Bab 43

Horror & Thriller Completed 25385

“Ooo... sebab tu lah kaki kau luka.” Saiful mula tersenyum. Geli hati mendengar cerita Azhar yang panik sampai begitu sekali. Kasihan pun ada juga.

“Eh... mana Ajid ni?” Saiful memandang lagi ke arah luar restoran. Tiada tanda-tanda Ajid muncul. Dia melihat jam di dinding restoran. Sudah hampir pukul dua pagi.

Malam itu mereka berdua duduk di situ sampai pagi. Sudah bergelas kopi panas dipesan. Nasib baik Azhar ada dompet duit di poket seluarnya. Saiful pula hanya sehelai sepinggang. Segala barang berharga seperti beg duit, telefon bimbit, komputer riba dan yang lain ditinggalkan begitu saja. Waktu itu hanya diri sendiri yang difikirkan. Rumah pula dibiarkan terbuka luas.

“Kalau pencuri masuk, habislah barang kita. Beg duit aku ada kat bilik! Adoi!!” Saiful mula teringat semasa dia berlari keluar tadi, dia keluar sehelai sepinggang!

Terpaksa mereka berdua duduk di situ. Saiful sudah tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Dia memandang Azhar yang sudah menekup muka di meja makan. Mungkin masih terasa sakit. Dia mula ketawa sendiri apabila mengingati semula kejadian tadi. Azhar berseluar pendek paras lutut dan baju sukan tanpa lengan. Sedangkan dia pula berlari keluar dengan seluar tidur ala boxing yang besar dan baju kemeja lengan pendek.

PAGI itu, Saiful dan Azhar mula sedar apabila pelayan restoran mengejutkan mereka. Tersipu-sipu Azhar dan Saiful keluar dari restoran itu. Sakit badan masih terasa. Seumur hidup mereka belum pernah duduk melepak di restoran sampai ke pagi. Dia lihat jam di dinding restoran sekali lagi. Sudah pukul enam setengah pagi.
“Har... kita tunggu cerah sikit. Aku tengok masih gelap lagi ni. Kita solat dulu la kat surau tu!” Saiful mula mengajak Azhar ke sebuah surau yang terletak tidak jauh dari restoran itu.

Azhar hanya mengikut. Terhincut-hincut dia berjalan sambil memegang lutut yang sudah kering darahnya. Mereka mula menunaikan solat subuh. Selesai solat, mereka mula berjalan pulang ke rumah. Berbagai-bagai perasaan mula terasa. Takut, resah, gelisah. Semuanya bercampur baur. Di fikiran mula terbayang kejadian malam tadi.

“Pul... kau rasa perempuan tu ada tak siang-siang macam ni?” Azhar berhenti di pintu pagar rumah sebaik mereka sampai.
“Siang hari mana ada. Macam nilah, kita ambil barang berharga dulu dan kita keluar dari rumah ni lepas semua barang berharga kita ambil! Aku pun dah serik duduk di rumah ni!” Saiful memujuk Azhar untuk masuk ke dalam rumah.

Saiful dan Azhar mula ke bilik masing-masing. Saiful cepat-cepat ambil komputer riba dan beg duit. Kain baju dimasukkan mana yang sempat. Dia capai pula telefon bimbitnya yang diletak di atas meja belajar.

“Uih! Banyaknya missed call!” Saiful mula periksa panggilan yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Belum sempat dia menelefon nombor yang tidak diketahui, telefonnya mula berdering.
“Hello! Ya saya! Apa?” Saiful menelan liur. Dia tergamam seketika. Suaranya seperti sudah tersekat di anak tekak.

Azhar pula mula mengemas barangnya. Segala barang berharga masih berada di dalam almari pakaiannya. Dia cari pula kunci kereta. Dia lega bila melihat kunci kereta masih di atas meja belajar. Kalaulah pencuri masuk ke rumah malam tadi, senang-senang sahaja mereka mengambil barang berharga dan mencuri keretanya!

“Har...”

Azhar menoleh ke arah pintu biliknya. Saiful sudah tercegat di situ dengan wajah sugul. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada Saiful.

“Kenapa, Pul? Muram pelik aje muka kau!” Azhar memandang Saiful. Tangannya ligat memasukkan pakaiannya ke dalam beg.

“Ajid... dia...” Saiful tidak dapat meneruskan kata-kata. Dia mula sebak. Berita yang diterima tadi sungguh tidak diduga.

“Kenapa dengan Ajid?” Azhar berhenti mengemas dan mula mendekati Saiful yang masih sugul.

“Kalau kau dah siap mengemas, kita ke hospital ya!” Saiful tunduk. Suaranya tersekat-sekat.

Azhar hanya angguk. Sesuatu yang serius telah terjadi pada Ajid. Tidak berani dia bertanya lebih kepada Saiful. Setelah semuanya diambil, Azhar terus memecut laju ke hospital. Dalam perjalanan, dia hanya diam sambil menjeling Saiful di sebelah yang masih sugul tanpa sepatah kata. Keretanya mula membelok ke pintu masuk hospital.

Saiful pula masih tidak percaya dengan berita yang diterima sekejap tadi. Selagi dia belum melihat dengan matanya sendiri, dia tidak berani memberitahu keluarga Ajid tentang hal itu. Birlah segala-galanya pasti.

Tiba di hospital, Saiful segera bertanya kepada jururawat yang bertugas di kaunter depan. Azhar hanya mengikut langkah Saiful yang laju menuju ke wad ICU. Dari luar tingkap, mereka berdua hanya melihat susuk tubuh kecil terbaring atas katil dengan wayar besar bersambung di hidung. Kaki dan tangan pula berbalut penuh.

...bersambung
Bab akan datang:
Apa yang terjadi pada Ajid? Mengapa tiba-tiba dia di hospital?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience