Bab 45

Horror & Thriller Completed 25385

Aku rasa bersalah pada keluarga Ajid. Sekurang-kurangnya dengan cara itu, aku dapat meringankan kesedihan keluarga Ajid. Terpulang pada keluarga Ajid sama ada nak saman ke, nak tuntut ganti rugi ke. Aku mesti jumpa tuan rumah tu!” Saiful mula mendapat kekuatan.
Petang itu, Saiful dan Azhar mula menjejaki tuan rumah bercat hijau itu. Dari nombor telefon yang diberi dulu, Saiful mula membuat temu janji dengan tuan rumah. Mereka mula berjumpa di sebuah restoran di sebuah pekan kecil tidak jauh dari taman perumahan itu.

“Err... awak Saiful?”

Saiful menoleh. Di sebelahnya kini tercegat seorang perempuan yang agak tua dengan pakaian yang agak mahal. Berselendang merah menampakkan sebahagian rambut warna perang yang terjuntai di dahi. Perempuan itu cantik mengenakan sepasang baju kurung merah berbunga kuning. Lagak seperti seorang datin.

Saiful mula mengangguk sambil mempersilakan perempuan itu duduk. Azhar juga turut melemparkan senyuman. Matanya merenung tajam melihat perempuan itu yang mula melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Saiful.

“Sebelum anak ni bertanya, mak cik nak bagi tahu. Mak cik sebenarnya tidak mahu menyewakan rumah tu pada sesiapa tapi adik mak cik yang beria benar nak menyewakan rumah tu. Katanya daripada dibiarkan kosong lebih baik bagi sewa. Maafkan mak cik. Adik mak cik tidak tahu apa-apa tentang rumah tu.” Perempuan itu mulakan mukadimmah.

“Kami rasa tertipu mak cik. Tapi mungkin salah kami juga. Mungkin disebabkan kami sudah bosan mencari rumah sewa maka kami sewa juga rumah tu. Memang kami rasa ada sesuatu yang tak kena bila sewa rumah tu terlalu murah untuk sebuah rumah yang lengkap dengan perabot.” Saiful mula berbicara.

“Cuma... kami nak tahu, mengapa rumah tu macam tu? Kami diganggu jelmaan perempuan cantik berpakaian pengantin dan bermacam perkara pelik berlaku kat rumah tu. Dan malam kemuncaknya ialah pada malam kawan saya dilanggar lori!” Saiful pandang perempuan yang layak dipanggil ibu itu dengan sebuah renungan tajam mengharapkan segala kekusutan akan terurai dan terjawab.

“Nak... maafkan mak cik sekali lagi. Macam mak cik kata tadi, mak cik tak nak bagi sewa rumah tu. Rumah tu sebenarnya dulu anak perempuan mak cik yang duduk. Perempuan cantik yang anak nampak tu mungkin jelmaan anak mak cik. Mak cik paksa anak mak cik berkahwin dengan seorang lelaki kaya pilihan mak cik. Dia tidak setuju. Dia sudah ada kekasih hati.” Kata-kata perempuan itu terhenti seketika. Matanya menala pada Azhar. Lama wajah Azhar direnung.

Azhar mula rasa tidak selesa bila direnung begitu.

“Err... maaf, ni siapa?” Perempuan itu mula bertanya tentang Azhar.

“Dia kawan saya mak cik. Kenapa?” Saiful pula tercengang melihat mak cik itu tidak berkelip melihat Azhar. Wajah mak cik itu sudah berubah rona. Macam terkejut dan agak pucat.

“Oh... tak... tak ada apa. Berbalik kepada cerita anak perempuan mak cik tadi, berbulan mak cik pujuk dia supaya terima lelaki tu. Tapi dia tetap menolak sehingga memaksa mak cik untuk bagi kata dua kepadanya. Kahwin dengan pilihan mak cik atau mak cik tak mengaku dia anak.

Dia tetap dengan keputusannya. Satu hari dia bagi tahu mak cik, dia dah mengandung. Mak cik terkejut. Rupanya dia berkeras nak kahwin dengan kekasih hatinya sebab mereka sudah terlanjur. Mak cik tak dapat buat apa-apa. Mak cik terpaksa mengikut katanya. Pada malam akad nikah yang sederhana, kekasih anak mak cik telah mati dalam satu kemalangan. Dia dilanggar lori. Langgar lari. Anak mak cik tidak dapat menerima kenyataan. Satu malam, di bilik kecil dekat dapur rumah tu, anak mak cik telah menggantungkan dirinya. Sejak itu, mak cik berpindah dari rumah tu.” Sambung perempuan itu lagi.
Dia mula sebak.

Saiful mendengar penuh khusyuk. Sungguh tragis kehidupan yang dilalui anak perempuan itu. Dia menjeling Azhar yang turut khusyuk mendengar luahan hati perempuan itu.

“Sejak itu, mak cik jarang ke rumah tu. Kalau ada pun, mak cik upah orang di situ membersihkan dan mengemas perabot di rumah itu hanya waktu siang. Dari cerita penduduk di situ, mak cik dapat tahu roh anak mak cik masih berkeliaran di rumah itu pada waktu malam.” Perempuan tua itu menyambung bicara.

Saiful masih khusyuk mendengar cerita sebenar dari perempuan tua itu.

“Mak cik, apa pula kaitan dengan mak cik jual karipap. Kami jumpa di restoran hujung taman. Dia selalu bagi sebungkus karipap kepada kami. Apa yang peliknya... karipap itu ada bawah tudung saji walaupun kami dah makan habis.” Saiful mula teringat kejadian karipap dan mak cik jual karipap.

...bersambung
Bab akan datang:
Ajid telah dilanggar lori. Bagaimana dengan keluarganya? Adakah mereka dapat menerima kenyataan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience