Chapter 14

Romance Completed 17238

KUNCI Range Rover Velar yang disimpan di dalam poket seluarnya dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Langkah kakinya diteruskan.  Alat kawalan jauh untuk membuka pintu pagar banglo mewah itu ditekan seraya menapak keluar sebaik sahaja pintu pagar itu terbuka. Pandangan matanya ditumpukan ke hadapan. Tak sanggup rasa hatinya untuk menoleh ke belakang semula. Hatinya pedih dan pilu, satu-satunya ikatan untuknya berpaut kini sudah terputus entah sampai bila ianya akan bersambung semula. Papa, terima kasih kerana sudi menerima diri Farish... walaupun hanya untuk tempoh tiga bulan, ianya sangat bermakna buat Farish. Sekurang-kurangnya Farish dapat merasa kasih sayang dari papa kandung Farish sendiri, walaupun ianya sangat singkat, Farish sangat menghargainya. Terima kasih papa. Langkahnya diteruskan untuk menunggu bas ataupun teksi untuk ke Lapangan Terbang.

Fikirannya kusut, sesungguhnya dia  sudah buntu sekarang. "Aku harus kuat untuk mengharungi semua ni...  Farish, kau kuat Farish, aku terpaksa balik ke Perth, walaupun aku terpaksa hidup merempat!"

Farish sebenarnya sudah tidak memiliki apa-apa, rumah peninggalan Atok Stefan dan arwah ibunya, Sofea terpaksa dijual sebelum dia berpindah ke Malaysia tiga bulan yang lalu. Fikirannya berserabut ketika ini. Ketika dia hendak menyeberangi jalan untuk ke perhentian bas yang berada di seberang jalan yang agak sibuk itu, dia terus berjalan tanpa menoleh ke kiri dan kanan jalan, fikirannya melayang entah ke mana. Dan dengan tiba-tiba...

Bammm!!

Dentuman yang maha kuat menumbuk gegendang telinganya dan pada masa yang sama, dia merasakan tubuhnya seperti terapung di awangan seraya itu dia merasakan bahagian kiri kepalanya terasa seperti dihentak dengan benda yang sangat keras pada masa yang sama juga kepalanya terasa seperti hendak pecah. Dipaksa dirinya untuk bangun, namun otot kaki dan tangannya seolah-olah telah dikunci dengan kuat. Titisan air berwarna merah pekat mengalir di kepalanya dan mengaburi penglihatannya kini.

"Tolo..." Inilah perkataan terakhir yang sempat diucapkan sebelum dia tidak sedarkan diri. Farish terbaring mengiring di lantai jalan raya yang sibuk itu. Dia dilanggar oleh sebuah kereta pacuan empat roda mengakibatkan dia melambung dan terpelanting sejauh empat meter.

TOMBOL pintu bilik anak sulungnya dipulas seraya menolak daun pintu ke dalam. Terbayang di matanya ketika ini seperti biasanya Farish akan duduk di birai katil atau sedang menunaikan solat maghrib. Kini dengan sekelip mata pemandangan itu tidak lagi kelihatan.

Walaupun di bibirnya mengatakan benci, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengatakan sayang. Tak mungkin ikatan pertalian darah antara anak dan ayah akan terputus sampai bila-bila. Punggungnya dilabuhkan di birai katil seraya menoleh ke arah bantal anaknya lalu diraih dan dipeluknya erat.

Takungan air matanya kini sudah melebihi hadnya, serta-merta takungan air jernih itu tumpah dan membasahi pipi. Baju kemeja berwarna biru muda milik Farish yang diletakkan di dalam bekul bersebelahan dengan katil itu ditarik keluar seraya dipeluk dan dihidu. Masih kuat bauan dari anaknya melekat pada baju kemeja biru itu. "Farish, maafkan papa... papa dah langgar janji papa! Papa dah berjanji takkan biarkan Farish bersendirian lagi, tapi papa dah mungkiri janji papa..."

Seketika itu pandangan Dato' Radzi Izham tertumpu pada buku berwarna biru tua yang diletakkan di atas meja kecil bersebelahan dengan kepala katil. Dengan pantas tangannya menyambar buku biru itu. Tertera tulisan tangan di kulit buku itu.

??My Diary Farish @ Ahmad Farish Adrian??
Malay version

Nama aku Ahmad Farish Adrian Bin Radzi Izham. cantikkan nama aku?

Sebenarnya daddy aku yang bagi nama aku, mommy aku cakap, daddy tak dapat duduk sama dengan kami...

Aku tanya mommy kenapa?

Tapi mommy tak jawab pun soalan aku...

Bagi aku, daddy aku hebat. Aku amat menyanjungi daddy aku, walaupun aku langsung tak pernah berjumpa dengan daddy.

Semasa umur aku lima tahun, aku bertanya pada mommy...
"Mommy,  di mana daddy?  Farish ingin sangat nak jumpa daddy. Kawan-kawan Farish semuanya ada daddy,  cuma Farish seorang yang tak ada daddy... Mommy,  Farish teringin nak sama macam kawan-kawan Farish."

Mommy hanya menjawab...
"Daddy Farish bukan berasal dari Australia, sayang..."

Aku tertanya-tanya, daddy aku dari mana dan sekarang dia berada di mana?

Mommy langsung tidak menjawab soalan aku, sebaliknya mommy hanya membalas pertanyaanku dengan tangisan. Aku tak tahu kenapa?

Sehinggalah semasa usia aku mencecah lima belas tahun semasa aku menolong mommy dan Atok Stefan mengemas rumah. Aku terjumpa photo album yang mommy simpan dengan kemas di dalam sebuah peti.

Oleh kerana perasaan ingin tahu yang sangat menebal pada masa itu, aku pecahkan mangga yang mengunci peti itu dengan kapak milik Atok Stefan.  Aku buka peti tu. Semua persoalan aku selama ini terjawab sebaik sahaja peti itu aku buka.

Mommy simpan banyak koleksi gambar dia bersama dengan daddy. Malah sijil perceraian mereka juga turut aku jumpa di dalam peti itu.

Aku ambil sekeping gambar daddy yang di belakang gambar itu tertulis nama penuh dan alamat daddy.

Radzi Izham bin Tan Sri Ibrahim
Damansara, Kuala Lumpur
Malaysia.

Semenjak dari hari itu, aku berazam untuk mencari daddy, aku teringin sangat nak jumpa dan ingin sangat nak merasai kasih sayang dari seorang insan yang bergelar daddy.

Gambar daddy itu jugak aku akan bawa ke mana sahaja aku pergi, kerana setiap kali aku merenung gambar itu, hati aku terasa bagaikan diriku terlalu dekat dengan daddy.

??**********??

Diari milik anaknya itu dipeluk, betapa besarnya kesalahan yang ditanggung sebaik sahaja membaca sebahagian dari isi kandungan diari biru milik Farish.

Bertambah pilu hatinya bila sekeping gambar yang terjatuh keluar dari diari milik anaknya itu jatuh tepat di kaki kirinya. Cepat-cepat Dato' Radzi Izham mengambil gambar itu. Ya! Ini gambar aku!

Memang benar itu gambar dirinya semasa baru satu bulan berkenalan dengan Sofea, di belakang gambar itu masih jelas alamat tulisan tangan miliknya. Farish... maafkan papa!

Juraian air matanya kini mengalir tanpa henti bersama dengan esakannya. Esakannya yang agak kuat itu juga telah menarik perhatian anak bongsunya Daniel Rafeeq yang berada di bilik sebelah. Dia menghampiri pintu bilik itu dan mendapati papanya sedang duduk meratapi pemergian anak sulungnya. Daniel Rafeeq segera mendapatkan papanya itu. "Papa, kenapa ni?"

"Papa nak Farish... papa nak anak papa balik," jawab Dato' Radzi Izham dalam esakannya itu.

Daniel Rafeeq segera memeluk papanya dan pelukannya dibalas. Terhenjot-henjot bahu Dato' Radzi Izham dalam pelukan anak bongsunya itu.

"Papa, Abang Farish dah pergi pa... papa sendiri yang halau abang tadi, kan?"

Dato' Radzi Izham melepaskan pelukan seraya bangun untuk keluar dari bilik itu.

"Papa, papa nak pergi mana tu?" Daniel Rafeeq bertanya.

"Papa nak pergi... papa nak pergi kejar Farish! Papa tak nak berpisah dengan anak sulung papa lagi!" jawab Dato' Radzi Izham dalam sendunya itu seraya menapak keluar dari bilik.

"Papa, dah terlambat pa... Flight Abang Farish pukul tujuh setengah tadi pa... sekarang dah pukul sembilan suku..."

Langkah Dato' Radzi Izham terhenti. Semakin bertambah pilu di hatinya mengenangkan nasib yang bakal menimpa anaknya nanti.

"Papa, sebelum Farish berpindah ke sini, minggu lepas Farish dah jual rumah peninggalan Atok Stefan, Farish terpaksa jual rumah tu untuk perbelanjaan Farish di sini untuk mencari papa..."

"Auntie Jessica sudah meninggal dunia tahun lepas akibat strock. Sekarang Farish cuma ada papa seorang saja tempat untuk Farish berpaut. Syukur, Allah permudahkan usaha Farish untuk berjumpa dengan papa... Farish bersyukur sangat, impian Farish selama ini akhirnya tercapai."

Ayat-ayat yang diungkapkan oleh  Farish sebelum ini, kini berlegar semula di minda dan ingatan Dato' Radzi Izham. Serta-merta dia jatuh terduduk di hadapan pintu bilik anaknya itu.

Beberapa saat selepas itu, Datin Amie Hamiza pula datang menghampiri suaminya itu sambil membawa telefon bimbit milik Farish yang dihempasnya di atas lantai ruang tamu petang tadi, habis hancur skrin telefon bimbitya itu.

"Amie, abang dah buat kesilapan yang sangat besar, Amie... abang dah buat keputusan yang sangat bodoh dan menyeksakan anak abang, darah daging abang sendiri..." ujar Dato' Radzi Izham dalam esakannya.

Datin Amie Hamiza terus meraih dan memeluk suaminya dengan erat. "Abang... kita berdoa pada Allah mohon supaya Farish selamat dan baik-baik saja ye?"

Dato' Radzi hanya mengangguk namun esakannya masih lagi kedengaran.

SEKUJUR tubuh yang terbaring tidak sedarkan diri di atas katil itu dengan lilitan wayar yang memenuhi tubuh yang persis seorang atlit sukan itu direnung lama. Rasa bersalahnya kini menguasai dirinya.

"Doktor Hana Wildad."

"Ya saya?"

"Doktor Hazrin nak jumpa dengan Doktor Hana..." ujar seorang jururawat yang membantu Doktor Hana Wildad merawat Farish di wad ICU itu.

"Oh, baiklah..." jawab Hana seraya berlalu pergi meninggalkan Farish yang terbaring masih tidak sedarkan diri itu.

"Doktor Hazrin, ada apa nak jumpa saya?" Hana bertanya.

"Hana, betul ke Hana nak bawa lelaki mat saleh yang awak langgar tu balik ke Cameron Highland sekali?"

"Apalah awak ni, tak baik tau gelar dia mat saleh, dia ada nama seperti dalam kad pengenalan dia... Nama dia Ahmad Farish Adrian bin Radzi Izham. Ye! Saya akan bawa dia sebaik sahaja dia sedarkan diri nanti. Saya nak tebus kesalahan saya... Biar saya jaga dan rawat dia sehingga dia benar-benar sembuh," balas Doktor Hana tegas

"Lagipun hari ini dah masuk dua minggu dia tidak sedarkan diri, ahli keluarga dan waris dia pun langsung tak datang melawat dia... Kesian saya tengok dia..." sambung Doktor Hana lagi.

"Yelah... Takkan ahli keluarga dia tak cari kot?" soal Doktor Hazrin.

"Pihak hospital ni pun sukar nak menghubungi waris dia... Mana tak nya, masa kejadian tu, pihak polis tercari-cari talefon bimbit dia atau apa-apa yang boleh untuk menghubungi keluarganya pun tak ada." Sambung Doktor Hazrin lagi.

"Takpe... saya sanggup jaga dia.  Sehingga dia betul-betul pulih," tegas Doktor Hana.

Semasa Doktor Hana dan Doktor Hazrin berbual tentang waris dan keluarga Farish yang tidak diketahui, Farish sudahpun membuka matanya.

"Doktor Hana, Doktor Hazrin! Dia sudah sedar!" Jururawat yang kebetulan sedang memeriksa nadi Farish ketika itu tersentap apabila pergelangan tangannya digenggam oleh Farish seraya mendapati jejaka itu sudahpun membuka matanya.

Doktor Hana dan Doktor Hazrin segera pergi mendapatkan Farish yang seperti hendak bangun namun dengan keadaan tulang kaki dan peha kirinya yang patah itu menyukarkan Farish untuk bergerak, ditambah pula tulang lengan kanannya juga patah.

Doktor Hana menghampiri Farish.

"Encik, jangan banyak sangat bergerak ya, boleh saya tahu nama encik ni siapa?' Soal Hana dengan lembut.

Farish tidak menjawab sebaliknya muka Doktor Hana direnungnya lama.

"Encik, encik ingat tak nama encik ni siapa?" soal Hana lagi. Kini mata Hana sudah menampakkan pantulan cahaya. Dia sangat risau jika lelaki yang dilanggarnya dua minggu lepas itu tidak dapat mengingati apa-apa.

Farish masih membisu seraya menggelengkan kepalanya.

Ya Allah... Apa aku dah buat ni! Bisik hati Hana.

"Encik, cuba encik sebut nama Encik ni siapa?" Hana bertanya sekali lagi.

Farish sekali lagi menggelengkan kepalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience