Bab 27

Horror & Thriller Completed 25385

Ajid masih memandang pasu bunga itu. Benaknya masih ligat memikirkan semua yang berlaku. Kes suara yang didengarnya dulu semasa di pangkin dan budak kecil yang memegang anak patung berdiri di tepi pintu bilik bawah yang ada selempang merah itu juga masih menjadi tanda tanya. Itu belum masuk lagi bunyi kuat yang didengarnya malam tadi. Bila diperiksa tiada apa yang berlaku.

“Ahad ni Azhar nak masuk ke rumah ni... kau jangan cakap apa-apa tau!” Saiful menjeling Ajid. Bimbang Ajid akan membuka rahsia tentang kejadian pelik di rumah itu.

Ajid mengangguk. Dia sendiri lega sekiranya rumah itu dihuni lebih dari dua orang. Tak adalah sunyi sangat suasana dalam rumah itu.

“Pul, kau perasan tak dua hari ni tak ada apa yang berlaku?” Ajid menjeling saiful yang masih menonton tv.

“Yalah... aku pun perasan juga.” Saiful pandang sekitar ruang tamu.

“Baguslah macam tu. Nanti Azhar datang rumah ni, tak adalah dia terus tukar fikiran nak pindah. Mana tahu benda itu semua berlaku masa dia tengah pindah barang nanti. Tak ke haru kita nanti?” Saiful menambah.

Ajid mengangguk setuju. Harap-harap masa Azhar pindah masuk nanti, tiada apa yang pelik berlaku. Buatnya muncul pula budak kecil di tepi pintu macam malam tu, rasanya lari tak cukup tanah si Azhar tu!

Azhar tersenyum. Dia memandang rumah besar yang tersergam indah di depannya. Sekeliling rumah itu penuh dengan pokok buah-buahan. Siap dengan pangkin di bawah pokok manggis. Dia cukup puas hati. Keretanya diparkir di laman dekat dengan pokok rambutan di tepi buai.

Saiful menolong Azhar mengangkut barang-barang ke dalam bilik kosong di tingkat atas. Bilik kosong itu terletak di hujung sebelah bilik Ajid.

“Har! Jangan segan-segan kat rumah ni. Kadang-kadang kami masak. Kalau kau nak beli apa-apa, nak makan kat kedai ke, kat hujung taman ni ada restoran dan kedai runcit.” Saiful berehat di sofa selapas penat menolong Azhar mengemas bilik yang agak berhabuk.

“Hmm... okey! Best jugak rumah ni... besar! Perabot pun ada... semua adalah! Aku suka!” Azhar senyum sambil memandang sekitar ruang tamu. Terkesima melihat semua perabot dalm rumah itu. Lengkap semuanya. Kalau di rumah sewanya dulu, banyak yang tak ada. Peti sejuk pun ada peraturannya kalau nak guna. Bayangkan si Razman teman serumah yang beli peti sejuk itu mengenakan cas sepuluh sen setiap kali hendak simpan barang dalam peti sejuk itu. Katanya untuk bayar bil elektrik nanti. Haru gila!

“Malam nanti nak makan apa?” Ajid pula mencelah apabila melihat jam sudah menghampiri pukul lima setengah petang.

“Kita makan ajelah kat restoran. Malaslah nak masak. Kau Har?” Saiful pandang pula Azhar yang leka menonton kartun Popeye.

“Aku ikut aje!” Azhar sengih. Dia sendiri malas masak. Di rumah sewa yang lama dulu pun hanya sekali saja dia masak, tak suka berebut dapur dengan teman serumah yang lain.

“Okay, lepas maghrib nanti kita pergi! Kau ada kereta kan? Naik kereta kau ajelah!” Saiful sengih. Sebenarnya dia malas nak naik motosikal malam-malam begitu. Lalu di jalan kecil yang hanya disinari cahaya lampu jalan yang jaraknya agak jauh dari rumah mereka. Jalan menghala ke rumah sewa mereka pula langsung tiada lampu jalan. Harapkan lampu motosikalnya saja yang menerangi jalan di sepanjang jalan kecil menuju ke rumahnya.

Malam itu, mereka bertiga mula menaiki kereta menuju ke restoran yang selalu mereka singgah. Sepanjang jalan Azhar asyik memerhati sekitar jalan yang agak gelap. Lampu jalan hanya ada di simpang jalan menuju ke deretan rumah kedai di hujung taman.

“Pul, gelap betul jalan ni... kau naik motor dalam gelap macam ni nampak ke?” Azhar masih memandu perlahan. Kepalanya terjongol ke depan melihat jalan yang gelap. Mana tahu ada lubang kat mana-mana.

“Nak hidup...” Saiful yang duduk di bahagian penumpang hadapan mula tersengih.

Kereta wira Azhar mula membelah kegelapan jalan kecil itu menuju ke restoran yang terletak di hujung taman. Ajid yang duduk di tempat duduk belakang sesekali menoleh kiri dan kanan jalan. Rumah jiran-jiran yang terletak di kiri kanan jalan yang menghala ke arah jalan besar nampak lengang. Tidak ada orang yang lepak di anjung rumah. Malah ada yang tidak pasang lampu di anjung rumah. Suasana memang gelap.

Sampai di restoran, mereka mula mencari meja kosong. Setelah memesan makanan kegemaran masing-masing, mereka mula berbual sambil menunggu makanan tiba. Saiful pandang sekitar restoran, mana tahu mak cik jual karipap ada kat situ. Kali ini dia mesti tanya mak cik jual karipap itu tentang karipap misteri yang diberi kepada mereka.

...bersambung
Bab akan datang:
Adakah mak cik itu ada disitu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience