Chapter 15

Romance Completed 17238

Empat tahun berikutnya...

HARI ini Daniel Rafeeq, Aryan Syah, Irma Syazira dan Niqisya berada di Cameron Highland, Pahang untuk menghadiri mesyuarat bersama dengan pengurus Hotel The King.

Daniel Rafeeq sekarang ini merupakan CEO Mahligai Sakti Holdings yang sepatutnya jawatan itu milik abangnya, Farish. Dia sebenarnya menolak untuk menjadi CEO syarikat papanya itu, bagi dia, cuma Farish seorang sahaja yang layak memegang jawatan itu, dan dia juga berharap agar satu hari nanti abangnya akan kembali.

Semenjak pemergian Farish empat tahun yang lalu, kesihatan Dato' Radzi Izham agak tidak menentu dan sangat membimbangkan. Dia sebenarnya sangat merindui anak sulungnya yang kini tidak diketahui keadaannya sama ada sihat ataupun tidak.

Sebaik sahaja tiba di hotel The King, Daniel Rafeeq dan Aryan Syah berkongsi satu bilik yang sama, manakala Irma Syazira dan Niqisya juga berkongsi satu bilik yang sama.

"Aryan, lepas ni kau ikut aku pergi ke ladang strawberry nak?" ujar Daniel Rafeeq seraya melabuhkan duduknya di birai katil.

Aryan Syah pula sudahpun terbaring di atas katil yang lagi satu. "Sekarang ke?"

"Sekejap lagilah, aku ingat nak rehat dulu. Masih penat lagi ni..." jawab Daniel Rafeeq seraya melabuhkan tubuhnya di atas katil.

"Eleh... dia tu yang asyik dibuai mimpi sepanjang perjalanan dari KL tadi... penat apanya? Sepatutnya aku ni yang penat... drive dari KL sampai ke sini," bebel Aryan Syah sambil memuncungkan bibirnya.

Daniel Rafeeq tersengih menayangkan giginya yang putih kepada Aryan Syah.

Beberapa saat selepas itu, telefon bimbit Daniel Rafeeq bergetar menandakan ada mesej masuk melalui aplikasi WhatsApp. Cepat-cepat dia menyambar telefon bimbitnya seraya membuka aplikasi WhatsApp.

Assalammualaikum Encik Daniel, selamat datang ke hotel saya, saya nak jempoot Encik Daniel dan racan-racan Encik Daniel dinner bersama saya malam ini di rumah saya.
~Encik Farish.

"Wah, Aryan! Nampaknya malam ni kita makan free!" beritahu Daniel Rafeeq sebaik sahaja membaca mesej yang di hantar oleh pengurus hotel The King.

Aryan Syah terlopong. "Betul ke?"

"Betullah, nah... kau baca mesej dia ni..." sahut Daniel Rafeeq seraya menunjukkan mesej yang dihantar oleh Encik Farish.

Berkerut dahi Aryan Syah membaca mesej itu. Kemudian dia tergelak. "Err... peliknya ejaan dia... banyak typo!"

Daniel Rafeeq terdiam. Typo... Abang Farish, di mana abang sekarang? Kami semua rindukan abang. Terutamanya papa... Abang baliklah. Dia teringat akan abangnya, Farish sebaik sahaja Aryan Syah menyebut perkataan typo di hadapannya. Sememangnya Farish dikenali sebagai King of Typo oleh kakitangan Mahligai Sakti Holdings.

"Aryan..."

"Ya?"

"Kau rasa, Encik Farish yang bakal kita jumpa ni... Adakah dia dan abang aku adalah orang yang sama?" Daniel Rafeeq bertanya.

Aryan Syah terdiam.

Satu detik...

Dua detik...

Tiga detik...

Empat detik...

"Kenapa?" Soal Aryan Syah pula.

"Aku dapat rasakan yang mereka adalah orang yang sama! Kau tengoklah gambar profil WhatsApp dia dan cara-cara ejaan mesej typo dia... Instinct aku ni kuat mengatakan dia adalah orang yang sama, Aryan! Nama dia jugak sama tu... Ahmad Farish Adrian bin Radzi Izham! Kalau setakat nama dia aje yang sama, aku tak kisah! Tapi ini, nama papa aku sekali ada jugak di situ!" Kali ini Daniel Rafeeq betul-betul serius dengan apa yang baru diperkatakannya. Serta-merta air matanya gugur di hadapan Aryan Syah. Dia kemudiannya menunjukkan gambar profil Whatsapp milik Encik Farish yang bakal mereka temui sebentar lagi.

Sekali lagi Aryan Syah terlopong.

"So, kau rasa?" soal Daniel Rafeeq lagi.

"Ha'ahlah... sebijik muka dia! Tapi kenapa dalam gambar ni, dia sedang mendukung seorang budak kecil? Siapa budak tu?" Aryan Syah pula bertanya.

"Itu tak penting... Yang aku nak sekarang cuma abang aku, itu saja... aku yakin itu adalah dia!" tegas Daniel Rafeeq.

FARISH melabuhkan duduk di kerusi sofa di ruang tamu rumahnya. Sejak akhir-akhir ni, dia agak sibuk dengan usahanya untuk mencari rakan kongsi untuk membangunkan hotel miliknya. Semenjak empat tahun yang lalu, dia berusaha keras untuk membantu ayah mertuanya, Encik Wildan membangunkan rumah penginapan Rolly's Inn yang kini sudah dinaiktaraf kepada sebuah hotel bertaraf lima bintang, Hotel The King. Malam ni aku harus membincangkan pelan induk dengan syarikat pembinaan Mahligai Sakti Holdings. Dia bingkas bangun untuk ke biliknya di tingkat atas.

"Tuan Farish, persiapan untuk jamuan makan malam hampir siap..." ujar Mak Jah, selaku ketua pembantu rumahnya.

"Okay good... Tak lama lagi mereka akan sampai, saya nak naik ke atas...  nak mandi dulu," balas Farish seraya bangun dari sofa itu.

"Tuan, saya rasa tuan patut tengok keadaan Danish, badan dia panas sangat tuan," sambung Mak Jah lagi.

Langkahnya terhenti seraya mengerling ke arah Mak Jah dengan pandangan yang sayu. "Kenapa dengan Danish, Mak Jah?"

"Danish demam, badan dia..." Belum habis Mak Jah berkata, Farish sudahpun berlari pergi mendapatkan anaknya, Danish Rayyan di biliknya di tingkat atas.

Selepas enam bulan Farish pulih dari kecederaan yang dialaminya akibat dilanggar oleh sebuah kereta pacuan empat roda, empat tahun yang lalu. Dia membuat keputusan untuk memperisterikan Doktor Hana sebagai tanda terima kasih kerana menjaga dan merawatnya. Cuma ingatannya buat masa ini masih belum dapat mengingati kisah silam hidupnya. Dia juga sebenarnya pernah pergi ke rumah keluarganya di Damansara Kuala Lumpur, berdasarkan alamat kediaman yang tertulis di dalam kad pengenalannya empat tahun yang lalu, namun hampa, masa itu ahli keluarganya semua tiada di rumah.

Menurut pengawal keselamatan yang baru sahaja bertugas dua bulan menjaga rumah banglo itu, Dato' Radzi Izham dan keluarga pergi ke Australia dan tidak pasti bila mereka akan balik. Disebabkan itu, Farish dan isterinya, Doktor Hana terpaksa berpatah balik semula ke Cameron Highland.

Pada masa itu juga isteri Farish sudah sarat mengandung tujuh bulan. Doktor Hana telah berjaya melahirkan seorang bayi lelaki, namun beberapa minit selepas itu, dia mengalami pendarahan yang serius dan meninggal dunia pada masa yang sama.

Tombol pintu dipulas seraya daun pintu ditolak ke dalam, langkahnya dilajukan menuju ke katil anaknya, Danish Rayyan yang sedang terbaring di atas katil itu.

"Danish..."

"Papa..."

"Dah makan ubat ke belum ni?" Farish bertanya sambil mengusap rambut ikal anaknya itu.

"Belum," jawab Danish Rayyan.

Farish segera mengambil ubat yang telah disediakan oleh Mak Jah di atas meja bersebelahan dengan katil itu. "Danish, buka mulut, papa suapkan ubat ya. Sebentar lagi kawan-kawan baru papa akan datang makan malam di sini tau... Danish nak ikut papa tak?"

"Nak!"

"Okey, jom kita turun." arah Farish seraya meraih tubuh Danish Rayyan lalu di dukung dan keluar dari bilik itu.

SEMASA Farish menuruni tangga sambil mendukung anaknya... Daniel Rafeeq,  Aryan Syah, Irma Syazira dan Niqisya sudahpun tiba dan kini sedang berbual dengan ayah mertua Farish di ruang tamu. Daniel Rafeeq sempat bertanyakan pasal Farish dengan Encik Wildan, ayah mertua Farish. Seperti yang dia duga, setelah mendengar cerita dari Encik Wildan, dia semakin yakin, Encik Farish itu adalah abangnya.

"Atok!"

Kesemua manusia yang berada di ruang tamu itu terhenti dari berbual dan kini semuanya mengerling ke arah tangga di mana datangnya suara budak kecil yang memanggil atoknya, Encik Wilda dan yang paling mengejutkan Daniel Rafeeq,  Aryan Syah, Irma Syazira dan Niqisya ialah figura lelaki yang sangat mereka kenali sedang menuruni tangga sambil mendukung seorang anak kecil.

Serta-merta air mata Daniel Rafeeq menitis keluar sebaik sahaja melihat figura abangnya yang dicari-cari selama empat tahun ini kini berada di depan matanya.

"Abang!"

"Bos!"

"Awak?!"

"Encik Farish?!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience