Bab 19

Horror & Thriller Completed 25385

Masa mula-mula datang lagi, bilik itu sentiasa berkunci. Tuan rumah pula tidak serahkan kunci bilik itu masa hari pertama masuk ke situ. Di muka pintu bilik itu pula tergantung kain merah di kiri dan kanan pintu. Teringat pula filem Hantu Dalam Botol Kicap, ada satu bilik yang diletak kain selempang merah yang tidak boleh dibuka sesuka hati.

“Ajid, kau rasa bilik tu ada apa ek?” Saiful mula merasa sangsi.

“Bilik mana?”

“Tu... bilik kat dapur tu!” Saiful menuding ke arah kiri.

“Hihihi…” Tiba-tiba Ajid ketawa kecil.

“Kenapa kau ketawa?” Saiful hairan melihat gelagat Ajid.

“Bila aku tengok kain merah tu, teringat pulak cerita Hantu Dalam Botol Kicap. Hihihi... penuh dengan botol kicap dalam bilik tu!” Ajid ketawa lagi.

“Ingat aku aje yang fikir macam tu! Hahaha!” Saiful turut ketawa.
Perasaan seram tadi mula bertukar kepada gelak ketawa. Mereka mula menonton cerita yang dari tadi terpasang tanpa penonton.
Sedang leka menonton tiba-tiba bunyi sesuatu yang kuat seolah ada benda jatuh dari atas bumbung ke lantai. Saiful dan Ajid berpandangan. Bunyi yang datang dari arah dapur itu cukup kuat.

“Kau dengar tak apa yang aku dengar?” Ajid mula cuit lengan Saiful.
Saiful mengangguk.

“Bunyi tu datang dari dapur kan?”Ajid menoleh sekilas ke arah dapur kemudian beralih pula pada Saiful di sebelahnya.

Saiful turut mengangguk.

“Nak tengok tak apa dia?” Ajid menelan liur.

“Kau rasa?” Saiful turut menelan liur.

“Aku boleh aje... janji kau pun ada sama..” Ajid sengih.

Perlahan mereka berdua menapak ke arah dapur. Ajid berjalan di belakang Saiful sambil memegang hujung baju Melayu Saiful.
Mulutnya kumat kamit membaca ayat Kursi. Tiba di muka pintu dapur, Saiful mula menekan suis lampu dapur. Dapur sudah terang benderang. Tiada sesiapa di situ. Tiada apa yang jatuh. Semuanya elok. Saiful mula pandang tudung saji atas meja makan. Habis makan malam tadi, hanya sedikit sayur yang diletakkan di bawah saji itu.

“Apa yang bunyi kuat tadi tu?” Ajid tarik baju melayu Saiful.

“Entah... tak ada apa yang jatuh.” Saiful melihat sekitar lantai dapur. Tiada apa-apa benda jatuh atas lantai. Dia menapak perlahan ke meja makan. Ajid masih mengikut dari belakang.

“Ajid, kau berani buka tudung saji?” Saiful berhenti di tepi meja makan.

“Err... kan ada sayur aje bawah tu!” Ajid memandang tudung saji tidak berkelip.

“Tahu la! Aku cuma nak kepastian. Mana tahu bawah tu ada karipap macam semalam!” Saiful luku kepala Ajid.

Ajid sengih sambil menggosok kepala.

“Kalau kau berani, kau bukalah.” Ajid cabar Saiful.

“Baiklah... alah, setakat buka tudung saji tu, apalah sangat!” Saiful sengih. Mula bercakap besar.

Mereka mula merapati meja makan. Terketar-ketar tangan Saiful cuba menyentuh tudung saji. Dia mula mengangkat tudung saji. Laju saja tudung saji itu diangkat sehingga ia terpelanting ke lantai. Saiful cepat-cepat mengundur ke belakang. Dia menyandar di dinding sambil mengurut dada. Ajid juga turut berada di situ. Terkejut dengan tindakan Saiful. Mata mereka membuntang bulat memandang apa yang ada di bawah saji. Karipap!!

“Err... Pul... ma... macam mana karipap tu ada kat situ?” Terketar-ketar suara Ajid bertanya Saiful yang masih tergamam. Muka sudah pucat.
Saiful hanya menggeleng. Tidak terkata melihat kejadian di depan mata. Tiba-tiba ada sesuatu melintas di sebalik tingkap dapur. Jelas seperti susuk tubuh manusia. Ajid terus memeluk Saiful.

“Eii!” Saiful tolak Ajid ke tepi.

Ajid sengih. “Err... sorry aku terpeluk kau!”

“Kau ni kenapa? Kau jangan Ajid. Kau jangan nak jadi salah seorang LGBT tu!” Saiful beri amaran.

“Hish! Aku jantan sejati la!” Ajid mula serius.

“Tahu tak apa. Kalau awek aku yang peluk okeylah jugak.” Saiful sengih.

“Aku bukan apa... aku terkejut tadi. Masa tudung saji tu jatuh terpelanting tadi, aku ternampak kelibat orang di tingkap tu.” Ajid tuding ke arah cermin tingkap.

“Kau pun nampak?”

Ajid mengangguk.

Saiful memberanikan diri menjenguk ke tingkap dapur. Tiada sesiapa di situ.

“Ada tak?” tanya Ajid.

“Tak ada sesiapa pun.” Saiful masih mengintai dari celah cermin tingkap yang pecah.

“Aku takut la Pul. Entah-entah pencuri tak?” Ajid menelan liur.
“Hish! Pencuri nak curi apa kat rumah ni? Bukan ada barang berharga pun!” Saiful meluku keplaa Ajid.

“Kan kita ada laptop!” Ajid sengih.

“Sudahlah! Jom kita pergi ruang tamu.” Saiful mengajak Ajid ke ruang tamu semula.

Mereka berdua terus menutup lampu dapur dan bergegas ke ruang tamu semula.

“Pul, kau rasa bunyi apa tadi?” Ajid masih tidak puas hati.

...bersambung
Bab akan datang:
Apakah bunyi yang menggangu di rumah itu? Dari manakah datangnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience