan duduk pula di pangkin bawah pokok manggis. Dia memandang pangkin itu yang sudah penuh dengan daun kering. Dia berkerut kening. Baru tengah hari tadi mereka membersihkan pangkin dan kawasan sekitarnya. Semua daun sudah dikumpulkan satu tempat. Ajdi menguis-nguis daun kering sehingga jatuh ke tanah. Dia mula duduk di atas pangkin.

...bersambung
Bab akan datang:
Ada sesuatu yang pelikkah di pangkin itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience