Bab 35

Horror & Thriller Completed 25385

“Apa??” Azhar pula terkedu.

“Ya, kami nampak kau tidur kat situ. Baju dan kain pelekat yang kau pakai malam tadi sama macam lelaki tu pakai. Mula tu kami ingat kau yang tidur kat situ. Aku kejutkan kau beberapa kali tapi kau sikitpun tak bergerak. Lepas tu, aku dengar suara kau panggil dari luar bilik.

Apa lagi, terkejut beruk la aku dan Ajid!” Saiful juga mula menceritakan apa yang sebenarnya berlaku malam tadi di biliknya.
Azhar sudah pucat. Dia menelan liur berkali-kali. Saiful dan Ajid dilihat silih berganti. Dia orang ni betul ke tidak ni? Aku nampak perempuan, dia orang pula nampak aku? Gila! Ini betul-betul tidak masuk akal!

“Aku tak percaya! Aku memang nampak seorang perempuan cantik yang pakai baju putih. Macam baju pengantin sedang lena tidur di situ. Mata korang kot yang tak nampak itu semua! Takkan korang nampak aku? Aku terpacak depan korang malam tu! Haish! Memang tak logik langsung korang ni. Kalau nak bergurau pun agak-agak lah bro!” Azhar geleng.

Saiful dan Ajid diam. Masing-masing sudah buntu dengan apa yang berlaku.

“Habis tu... kau nak pindah ke?” Saiful mula kendur suaranya. Apa yang telah berlaku di rumah itu mungkin akan menyebabkan Azhar berfikir dua kali untuk terus menyewa di situ atau pun berpindah.
Siapa yang berani tinggal di rumah itu kalau sudah jadi macam tu. Sudahlah baharu sehari masuk ke rumah bercat hijau tu.

“Tak adalah sampai macam tu. Aku ingat benda tu semua nak usik kita aje. Selagi benda tu tak buat apa-apa kat kita, kita tinggal aje la. Ni, aku nak tanya sikit. Masa korang mula-mula masuk ke rumah tu, korang ada azan tak?” Azhar mula menopang dagu, memerhati Saiful dan Ajid silih berganti.

“Azan?” Ajid garu kepala. Tidak faham maksud Azhar.

“Yalah, azan! Orang kata bila masuk rumah baharu, kena azan dulu. Biar semua benda halus tu pergi.” Azhar tersengih.

Saiful memandang Azhar yang sudah mula berubah watak. Sekejap nak marah dan sekejap pula tersenyum.

“Kau rasa kat rumah tu ada benda halus ke?” Saiful betulkan duduknya. Kopi ais diteguk perlahan.

“Manalah aku tahu tapi selalunya orang kata macam tu. Masuk rumah baharu ke, rumah yang sudah ditinggal lama ke atau rumah tu rumah sewa macam rumah tu, kena buat benda tu semua. Nanti tak adalah benda tu kacau kita.” Azhar tersengih. Dia habiskan sirap limau tadi.

“Kalau macam tu, balik nanti kita azan la!” Ajid sengih.

“Tapi aku rasa... dah terlambat sebab kita dah masuk dulu rumah tu. Entahlah... aku pernah baca dalam internet pasal hal ni. Laungkan azan di setiap penjuru rumah.” Azhar sandar semula di kerusi.

“Kenapa tak beritahu kita orang awal-awal?” Ajid mengeluh.

“Tak apa.. .aku rasa belum terlambat. Kita boleh azan bila balik nanti.” Saiful menenangkan Ajid yang sudah merenung tajam ke arah Azhar.

Hari itu kelas mereka sampai ke petang. Jam lima petang baharu mereka bertiga pulang ke rumah. Sempat juga mereka singgah di restoran untuk membeli makanan di situ. Kali ini mereka hanya membungkus makanan dan dibawa pulang. Sepanjang jalan masuk ke rumah bercat hijau itu, mereka perasan jiran-jiran melihat dengan riak curiga. Tidak seorang pun yang menegur mereka. Sehingga ke hari ini, hanya seorang dua sahaja yang menegur mereka, itupun kerana hendak tahu berapa harga sewa rumah bercat hijau itu. Kereta wira Azhar dipandu perlahan melalui jalan kecil menuju ke rumah sewa mereka. Azhar membelok masuk ke laman rumah dan kereta diparkir betul-betul di depan anjung rumah.

Mereka bertiga mula berehat di pangkin sambil mengambil udara petang. Nasi bungkus yang dibeli tadi diletakkan di atas pangkin. Ajid duduk bersila di atas pangkin, Azhar pula hanya berdiri di tepi pangkin dan Saiful duduk di atas pangkin sambil melunjur kaki.

“Hmm... kita makan kat sini okey juga ni.” Ajid mencapai nasi bungkus tadi.

“Okey juga tu, Ajid. Nanti aku ambil air kat dapur.” Saiful melangkah ke ruang dapur melalui pintu belakang dapur. Sempat dia memerhati sekitar pokok jambu air merah yang semakin lebat berbuah. Matanya melirik pada buai di bawah pokok jambu air itu. Masih elok seperti dulu. Tiada kesan patah sedikitpun. Dia mempercepatkan langkahnya masuk ke pintu belakang dapur.

Ajid tersenyum melihat Saiful sudah datang membawa sejag air kosong bersama tiga gelas kosong. Mereka bertiga menikmati nasi bungkus bersama-sama di atas pangkin. Angin sepoi-sepoi yang bertiup pada petang itu cukup mendamaikan.

...bersambung
Bab akan datang:
Bagaimana mereka ingin hentikan gangguan ‘benda’ itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience