Bab 4

Horror & Thriller Completed 25385

“Apa ni?”

“Kau bacalah! Kau cari rumah sewa kan?” Termengah-mengah Azhar bersuara.

Saiful angguk dan terus membaca isi kandungan kertas itu. Dia senyum. Terasa harapan untuk menyewa rumah dalam masa terdekat makin cerah.

“Har, mana kau dapat iklan rumah sewa ni?” Saiful pandang Azhar yang masih termengah-mengah.

“Aku ambil kat batang pokok dekat dengan kawasan masuk ke kampus ni.” Azhar sengih.

“Batang pokok?” Saiful tercengang.

Zahar angguk.

“Kat mana? Kau biar betul Har! Betul ke iklan ni?” Saiful pandang pada kertas sekeping itu berkali-kali. Memang ada tulis rumah untuk disewa. Siap dengan nombor telefon lagi.

“Betullah! Iklan tu ditampal kat batang pokok. Tapi yang peliknya satu keeping tu je. Nasib baik aku sempat ambil tadi.” Azhar sengih lagi.

“Hmm... tak apalah. Nanti aku call nombor telefon ni.” Saifull simpan dalam poket seluar jeans.

“Alah... kau call aje nombor tu. Tak rugi apa pun kan?” Azhar pandang Saiful yang masih berkerut kening melihat iklan tadi.

“Yalah... aku call nanti. Kau dah makan?” Saiful teguk lagi teh tarik yang masih berasap.

“Belum. Kau nak belanja ke?”

“Kau ni... asal tolong aku aje, kau nak upah!” Saiful meluku kepala Azhar.

“Alah... nasi lemak seringgit aje pun! Kedekut tahi hidung masin betullah kau ni!” Azhar mencebik.

“Yalah! Nah!” Saiful hulur duit sepuluh ringgit kepada Azhar.

“Macam nilah kawan!” Azhar bingkas bangun dan segera ke gerai yang berderet di medan selera itu dengan pelbagai menu sarapan. Dia kembali ke meja Saiful setelah membeli dua bungkus nasi lemak lauk sambal kerang.

“Amboi! Ni dah lebih! Aku makan nasi lemak kosong aje tau!” Saiful jeling nasi lemak di depan Azhar.

Azhar hanya senyum sumbing. Nasiblah kau Pul! Tuah aku la hari ni!
“Mana Ajid?” Saiful mula bertanyakan hal kawannya itu.
“Entah! Dia kan selalu lambat! Tertinggal bas lagi la tu agaknya.”
Azhar tidak pandang Saiful. Dia begitu menikmati nasi lemak berlaukkan sambal kerang dengan air kopi panas.

“Hmm... tulah Har. Aku dan Ajid ni tinggal jauh dari kampus ni. Hari-hari nak kena bangun pagi. Lepas tu terpaksa meredah kesesakan jalan raya lagi. Kau lainlah! Dah ada rumah sewa!” Saiful mengeluh lagi.

“Alah... aku pun kebetulan la Pul. Masa aku tengah cari rumah sewa dulu, kebetulan Nordin nak cari teman sebilik. Bilik yang dia sewa tu mahal. Jadi kalau kongsi tiga orang, boleh share. Murahlah sikit katanya. Aku apa lagi, bagai orang mengantuk disorongkan bantal lah. Kebetulan aku pun sedang cari bilik kosong masa tu. “ Panjang lebar Azhar menjawab pertanyaan Saiful.

“Hmm... tu la.” Saiful menopang dagu.

“Aku rasa baik kau call nombor tu. Mana tahu kau bernasib baik! Dapat rumah besar dan murah sewanya!” Azhar kenyit mata.
Saiful hanya senyum. Murah apanya kalau dah rumah besar! Tentulah beribu nanti sewanya! Saiful jeling Azhar yang sudah habis menelan nasi lemak. Lapar sangatlah tu!

“Kau ada kelas ke?” Azhar mendongak melihat Saiful yang sudah bingkas bangun.

“Ya, pukul sembilan nanti. Lecturer aku tu garang gila beb! Aku kena cepat ni!” Saiful ambil beg sandangnya di atas kerusi. Dia terus beredar dari situ.

Azhar hanya memerhati Saiful berlalu pergi. Hairan bila dapat tahu Saiful sedang mencari rumah sewa sedangkan Saiful sudah pun tinggal dengan abangnya di Petaling Jaya.

Saiful tersenyum. Ajid rupanya sudah dulu masuk ke kelas Profesor Rashid. Dia mendekati Ajid yang sudah mula membuka nota kuliah.

“Ajid, awalnya kau sampai?” Saiful melabuhkan punggung di sebelah Ajid.

“Mahunya tak awal! Aku terjaga pukul lima pagi beb!” Ajid sengih.
Saiful turut senyum. “Habis kau buat tahajjud tak?”

Ajid sengih sumbing.

Saiful faham senyuman itu. Muka Ajid ni nak buat tahajjud? Kirim salam! Subuh pun selalu terlepas!

“Pul, bila kita nak cari rumah sewa lagi?” Ajid tanya lagi soal rumah sewa.
“Ha... ni, aku ada iklan rumah sewa ni.” Saiful ambil kertas dari poket seluar jeansnya dan ditunjukkan kepada Ajid.

Ajid baca sekilas. “Mana kau dapat ni?”

“Azhar yang beri pada aku tadi.” Saiful sengih. Dia mula keluarkan nota kuliah dari beg sandangnya.

“Oh... boleh cuba tanya ni Pul.” Ajid pula teruja.

“Lepas kuliah ni, kita pergi cari rumah tu. Kita pun tak ada kelas sampai petang kan?” Saiful teringat jadual kelasnya untuk hari itu. Semua kuliah sama dengan Ajid. Hanya kelas tutorial sahaja yang kadang-kadang berlainan.

Ajid angguk.

“Kalau macam tu, lepas kuliah ni, kita ronda cari rumah ni.” Saiful senyum lebar. Harapannya tinggi.

...bersambung
Bab akan datang:
Dimana agaknya terletak rumah sewa yang ingin dicari itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience