Bab 5

Horror & Thriller Completed 25385

Habis kelas, Saiful dan Ajid mula mencari rumah yang tertera di iklan yang diberi Azhar sebentar tadi. Perlahan mereka menyusuri jalan sempit ke arah sebuah rumah yang agak jauh dari rumah lain. Tiba di pintu pagar, Saiful menjenguk-jenguk sekitar kawasan rumah. Rumah dua tingkat itu diperhati lama. Rumput di laman sudah siap dipotong, kemas. Ada sebuah buai di tepi laman berhampiran sebatang pokok rambutan yang rendang. Di sebelah kiri rumah pula, ada dua batang pokok buluh yang merimbun di tepi pagar berkawat. Di kanan rumah, ada sebuah pangkin yang terletak betul-betul bawah pokok manggis.

“Pul, cantik jugak rumah ni... kawasannya luas gila!” Ajid senyum. Mula terasa puas bila melihat keadaan luar rumah yang kemas dan unik.

Saiful hanya angguk sambil meninjau keadaan sekitar rumah. Rumah yang dipagari dengan pokok menjalar dengan bunga berwarna merah jambu cukup memberi bau wangi sekitar kawasan.

“Err... kau dah call owner rumah tak?” Ajid sudah tidak sabar.

“Dah. Lepas Azhar beri aku iklan ni, aku try call. Dia janji nak datang esok. Aku dah janji jumpa kat depan rumah ni la.” Saiful masih menjenguk ke dalam kawasan rumah.

“Oh… baguslah tu. Tak adalah nanti kita berebut dengan orang lain. Sekarang ni rumah sewa bukan senang nak cari. Siapa yang bayar deposit dulu, dia yang dapat. Kalau kita tak cepat, melepas kita nanti. Dahlah kita dah lama nak cari rumah sewa ni.” Panjang Ajid membebel.

“Ya, aku faham. Bukan kau seorang aje yang cari rumah sewa ni. Aku pun kalau boleh nak blah dari rumah abang aku hari ni juga.” Saiful sengih.

“Kenapa kau nak sangat keluar dari rumah abang kau tu? Aku rasa tak adalah jauh sangat rumah abang kau dari kampus kita ni? Lagipun kau ada motor.” Ajid pandang Saiful yang masih terjenguk-jenguk melihat keadaan sekitar rumah.

“Ah! Tak payahlah kau tahu sebabnya. Janji aku keluar dari rumah tu.” Saiful berpaling ke arah Ajid yang masih memandangnya dari tadi.

“Hmm... kalau macam tu, kita duduk rumah ni. Aku dah berkenan sangat dengan rumah ni. Dahlah luas, banyak pokok buah, siap ada buai lagi tu hah!” Ajid muncungkan mulutnya ke arah sebuah buai yang terhayun-hayun ditiup angin.

Saiful hanya angguk. Matanya masih melilau melihat sekitar rumah. Pintu pagar yang berkunci menyebabkan mereka hanya boleh melihat dari luar pagar. Dia pandang pula jiran-jiran sebelah menyebelah. Nyata rumah itu agak jauh dari rumah lain.

“Ajid, kira jadilah rumah ni. Aku call lagi sekali tuan rumah ni.” Saiful mula menghubungi nombor yang tertera di kertas sekeping itu.
Ajid menunggu penuh sabar. Dia mula senyum bila melihat riak Saiful sudah berubah. Senyum Saiful sudah meleret.

“Macam mana?” Ajid semakin tidak sabar.

“Ok! Set! Esok kita jumpa owner kat depan rumah ni!” Saiful senyum lebar.

Mereka berdua mula meninggalkan tempat itu. Motosikal Saiful mula menuju ke jalan besar. Tadi semasa masuk ke kawasan perumahan itu mereka terpaksa melalui jalan kecil yang hanya muat sebiji kereta sahaja untuk ke rumah bercat hijau itu..

“Pul, kau berhenti kat bus stop depan tu ajelah. Aku rasa bas tu boleh pergi ke Kajang.” Ajid tuding ke arah sebuah perhentian bas di depan jalan besar sebaik keluar dari kawasan perumahan itu.

Saiful memperlahankan motosikalnya dan berhenti betul-betul di depan perhentian bas itu.

“Kau pasti ke bas kat sini pergi ke Kajang?” Saiful ambil helmet yang dihulur Ajid.

“Ya, tadi aku nampak ada tulis ke Kajang.” Ajid mengemaskan rambutnya yang agak berserabai. Beg sandang dikemaskan di bahu kiri.

“Betul ni?” tanya Saiful lagi. Buatnya Ajid melangut tunggu bas tak sampai-sampai.

Ajid angguk.

“Kalau macam tu, okeylah.” Saiful mengikat helmet yang dihulur Ajid tadi di belakang tempat duduk.

“Pul, kau perasan tak tadi?” Ajid masih berdiri di depan motosikal Saiful.

“Perasan apa?”

“Masa kita duk terjenguk-jenguk tengok rumah tu, aku perasan ada beberapa orang kat situ duk sama terjenguk-jenguk tengok kita. Kenapa ek?” Ajid pandang Saiful tak berkelip.

“Entah! Alah... mungkin kita ni orang baharu kat situ, sebab tulah mereka asyik tengok aje kat kita.” Saiful sengih.

“Tapi aku pelik, mereka tu macam bercakap sesama sendiri. Siap tunjuk-tunjuk lagi.” Ajid garu kepala pula.

“Alah kau ni! Tak payahlah nak fikir sangat apa yang mereka tu buat. Perempuan kan?” Saiful betulkan tali topi keledar. Beg sandangnya dikemaskan di belakang.

Ajid angguk.

“Hah! Kalau dah namanya perempuan, tentulah mereka tu sibuk! Tambah kawasan perumahan macam tu! Apa lagi nak buat petang-petang macam ni? Mengumpatlah!” Saiful ketawa.

...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa penghuni di kawasan itu terjengukkan mereka ketika mereka datang meninjau di kawasan perumahan itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience