Bab 20

Horror & Thriller Completed 25385

“Entahlah! Kuat juga bunyi tu. Macam benda jatuh menghentam lantai.” Saiful juga masih memikirkan kejadian tadi.

Bukkk!!!

Saiful dan Ajid sekali lagi saling berpandangan. Bunyi itu sekali lagi kedengaran di telinga. Lagi kuat dari tadi. Masing-masing diam membisu. Tiada sepatah pun keluar dari mulut mereka. Hanya mata yang berkata-kata.

“Pul... itu bunyi apa sebenarnya?” Akhirnya Ajid beranikan diri bersuara.

“Entah... tadi kita pergi tengok, tak ada apa-apa pun.” Saiful mula tarik kedua kakinya dan memeluk kedua lututnya ke dada.

Ajid dilihat sudah menempel di sebelahnya. Juga meniru gayanya.

“Habis tu apa?”

Saiful menjongket bahu.

Duuuummmmmmmm!!!!

Saiful dan Ajid cepat-cepat berlari naik ke tingkat atas. Kain pelikat yang dipakai dikilas kemas dan diangkat sehingga ke paras lutut. Ajid mengikut Saiful ke biliknya. Dia tidak berani tidur di biliknya seorang diri.

DI DALAM BILIK, Saiful dan Ajid masing-masing diam membatu atas katil. Wajah mereka pucat memikirkan kejadian tadi. Bunyi yang kuat dan juga karipap di bawah saji. Semuanya masih bingung. Tambah lagi kelibat yang melintas di cermin tingkap dapur dan bagaimana karipap boleh ada di bawah saji itu. Setahu mereka, tidak pernah mereka beli karipap siang tadi.. Malam semalam pun ada karipap bawah saji.

“Ajid, kau rasa macam mana karipap tu boleh ada kat situ?” Saiful mula pandang Ajid yang berbungkus dengan selimut di sebelahnya.
Ajid hanya geleng. Dia sendiri pening memikirkan kewujudan karipap itu.

“Bunyi tadi tu, bunyi apa eik?” Saiful tanya lagi. Dia sudah tahu, Ajid juga tidak tahu jawapan pada soalannya tadi.

“Kau rasa rumah ni berhantu ke?” Ajid mula melihat sekitar bilik saiful.

“Kau ni! Celupar mulut tu!” Saiful siku lengan Ajid.

“Yalah... dengar bunyi jatuh tapi bila tengok tak ada apa pun.” Ajid merengus.

Saiful masih diam.

“Dahlah! Tidur ajelah!”Ajid mula baring.

“Kau dah solat isyak belum?” Saiful cuit lengan Ajid yang mula hendak tidur.

“Belum!”

“Kalau belum, jomlah ambil wuduk. Kita solat dulu.” Saiful goncang bahu Ajid dengan kuat.

“Ya lah!” Ajid bingkas bangun. Mereka sama-sama masuk ke bilik air. Malam itu mereka berdua berjemaah menunaikan solat isyak. Sengaja Saiful melaungkan azan dengan kuat sebelum solat.

******

PAGI, selepas solat subuh, Saiful dan Ajid pagi-pagi lagi sudah bersiap untuk ke kampus. Pagi itu mereka tidak bersarapan di rumah. Mereka berdua mula menaiki motosikal menuju ke jalan besar. Ajid, sebenarnya dia tidak ada kelas waktu pagi tetapi dia ikut juga Saiful ke kampus. Dia tidak berani tinggal seorang diri di rumah itu. Sepanjang mereka lalu di kawasan rumah jiran, ada yang memandang tidak berkelip ke arah mereka. Seolah mereka adalah musuh ketat bagi penduduk di situ.

“Dik!”

Saiful dan Ajid berpaling. Motosikal diberhentikan tepi jalan. Seorang perempuan yang agak berumur mungkin dalam lingkungan empat puluhan memanggil mereka. Kelihatan ada seorang budak sekolah yang sudah siap untuk ke sekolah dengan beg sandang belakang.

“Ada apa kak?” Saiful buka helmet.

“Adik ni tinggal di rumah hujung tu ke?” Perempuan itu mula bertanya.

Saiful dan Ajid mengangguk serentak.

“Kenapa kak?” Ajid pula mencelah.

“Berapa sewa?” Perempuan itu tidak menjawab soalan Ajid sebaliknya dia bertanya lagi.

“Dua ratus aje kak! Kami ni kan student lagi, manalah mampu nak sewa mahal-mahal. Kenapa kak?” Saiful mula pelik bila ramai yang bertanya begitu.

“Ooo...” Pendek saja perempuan itu menjawab tanpa mengendahkan pertanyaan Saiful tadi.

“Err... kenapa kak?” Saiful masih tidak puas hati.

“Err... tak ada apa.” Perempuan itu hanya senyum hambar.

“Abang! Mak cakap rumah tu berhantu! Rumah tu kan.” Budak di sebelah perempuan itu mula bersuara. Perempuan itu terus menekup mulut anaknya sambil berlalu pergi ke arah jalan besar.

Saiful dan Ajid terdiam. Terkedu.

“Pul, kenapa budak tu cakap macam tu?” Ajid jeling Saiful.

“Entah... saja kut.” Motosikal mereka mula menuju ke jalan besar.

TIBA di kampus, Saiful dan Ajid mula bersarapan di kafeteria universiti. Masing-masing diam memikirkan kata-kata budak tadi.

“Pul, kau percaya ke kata budak tu?” Ajid pandang Saiful sambil mengunyah roti canai.

“Entah! Aku pun macam tak percaya sebab kalau betul, kenapa benda tu tak kacau kita. Dia usik kita dengan karipap aje!” Saiful tersengih. Kadang-kadang gelihati melihat ada karipap bawah tudung saji. Macam silap mata pulak. Kalaulah ayam golek yang mereka nampak bawah saji, tentu jimat duit belanja! Dia senyum sendiri.

“Apasal kau senyum ni? Aku serius ni! Kalau betul rumah tu berhantu, baik kita pindah aje Pul!” Ajid mula berasa seram.

“Alah kau ni Ajid... buat apa nak takut sangat. Kita kan sembahyang, baca Quran. Benda tu takkan kacau lah!” Saiful teguk air kopi panas.

...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah rumah itu berhantu? Apakah yang pernah terjadi di dalam rumah itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience