Chapter 49

Romance Completed 17238

"TOLONG ceritakan pada aku, apa yang berlaku sebenarnya?" Farish bertanya sambil berdiri memeluk tubuhnya mengerling ke arah Tengku Qaira Alisya dan Aryan Syah yang duduk di sofa ruang tamu itu.

"Farish, yang sebenarnya kami berdua sengaja keluar awal pagi ni sebab nak ke rumah awak semata-mata untuk meminta awak berjaga-jaga, tapi semasa nak masuk ke simpang ke rumah papa awak, kami terserempak dengan kereta awak, dan jugak kereta perempuan ni sedang mengekori kereta awak," terang Aryan Syah.

Tengku Qaira Alisya pula asyik menunjal-nunjal kepala Emyra Syafina yang terduduk dengan kaki dan tangannya diikat serta mulutnya ditampal dengan pita pelekat.

Pada masa yang sama juga, Irma Syazira menapak keluar dari biliknya dengan berkerusi roda sambil memangku anak perempuannya. Danish Rayyan pula perlahan menolak kerusi roda mama tirinya itu.

"Okey, sekarang aku dah faham, korang berdua turut mengejar perempuan murahan yang tak tahu malu ni sampai ke sini." Farish berkata sambil mengarahkan jarinya kearah Emyra Syafina.

"Betina ni lagi, memang tak serik-serik betullah, dah orang tak nak, janganlah nak paksa-paksa. Geram pulak hati ni tengok muka dia ni," kata Irma Syazira sambil mencerlung tajam ke arah gadis yang mengganggu suaminya itu. Kalau nak diikutkan hati aku, nak sangat aku belasah dia sama seperti aku kerjakan si Tengku Qaira ni dulu! 

"Eh Ima, kenapa renung betina tu macam tu? Ima tu tak okey lagi kaki tu, hehe..."usik Farish sambil menjongketkan kening kirinya.

Irma Syazira menoleh dan senyum ke arah suaminya, Farish.

Beberapa saat selepas itu, Emyra Syafina mencelikkan matanya perlahan seraya meronta-ronta untuk dilepaskan.

Pang!!

Sepantas kilat satu tamparan melayang dari tapak tangan Tengku Qaira Alisya hinggap di pipi Syarifah Syafina. Nampak begitu jelas kesan tapak tangan tengku Qaira Alisya di pipi putih gadis gedik itu.

"Kali ini, kau takkan terlepas Emyra! Aku akan pastikan kau meringkuk di dalam penjara! Kau bernasib baik sebab sekarang ni aku dah tak macam dulu, kalau tak, kau pasti akan mati katak di atas jalan raya aku kerjakan!" marah Tengku Qaira Alisya. Sakit hatinya bila teringat saat-saat gadis gedik itu menyerang dan cuba untuk membunuhnya empat tahun yang lalu.

Farish mengatur langkah menghampiri sofa di mana tempat Emyra duduk sebentar tadi seraya mengalihkan beg tangan gadis itu yang ditinggalkan di atas sofa fabrik berwarna hijau itu. Dia tertanya-tanya apa isi kandungan di dalam beg itu kerana beg itu agak berat.

"Aryan, Qaira... terima kasih! Aku tak tahulah apa yang  akan terjadi kalau korang berdua tak ada, cuba korang tengok apa benda di dalam beg tangan perempuan ni," ujar Farish seraya mengeluarkan semua isi kandungan dalam beg tangan Emyra Syafina.

Aryan Syah segera bangun dan membantu Farish mengeluarkan isi kandungan dalam beg itu.

"Ya Tuhan, pisau? Dia nak buat apa dengan pisau ni?!"
soal Aryan Syah, terkejut. "Pil? Ini pil khayal ni! Lagi ada spray. Ini spray apa?" 

"Aryan, aku rasa baik kau jangan usik, kita serahkan barang-barang ni ke balai polis aje." Farish mencelah.

"Ye, betul tu!" Encik Ahmad Nizam pula mencelah.

Pada masa yang sama juga, telefon bimbit milik gadis gedik yang berada tepat di hadapan Farish itu berdering. Tertera gambar dan nama seseorang yang Farish kenal di skrin. "Mak Long? Orang tua gila Zuria?" 

Farish tertanya-tanya, apa hubungan Emyra Syafina dengan Mak Long Zuria. "Err... korang semua tolong senyap, aku nak dengar apa kaitan Mak Long Zuria aku tu dengan perempuan ni! Aryan, ambil handphone kau, aku nak kau record apa yang perempuan tua kerepot ni cakapkan!" 

Mereka semua mendiamkan diri. Aryan Syah pula cepat-cepat mengeluarkan telefon bimbitnya seraya membuka aplikasi voice recorder. Farish segera menjawab panggilan itu namun dia berkeputusan untuk mendiamkan diri dan mengaktifkan pembesar suara.

"Helo Emyra! Helo? Hoi, kau dah jalankan tugasan yang aku arahkan tu ke belum?! Aku nak kau goda anak orang putih tu sampai isteri dia nampak! Kalau tak berjaya, kau guna aje pisau yang aku bagi tu dan buat aje apa yang patut dibuat!" kata Puan Zuria dalam talian. 

Farish terpempan, dia tidak menyangka Mak Long Zuria sanggup mengarahkan Emyra Syafina menggoda dirinya bertujuan untuk memisahkan dia dengan Irma Syazira. Kesemua manusia yang berada di situ juga terpempan.

Kemarahan di hati Farish kini semakin membuak-buak kepada mak longnya itu.

"Mak Long! Apa tujuan Mak Long buat semua ni? Apa salah Farish pada Mak Long?! Apa dosa Farish? Kenapa Mak Long benci sangat dengan Farish?!" Dengan perasaan bengang Farish bertanya kepada Puan Zuria. Rasa nak aje aku belasah orang tua kerepot ni sampai dia mampus! 

"Wah! Aku tak sangka anak orang putih ni yang jawab panggilan aku! Hahaha! Hey budak pembawa malang, aku memang bencikan kau dari masa kau dalam perut si jahanam Sofea tu lagi! Disebabkan Sofea, laki aku ceraikan aku! Sekarang disebabkan kau muncul, peluang untuk aku rampas harta si bodoh Radzi tu terbantut! Kau tahu tak, aku yang pisahkan Sofea dengan si Radzi tiga puluh tujuh tahun yang lalu! Lepas tu aku paksa adik aku goda bapak kau! Tapi adik aku tu tak boleh diharap! Aku suruh goda untuk rampas harta tapi dia jatuh cinta pulak dengan bapak kau tu! Lagi satu... kau mesti terkejut kenapa mak mertua kau pun turut membenci diri kau, kan? Hahahaha! Mak mertua kau si Zarena tu memang bodoh! Cepat termakan dengan kata-kata aku, hahahaha! Sekarang padan muka dia menetap di Tanjung Rambutan. Kalau kau nak tahu jugak, sekarang ni anak aku si Aliza tu dah standby untuk melawat dan menghantar mak mertua kau tu ke neraka jahanam, hahaha!"

Sebaik sahaja habis berkata-kata dan ketawa, Puan Zuria segera mematikan talian. Aryan Syah pula segera menamatkan rakaman suara itu.

Farish bengang belum sempat dia nak membalas tetapi talian itu diputuskan. Dia segera mengerling ke arah sahabat baiknya, Aryan Syah. "Macam mana? Dah dapat rakam semuanya?" 

"Okey dah. Semuanya aku dapat record," jawab Aryan Syah seraya bingkas bangun dan melabuhkan duduk di sebelah isterinya, Tengku Qaira Alisya.

Sebaik sahaja panggilan tadi ditamatkan, serta-merta air mata Irma Syazira gugur mengenangkan nasib ibunya. "Ibu... abang, Ima risaukan ibu!"

Farish segera mendapatkan isterinya yang menangis itu. Dia menggenggam erat pergelangan tangan Irma Syazira. "Ima, jangan risau... abang takkan biarkan apa-apa berlaku pada ibu." 

"Farish, aku rasa lebih baik kita sampaikan pada Hareez apa yang Puan Zuria dan Aliza rancangkan. Lagipun aku ada simpan nombor telefon Hareez. Baru aje petang semalam kami berdua keluar melepak." Aryan Syah mencelah.

"Ye ke? Okey bagus jugak cadangan kau tu. Aryan, aku nak kau hantar rakaman tadi tu pada aku, dan jugak Hareez. Kita kena bertindak cepat sebelum Aliza bertindak," tegas Farish.

"Hai korang berdua, jangan pulak lupa dengan si mangkuk hayun seekor ni. Cepatlah bawa dia pergi balai! Sakit hati tengok muka dia ni lama-lama!" sampuk Tengku Qaira Alisya sambil tangannya tak lepas menggenggam dan menarik rambut panjang mengurai gadis itu. Kaki dan tangan Emyra Syafina masih diikat dengan ketat serta mulutnya masih ditampal dengan pita pelekat.

"Okey, jom kita pergi!" Farish mengarah.

Tengku Qaira Alisya menarik tangan Emyra Syafina untuk dibawa keluar dari rumah Encik Ahmad Nizam. Emyra Syafina diheret dengan teruk oleh Tengku Qaira Alisya sehingga masuk ke dalam perut keretanya dan diekori oleh kereta Farish dan keluarganya di belakang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience