Chapter 18

Romance Completed 17238

KUNCI Range Rover velar di atas meja kecil itu diambil seraya mengatur langkah keluar dari bilik tidurnya. Semasa menuruni tangga sambil mendukung Danish Rayyan, anak kesayangannya. Pandangan mata Farish melekat pada figura sepasang suami isteri yang sebaya papa dan mamanya sedang berbual-bual di ruang tamu. Siapa dengan papa bersembang tu?

"Farish..." Dato' Radzi Izham memanggil Farish sebaik sahaja Farish tiba di ruang tamu itu.

"Ye papa?" sahut Farish. Dia melabuhkan duduk di sofa bersebelahan dengan papanya.

"Farish nak pergi ke mana segak macam ni?" soal Dato' Radzi Izham seraya memangku Danish Rayyan.

"Segak apanya pa... biasa aje ni. Farish nak bawa Danish keluar jalan-jalan sekejap,  papa. Kesian pulak Farish dengan Danish ni, asyik terperap dalam rumah saja," jawab Farish sambil memberikan senyuman kepada papanya itu.

"Lah... terperap apanya? Setiap hari papa bawa cucu papa ni keluar jalan-jalan bermain dekat taman permainan sementara menunggu Farish balik dari office," jawab Dato' Radzi Izham hairan. Dia perasan dengan tingkah anaknya itu sebaik sahaja balik dari pejabat satu jam yang lalu. Farish banyak mendiamkan diri, tidak seperti selalu, sepatah Dato' Radzi Izham bertanya, sepatah jugalah jawapan dari Farish. Dia mengerling tepat ke arah Farish. "Err... Farish, kenalkan ini... Encik Ahmad Nizam dan Puan Zarena,  ayah dan ibu Irma, mereka berdua datang ni sebab nak menjemput kita sekeluarga untuk hadir ke majlis pernikahan anak mereka hari Ahad minggu depan."

Farish terdiam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.
Hatinya hancur remuk, insan yang paling dia sayang dan rindu kini bakal menjadi isteri orang. Kenapa aku tak mati saja masa kemalangan empat tahun lepas? Apa gunanya aku teruskan hidup ni? Irma, sampai hati awak! Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Encik Ahmad Nizam dan Puan Zarena. Kemudian dia mengerling semula ke arah Dato' Radzi Izham. "Papa, maaf. Hari Ahad minggu depan... Farish kena balik ke Cameron Highland, ada kerja yang harus Farish uruskan, lagipun Danish dah rindu dengan Atok Wildan. Mak Cik, Pak Cik, maafkan Farish ye..."

Encik Ahmad Nizam  tidak menyambut dan membalas salam darinya. Farish tergamam, salamnya tidak dibalas, sebaliknya Encik Nizam merenung Farish dengan renungan yang tajam. Farish menunduk seraya mencapai tangan Danish Rayyan. "maaf."

"Danish, salam dengan atok dan nenek."Farish mengarah anaknya itu. Tetapi reaksi mereka berdua amat mengejutkannya. Encik Ahmad Nizam langsung tidak berminat untuk bersalaman dengan anak kecil itu, begitu juga dengan Puan Zarena. Sampai hati mereka berdua, kalau ye pun dia bencikan aku, janganlah layan anak aku macam ni. Anak aku ni bukan ada buat salah apa-apa pun...

"Err... Takpalah Pak Cik, Mak Cik, papa, mama, Farish nak minta diri dulu ye..." pinta Farish seraya menyambar tangan anaknya dan mengatur langkah berjalan menuju ke arah pintu utama.

"Baiklah Farish, hati-hati memandu tu ya," sahut Dato' Radzi Izham.

"Jangan balik lewat sangat tau, kesian Danish tu nanti tertidur pulak dia!" Datin Amie Hamiza pula mengingatkan.

"Baiklah mama, papa... Farish pergi dulu," sahut Farish seraya menyarungkan kasut dan berjalan menuju ke kereta Range Rover Velar miliknya itu.

"Papa, kita nak pergi mana?" soal Danish Rayyan kepada papanya yang sedang memandu.

"Papa nak bawak Danish jalan-jalan dekat Putrajaya, lepas tu kita tengok movie dekat Alamanda Putrajaya dan lepas itu, kita shopping... and before we go home, kita makan malam di restoran KFC, nak?" jawab Farish seraya bertanya kepada anak kesayangannya itu.

"Yeah, Nak!!" balas Danish Rayyan dengan riang.

"Farish tersenyum gembira, sesungguhnya anak lelakinya itu adalah ubat penenang yang paling mujarab buat dirinya.

SEBAIK sahaja selesai menonton wayang dan menapak keluar dari panggung, tiba-tiba lengan Farish dipaut oleh seseorang.

"Farish, sayang!"

"Eh, Syafina!"

"You buat apa dekat sini?" soal gadis itu dengan manja.

Tanpa segan silu Syarifah Syafina melentokkan kepalanya di bahu Farish.

"Syafina, please behave yourself and please don't call me SAYANG, OKEY!" tegur Farish pada gadis gedik yang baru sahaja dua tahun berkerja di Mahligai Sakti Holdings.

Syarifah Syafina merupakan gadis yang paling dibenci oleh mejoriti kakitangan Mahligai Sakti Holdings selain dari Aliza Zuraisya. Sebaik sahaja Farish kembali semula ke pejabat dan menjadi CEO Mahligai Sakti Holdings, dialah yang paling gedik siap memberi amaran kepada staff perempuan di pejabat itu supaya jangan usik Farish, katanya Farish hanyalah milik dia seorang! Dia tidak endahkan amaran dari Farish itu sebaliknya semakin menggedik memeluk pinggang Farish seraya menarik lengan kekar Farish untuk masuk ke dalam lot kedai pakaian berjenama sehingga pegangan Farish pada anaknya, Danish Rayyan terlepas.

"Papa..." Danish Rayyan memanggil papanya yang semakin menjauh di hadapan kerana ditarik oleh Syariah Syafina. Kini dia bersendirian berdiri kaku sambil menangis.

"Syafina, STOP!! HOW DARE YOU DISTURBING ME!" Farish menyentak kuat tangan Syarifah Syafina menyebabkan pegangan tangannya terlepas.

"Sayang... Kenapa ni?" soal Syarifah Syafina dengan nada manja.

"Jangan panggil aku sayang! Kau tak layak nak panggil aku dengan gelaran tu!" tengking Farish, dia sudah tidak peduli meninggikan suaranya kepada gadis gedik di hadapannya itu, sekarang dia hanya memikirkan anaknya sahaja.

"Anak aku, di mana anak aku?! Danish!" Kini suara Farish semakin meninggi di hadapan Syarifah Syafina.

"What? Anak? You ada bawa anak You sekali ke tadi? soal Syarifah Syafina sambil tersenyum sinis.

Pangg!!

Terteleng ke kiri kepala gadis itu sebaik sahaja tapak tangan kekar Farish hinggap di pipinya. Farish tidak teragak-agak menampar tepat pipi dan bibir Syarifah Syafina. Hatinya sakit yang teramat sangat sebaik sahaja soalan yang diajukan oleh gadis itu menumbuk gegendang telinganya.

"Kau dengar sini, kalau terjadi apa-apa dekat anak aku, nahas kau! Aku tak teragak-agak dakwa kau! Biar kau meringkuk di dalam penjara!" Farish memberi amaran sambil mengarahkan jari telunjuknya tepat ke muka Syarifah Syafina.

Amarah Farish semakin menjadi-jadi. Dia segera berlari ke arah di mana dia ditarik oleh gadis gedik itu sebentar tadi. Luluh hatinya, jantungnya bagaikan dipotong dan disiat-siat dengan senjata tajam sebaik tiba di hadapan panggung di mana tempat dia ditarik oleh gadis gedik itu tadi. Tiada kelibat anak kesayangannya di situ.

"Danish!!" laung Farish memanggil anak kesayangannya. Matanya sudah bergenang, hampir semua orang yang lalu lalang di situ disoalnya, namun semuanya hanya menggelengkan kepala tidak tahu.

Hampir lima belas minit berlalu, Farish mencari anaknya namun hampa, tetap juga tidak jumpa. Kakinya terasa lemah seperti tiada kudrat untuk berdiri dan meneruskan pencarian. Farish melabuhkan duduk di kerusi yang berhampiran dengan restoran KFC, Farish meraup mukanya berkali-kali. Aku takkan maafkan kau Syafina! Aku akan pecat kau! Anak aku... Danish... Danish dekat mana? Hana... maafkan abang... abang gagal! Abang gagal jaga anak kita... maafkan abang! Air matanya kini gugur ke lantai tidak dipedulinya.

Beberapa saat selepas itu, semasa Farish duduk sambil tertunduk merenung lantai, tiba-tiba sahaja pandangan matanya memandang aiskrim berperisa vanila yang dihulurkan kepadanya. Sepantas kilat Farish mengalih pandangannya ke hadapan.

"Papa, nah aiskrim ni untuk papa."

"Danish? Danish!" Serta-merta tubuh kecil itu dirangkul seraya dipeluknya dengan erat dan dikucup semahu-mahunya. "Danish, Danish pergi mana? Maafkan papa!! Maafkan papa sebab tinggalkan anak papa tadi!"

"Farish, maafkan saya... tadi saya terjumpa Danish ni berjalan seorang diri sambil menangis."

Tiba-tiba sahaja gegendang telinga Farish diterjah oleh satu suara yang sangat dia kenali. Dia terus mendongak ke atas seraya bingkas berdiri. "Irma?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience