Chapter 26

Romance Completed 17238

KEDATANGANNYA kali ini hanyalah untuk berjumpa dengan suami tercinta, betapa gembira hatinya setelah mendapat berita suaminya kian pulih menguatkan lagi keinginannya untuk berjumpa dengan harapan suaminya akan dapat mengingatinya semula sebaik sahaja berjumpa dan bertentang mata. Namun kini semuanya hampa, belum sempat bertentang mata dengan insan tercinta, namun berita duka pula yang datang menerpa. Betapa hancur hatinya bagaikan dirempuh dengan puluhan lori balak sebaik sahaja mendengar perkhabaran mengenai suami yang dicintai dan dirindui bakal melangsungkan perkahwinan dengan perempuan lain yang jauh lebih bergaya dan hebat dari dirinya.

Sudah satu minggu Irma Syazira mengurungkan dirinya di dalam bilik, dia hanya menghabiskan masanya dengan menangis di dalam bilik. Pagi ini Irma Syazira bangun awal pagi dan dia tergesa-gesa untuk keluar.

"Irma? Awalnya bangun pagi ni?" Puan Zarena bertanya.

"Irma nak balik Cameron Highland pagi ni ibu. Rasanya tak ada sebab Irma nak tunggu lama dekat sini," jawab Irma Syazira seraya menyambar kunci keretanya.

"Habis tu, Farish? Kamu tak nak jumpa dia dulu sebelum kamu balik?" soal Puan Zarena lagi.

"Tak... tak ada gunanya, ibu. Kini Irma pasrah aje ibu, malas nak fikirkan. Andai suratan takdir kami sampai di sini, Irma terima dengan hati yang terbuka," ujar Irma Syazira dengan selamba.

"Apa yang Irma merepek ni?" soal Puan Zarena hairan. Berkerut dahinya sebaik sahaja kata-kata anak perempuannya itu menampar telinganya.

Irma Syazira tidak menjawab, sebaliknya dia mengambil beg tangan miliknya seraya mengeluarkan sekeping sampul surat berwarna putih dan diserahkan kepada ibunya itu.

"Irma, apa yang ada di dalam sampul surat ni? Berat semacam aje," Puan Zarena bertanya.

"Ibu, nanti ibu tolong serahkan sampul surat ni kepada Farish, ya? Ibu janji dengan Irma, jangan buka sampul surat ni," tegas Irma Syazira seraya mengatur langkah nenapak keluar dari rumah.

TENGAH hari itu, Farish dan anaknya, Danish Rayyan datang ke rumah mertuanya. Pada mulanya Encik Ahmad Nizam dan Puan Zarena terkejut dengan kehadiran Farish ke rumah mereka. Farish telah menceritakan semuanya kepada ibu dan ayah mertuanya tentang kesihatan dirinya dan juga apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan Irma Syazira menjauhkan diri darinya.

"Jadi, betullah Farish sekarang dah ingat semuanya?" Encik Nizam bertanya.

"Ye ayah, Farish dah dapat semula ingatan Farish. Tapi Farish harap... ibu dan ayah jangan bagitahu pada Irma dulu, Farish rasa, biar Farish sendiri yang bagitahu pada isteri Farish," ujar Farish, dia kesal dengan apa yang berlaku disebabkan kebodohannya sanggup menduakan Irma Syazira. "Ibu, Ayah, boleh Farish jumpa dengan Irma? Dia ada di dalam bilik dia kan?"

Encik Ahmad Nizam dan Puan Zarena terdiam, masing-masing merenung sesama sendiri.

Puan Zarena mengerling menantunya itu. Dia berasa serba salah. "Farish..."

"Ye ibu?"

"Sebenarnya, Irma... dia dah balik ke Cameron Highland pagi tadi." Puan Zarena berkata.

"Ye ke? Kenapa dia tergesa-gesa balik? Bukankah dia bercuti dua minggu, Daniel britahu dekat Farish semalam," balas Farish bingung. Riak wajahnya jelas menunjukkan kekecewaan sedang menguasai dirinya. "Takpelah ibu, ayah... Farish akan pergi jumpa dia. Petang ini jugak Farish akan bertolak ke Cameron Highland. Ayah, ibu... Farish nak minta diri dulu. Terima kasih sebab..."

"Farish, ini surat untuk Farish. Irma suruh ibu sampaikan pada Farish," pintas Puan Zarena seraya menyerahkan sampul surat berwarna putih kepada menantunya itu.

Farish rasa tiada apa dalam sampul surat itu dapat meredakan kesedihan di hatinya. Berat rasa hatinya untuk membuka sampul surat yang berada di tangannya itu. Tetapi digagahkan juga tangannya mengoyak sampul itu dan dikeluarkan isi di dalam sampul tersebut.

Farish terkejut melihat isi kandungan sampul itu. Seutas rantai emas bersama dengan loket berbentuk hati dan juga sekeping nota. Terukir ayat for my beautiful wife, Irma Love Farish di loket emas itu. Farish jatuh terduduk di atas lantai ruang tamu rumah itu.

Encik Ahmad Nizam dan Puan Zarena terkejut melihat keadaan menantunya itu. Cepat-cepat Encik Ahmad Nizam meraih tubuh menantunya itu seraya didudukan di atas kerusi.

Danish Rayyan pula hanya melihat papanya ketika itu, sesungguhnya dia tak tahu apa yang berlaku di antara papa dan mama tirinya.

Ini rantai yang aku hadiahkan untuk Irma pada malam sebelum kejadian tu... Ima, kenapa Ima pulangkan? Apa maksud Ima? Matanya kini sudah mula berkaca. Kemudian Farish membaca nota yang terselit dengan rantai emas itu.

Abang...
Maafkan Ima, Ima terpaksa pulangkan rantai emas yang abang hadiahkan pada Ima dahulu. Sebab sekarang baru Ima sedar, Ima memang tak layak untuk menerima pemberian dari abang. Ima tak layak untuk itu. Abang, jika benar abang nak berkahwin lagi satu, Ima restu abang kahwin lagi, itu hak abang, tapi Ima mohon abang lepaskan Ima terlebih dahulu. Ima dah penat, Ima dah penat menanggung perasaan rindu pada yang langsung tidak mengetahui kewujudan Ima... Sekarang Ima tak tahu siapa Ima di hati dan di sisi abang... Izinkan Ima pergi, Izinkan Ima keluar dari ikatan yang Ima sendiri dah tak pasti ini... Maafkan Ima, abang... Abang cinta pertama dan terakhir Ima, biarlah Ima mengundur diri, Ima turut bahagia jika abang bahagia. Assalammualaikum.

Dari seorang yang bergelar isteri yang hanya di atas kertas...
Irma Syazira.

Setelah membaca isi kandungan surat yang disertakan dengan rantai itu tadi, kini Farish tidak dapat menahan sebak di hatinya. Dia sangat menyesal dengan tindakan bodohnya. Apa aku dah buat ni? Ima... maafkan abang, sayang...

Kini air matanya tumpah di hadapan kedua mertuanya segera dilap dengan lengan bajunya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering menandakan ada panggilan masuk. Farish segera menjawab panggilan itu tanpa melihat nama pemanggil di skrin.

"Helo..."

"Sayang!" sahut si pemanggil.

Farish terkejut seraya menjarakkan telefon bimbit itu dari telinganya untuk memeriksa siapa yang menghubunginya. Tertera nama Tengku Isma Fatieha di skrin.

Farish membuat keputusan untuk mendengar sahaja apa yang perempuan itu nakkan darinya. Dia langsung tiada mood untuk bercakap dengan gadis itu. Apa yang aku dapat kalau layan perempuan macam dia ni?  Tak ada adab dan budaya orang melayu langsung!

"Sayang! Sayang dekat mana?! Puas I tunggu You call I! You jangan cakap yang You lupa  hari ni You dan I pergi shopping! I dah tempah baju untuk You sekali tau! I nak majlis kahwin kita nanti sama macam majlis persandingan Dato' Siti Nurhaliza tau! You jangan cakap yang You tak nak temankan I... I akan cari You sampai dapat! I tak takutlah dengan ugutan papa You tu! Dia tu siapa je nak tegur-tegur cara hidup I..."

Farish segera mematikan telefon bimbitnya. Sakit hatinya mendengar apa yang diperkatakan oleh Tengku Isma Fatieha itu tadi. Perempuan tak ada adab langsung. Belum kahwin lagi dah berani cakap macam tu pasal papa aku! Sampai mati pun aku takkan kahwin dengan perempuan macam tu!

"Farish, Farish okey tak ni?" Encik Ahmad Nizam bertanya.

"Farish okey saja ni ayah. Ayah, ibu, Farish nak minta diri dulu... Assalammualaikum."

Danish Rayyan juga turut bangun untuk bersalaman dengan atok dan nenek tirinya itu. "Atok, nenek, Danish ikut papa balik dulu ya." Dia terus mengatur langkah menghampiri papanya yang kini sudahpun berdiri di luar pintu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience