Chapter 23

Romance Completed 17238

CAHAYA putih yang sangat terang itu begitu menyilaukan pandangan matanya. Tangannya terkapai-kapai mencari sesuatu untuk berpaut. Bila dia menoleh ke arah belakang, suasana yang sangat gelap berserta dengan bunyi yang sangat aneh menyerbu ruang gegendang telinganya. "Aku dekat mana? Tolong... tolong aku!"

Namun tiada siapa yang mendengar jeritannya meminta tolong. Langkahnya semakin dipercepatkan untuk menuju ke hadapan. Namun di hadapannya tetap sama, malah semakin terang cahaya putih yang begitu menyilaukan pandangan matanya.

Seketika itu, Tiba-tiba bahunya terasa disentuh oleh seseorang. Sepantas kilat dia menoleh ke arah itu. Dan serta-merta langkahnya terhenti kini, pandangan matanya merenung tepat ke arah seorang wanita yang sungguh anggun.

"Nak, nak pergi ke mana?" soal wanita itu.

Farish hanya menggelengkan kepalanya. "Tak... tak tahu..."

Wanita itu hanya tersenyum seraya mengusap pipi Farish, Farish terpaku. Sentuhan ni... macam pernah aku rasakan... Suara dia ni jugak. Hatinya berbisik. Serta-merta air matanya menitis keluar membasahi pipinya. Dia tidak tahu mengapa dia harus menangis.

"Kenapa ni? Kenapa menangis?" soal wanita berjubah putih itu.

"Tak... tak tahu," jawab Farish sambil mengesat air matanya yang keluar tanpa henti ketika ini.

"Anak mommy ni seorang yang kuat, kan? Dah... jangan nangis lagi."

"Mommy??" soal Farish pelik. Direnungnya wanita berjubah putih itu lama.

"Kenapa renung mommy macam tu? Ingat mommy tak?" soal wanita berjubah putih itu lagi.

Farish hanya menggelengkan kepalanya.

"Awak..."

Kini pendengaran Farish diterjah pula oleh satu lagi suara. Sepantas kilat Farish menoleh ke arah datangnya suara itu. Kini, seorang gadis Ayu turut mengenakan jubah putih sedang berjalan menghampirinya. "Siapa..."

"Awak, awak nak pergi ke mana?" soal gadis ayu itu dengan alunan suara yang lembut.

Suara ni... macam pernah aku dengar, tapi di mana?

"Awak, saya tanya ni, awak nak pergi ke mana?" soal gadis ayu itu sekali lagi, kini dia berdiri tepat di hadapan Farish dan segera menyeka air mata Farish.

"Saya nak ikut tu..." jawab Farish sambil jari telunjuknya menunjukkan ke arah wanita yang menggelarkan dirinya mommy sebentar tadi.

"Awak, awak tak boleh ikut dia. Tempat awak bukan di situ... Awak, tolong jaga Danish untuk saya!" gadis itu berkata seraya menyembamkan kepalanya tepat-tepat di dada sasa Farish.

"Danish?" soal Farish pelik.

"Awak... Danish sangat perlukan awak. Maafkan saya, awak... saya tak dapat temankan awak jaga dan membesarkan Danish," ujar gadis itu lagi seraya menjauhkan dirinya dari Farish.

"Danish? Siapa Danish? Aku... siapa... siapa aku?"  soal Farish pada dirinya sendiri seraya itu dia menoleh ke arah gadis dan wanita itu tadi, namun sukar untuk dia mengejar, kakinya seolah-olah dirantai.

"Tunggu, aku ni siapa?!"

Agak tinggi dan bergetar suara Farish memanggil dan bertanya kepada gadis dan wanita yang semakin menghilang dari pandangan matanya itu.

"Awak baliklah pada mereka. Awak akan dapat jawapannya nanti. Selamat tinggal awak!" sahut suara gadis tadi yang semakin menjauh.

Farish terbaring kaku sambil menagisi pemergian dua orang yang tak dikenalinya sebentar tadi.

" Kenapa aku sedih bila mereka berdua pergi? Mereka berdua tu siapa? Kenapa aku tak dapat ingat apa-apa?" soalnya berserta dengan esakan yang agak kuat.

HARI ini sudah genap enam bulan Farish terlantar di atas katil dan masih tidak sedarkan diri. Menurut Doktor Hazrin yang merawat Farish, akibat kecederaan yang teruk di bahagian kiri kepala Farish itu telah menyebabkan gangguan sistem saraf pada otak yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri, dalam erti kata lain, Farish sekarang berada dalam keadaan koma, koma untuk kali yang kedua.

"Dato' Radzi..." panggil Doktor Hazrin.

"Ya?" Dato' Radzi Izham yang sedang duduk memangku Danish Rayyan di sebelah katil itu mengerling ke arah Doktor Hazrin.

"Dato', Yang sebenarnya empat tahun yang lalu, anak Dato' ni pernah dirawat di dalam bilik wad ni. Arwah isteri dia jugak saya kenal." Doktor Hazrin memulakan bicara.

"Ye ke? Kalau macam tu... boleh Doktor ceritakan apa yang berlaku sebenarnya empat tahun yang lalu tu?" soal Dato' Radzi Izham ingin tahu.

Irma Syazira juga turut berada di sebelah katil itu sedang duduk berteleku seraya memegang pergelangan tangan suaminya lembut. Matanya sembam, linangan air mata sentiasa membasahi pipinya. Jari jemari tangan kirinya bermain-main dengan butang baju suaminya itu. Terbayang di mindanya saat-saat di mana Farish berusaha untuk memikat hatinya semasa di tempat kerja empat tahun yang lalu, dan betapa risau riak wajah suaminya semasa kakinya tercedera semasa di Terengganu dahulu. Dia langsung tidak mempedulikan apa yang Doktor Hazrin dan Dato' Radzi Izham bincangkan. Di hati dan mindanya ketika ini cuma Farish, suaminya yang tercinta. Matanya tak lekang dari merenung wajah suaminya terutama di bahagian mata. Irma Syazira setia menunggu suaminya mencelikkan matanya.

"Dato' maafkan saya Dato', jika apa yang saya nak cakapkan ni akan membuatkan Dato' dan keluarga berasa sedih. Sebenarnya Dato', kemungkinan untuk Farish sembuh adalah sangat tipis, jika dia sedar dari koma pun... saya tak berani jamin dia akan pulih dengan cepat, memandangkan sebelum ni pun dia pernah koma, dan yang paling merisaukan saya..." kata-kata Doktor Hazrin terhenti.

"Apa dia Doktor?" pintas Dato' Radzi Izham. Dia sangat risaukan kesihatan anak sulungnya itu.

"Amnesia..." sambung Doktor Hazrin sambil mengerling tepat ke arah Dato' Radzi Izham.

Bergenang air mata Dato' Radzi Izham bila teringatkan keadaan anaknya semasa menghidapi amnesia selama empat tahun ini.

"Farish pernah mengalami amnesia selama empat tahun, dan syukur dia dapat semula ingatan dia sebelas bulan yang lepas. Tetapi disebabkan kecederaan di kepalanya yang agak serius dan saraf otaknya terganggu, kemungkinan besar dia akan menghidapi amnesia buat kali yang kedua, juga merupakan amnesia kekal. Bermakna semua ingatannya akan hilang terus dari kotak memorinya," terang Doktor Hazrin panjang lebar.

Dato' Radzi Izham tidak dapat menahan sebak mengenang nasib malang yang menimpa anak sulungnya itu. Air matanya jatuh berjuraian di hadapan Doktor Hazrin. Dia mengerling pula ke arah katil di mana anak sulungnya terlantar aring tidak sedarkan diri. Kesian anak aku... kenapalah nasib dia macam ni? Sofea... abang buntu. Anak lelaki kita ni selalu sangat menerima ujian. Kalaulah Sofea masih ada...

"Dato', saya harap... Dato' bersabar dan banyakkan berdoa kepada tuhan semoga Farish cepat-cepat sembuh dan selamat, yang saya cakap tadi itu hanya kemungkinan sahaja Dato', kita belum tahu lagi apa yang bakal berlaku, kuasa tuhan, siapa yang tahu... kan?"

Dato' Radzi Izham hanya mengangguk seraya mengerling ke arah menantunya, Irma Syazira yang kini sedang duduk di sebelah katil Farish. Tangannya tak lepas dari menggenggam pergelangan tangan suaminya itu. Selepas itu, pandangan Dato' Radzi Izham tertumpu pada cucu kesayangannya, Danish Rayyan. Sayu hatinya melihat wajah polos cucunya itu.

Tiga bulan berikutnya...

SETELAH dua bulan Farish sedar dari koma, dia banyak mendiamkan dirinya. Seperti yang telah Doktor Hazrin terangkan kepada Dato' Radzi Izham tiga bulan yang lepas, Farish kini disahkan menghidapi amnesia buat kali yang kedua.

Malah untuk kali ini, Farish langsung tidak dapat mengenali siapa dirinya sendiri. Apatah lagi ahli keluarganya yang lain.

Setiap kali isterinya, Irma Syazira menghampiri Farish, Farish seperti hilang kawalan dirinya dengan memukul dan marahkan Irma Syazira supaya jangan sesekali menunjukkan diri di hadapannya sehingga Dato' Radzi Izham dan Datin Amie Hamiza terpaksa meminta Irma Syazira balik ke rumah orang tuanya.

Pagi ini, Daniel Rafeeq datang berjumpa dengan kakak iparnya, Irma Syazira yang sedang duduk termenung di laman rumah ayahnya sambil memerhatikan Danish Rayyan yang bermain dengan atok tirinya.
Dia juga sudah membuat keputusan untuk membawa Irma Syazira dan Danish Rayyan berpindah ke Cameron Highland, dia juga memberikan satu jawatan khas untuk Irma Syazira di Hotel The King dan juga disebabkan Encik Wildan juga teramat rindu dan risaukan cucu tunggalnya, Encik Wildan membuat keputusan untuk menjaga cucunya itu sehinggalah Farish betul-betul sembuh dari amnesianya.

"Assalammualaikum Irma."

"Waalaikumsalam Daniel..."

"Irma apa khabar? Danish?" Daniel Rafeeq bertanya sambil menghulurkan beg plastik berisi buah-buahan.

"Pak Su!" Danish Rayyan memanggil Daniel Rafeeq sebaik sahaja mendapati Pak Sunya itu turut berada di perkarangan rumah atoknya.

Daniel Rafeeq terus  mendukung anak buahnya itu. "Danish sihat tak?"

"Ye Pak Su, sihat sangat," balas si comel itu.

"Alhamdulillah... Danish, kalau Pak Su nak ajak Danish dan Mama Ima duduk dekat Cameron Highland, nak tak?" Daniel Rafeeq bertanya.

"Nak!" Danish menjawab dengan penuh semangat dan selepas itu dia terus terdiam. Dia menundukkan kepala. "Tapi... papa... Tak seronok kalau papa tak ada."

"Hmm..." Daniel Rafeeq mengeluh. "Danish, papa Danish tu kan masih tak sihat. Nanti bila dia dah sembuh, dia pun akan join kita sekali."

"Pak Su,  kenapa papa dah tak sayang Danish lagi? Papa marah-marahkan mama... kesian mama."

Daniel Rafeeq terdiam, kelu lidah untuk menjawab pertanyaan anak buahnya itu.

"Danish, papa Danish sekarang kan masih sakit. Dia belum sembuh lagi. Pak Su yakin, bila dia sembuh nanti, dia pasti takkan marah-marah dan bencikan Danish dan Mama Ima lagi."

"Betul ni?" soal Danish Rayyan polos.

"Betul sayang, Pak Su yakin. Danish pun kena yakin jugak, okey?" sahut Daniel Rafeeq sambil mencium pipi gebu anak buahnya itu.

Danish Rayyan hanya mengangguk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience