Bab 22

Horror & Thriller Completed 25385

Saiful tersengih. “Eh! Boleh sangat! Kalau kau nak duduk pun boleh! Ada satu lagi bilik kosong!” Saiful lega bila Azhar menawarkan diri untuk lepak di rumah bercat hijau itu. Kalau Azhar nak tinggal sekali di situ lagilah dia suka. Dialu-alukan!

“Bilik kosong? Hmm... sounds great! Boleh jugak! Rumah yang aku duduk sekarang ni padat. Terpaksa kongsi tiga orang satu bilik!” Azhar mula memikirkan tawaran Saiful.

Saiful senyum lebar. Nampaknya rumah itu bakal ada seorang lagi penghuni.

“Bila kau nak pindah?” Saiful senyum lagi. Teruja!

“Hmm... hujung bulan ni. Maknanya seminggu lagi la!” Azhar sengih.

“Hmm... bagus tu! Sewa kita bagi tiga. Maknanya kau cuma bayar tujuh puluh ringgit saja termasuk duit api air!” Saiful mula lega.
Tidaklah dia dan Ajid saja menghuni rumah bercat hijau itu.
Nampaknya Azhar sudah setuju.

“Murah gila bro! Tuan rumah tu betul ke? Bagi sewa murah macam tu... dahlah rumah dua tingkat!” Azhar mula sangsi. Betul ke Saiful ni??

“Alah... tuan rumah tu orang kaya. Tak ada hal lah setakat dua ratus sebulan. Banyak lagi income dia!” Saiful mula berbohong. Dia melihat riak Azhar. Tiada riak curiga di wajah anak muda itu. Dia senyum.
Azhar sengih. Dia minta diri ke kelas.

Senyuman Saiful semakin lebar. Bermakna dia dan Ajid akan ada seorang lagi rakan serumah di rumah sewa itu. Dia menjeling jam. Sudah hampir empat petang. Kelas Ajid habis pukul empat setengah petang.

SAMPAI di rumah, Saiful mula cerita pada Ajid yang Azhar akan menginap di rumah itu. Ajid memandang Saiful tidak berkelip.
“Pul, kau tak cerita ke pasal kejadian karipap tu?”

“Tak! Bodohlah kalau aku cerita kat dia pasal tu! Alah! Biarlah! Kan ada satu lagi bilik kosong, taklah kita berdua saja menghuni rumah ni!” Saiful pandang sekitar rumah. Sunyi.

“Hmm... kita nak makan apa malam nanti?” Ajid sengih sambil garu kepala.

“Kita makan kat restoran hujung tulah! Barang kat dapur dah habis.” Saiful teringat semalam dia hanya beli dua ekor ikan kembung dan sedikit kubis.

Ajid mengangguk.

SELESAI solat asar, mereka berdua segera ke restoran di hujung taman perumahan. Tiba di restoran, mereka mula memesan makanan kegemaran masing-masing. Saiful memandang pelanggan yang datang ke situ. Mungkin orang luar kerana tiada sebarang pandangan pelik ke arah mereka berdua. Saiful senyum.

“Nasi goreng kampung dan nasi goreng pattaya sudah sampai!” Seorang gadis datang membawa dua pinggan nasi goreng dan diletakkan di atas meja Saiful dan Ajid. Dia terus berlalu pergi sambil tersenyum.

“Terima kasih!”

Mereka mula menikmati makanan dengan penuh berselera.

“Nak…”

Hampir tersedak Saiful bila melihat perempuan tua yang menjual karipap muncul lagi. Ajid juga turut terkejut. Matanya bulat melihat perempuan tua itu membawa sebakul karipap. Dan yang pelik lagi perempuan tua itu tidak pernah bersalin pakaian. Perempuan tua itu masih memakai pakaian yang sama.

“Err... mak... mak cik nak jual karipap ke?” Saiful beranikan diri bertanya.

“Tak... mak cik nak bagi karipap ni... tak payah bayar.” Terketar-ketar suara perempuan tua itu berkata.

“Err... mak cik, kami tak makan karipap. Kami tak suka.” Ajid cepat-cepat menolak. Teringat karipap bawah saji, sebaik saja mereka bawa pulang karipap makcik itu dua hari lepas.

“Tak apa lah… mak cik tahu kamu bohong. Karipap mak cik habis kamu makan malam tu.” Mak cik itu letak sebungkus karipap di atas meja dan terus berlalu pergi. Jelas di wajah perempuan itu ada riak sugul dan sayu.

Saiful dan Ajid tercengang. Masing-masing terdiam mendengar kata-kata perempuan tua tadi.

“Pul, macam mana mak cik tu tahu kita makan karipap dia malam tu?” Peluh mula menitik ke dahi Ajid, ditambah pedas nasi goreng pattaya yang dimakan tadi.

Saiful mengangkat bahu. Dia sendiri bingung. Mereka cepat-cepat menghabiskan makanan. Kelibat perempuan itu sudah hilang dari pandangan.

“Dik, berapa semua tadi?” Saiful pandang gadis cashier. Kali ini tiada senyuman. Fikirannya masih tertumpu pada perempuan tua itu.

“Semua dua belas ringgit!”

Saiful terus membayar. Sempat dia bertanya pada gadis cashier mengenai perempuan tua yang menjual karipap tadi kerana gadis itu berada di tempat cashier sejak dari tadi. Sudah tentu dia perasan siapa yang keluar masuk restoran itu.

“Mak cik jual karipap?” Gadis itu terpinga-pinga bila Saiful bertanyakan perempuan tua itu.

Saiful angguk. “Ya, dia tinggal kawasan sini ke? Dia selalu ke datang restoran ni?”

“Err... tak ada pulak mak cik jual karipap datang sini. Kenapa bang?” Gadis itu mula pelik dengan pertanyaan Saiful.

...bersambung
Bab akan datang:
Adakah mak cik menjual karipap itu wujud sebenarnya atau mereka sahaja yang boleh melihatnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience