Chapter 43

Romance Completed 17238

FARISH  diam membisu sepanjang perjalanan menuju ke rumah baru mereka. Irma Syazira perasan dengan perubahan suaminya itu, namun dia mengambil keputusan untuk berdiam diri, takut untuk bertanya kenapa.

Irma Syazira mengerling Farish di sebelahnya. Kenapa dia ni? Tadi sebelum jalan, okey aje, bising banyak cakap. Sekarang dah membisu. Toleh dekat sini pun tak. Abang... kenapa ni? 

"Papa." Danish Rayyan tiba-tiba memanggil Farish yang sedang fokus memandu.

"Ye... ada apa?" sahut Farish setelah diam membisu dari tadi.

"Nak pinjam handphone, boleh?"

"Nak pinjam telefon? Danish nak buat apa dengan handphone papa?" Farish bertanya sambil tergelak kecil.

"Nak main game. Tablet Danish dah habis bateri dah ni..." jawab Danish Rayyan sedikit hampa.

"Hai, sejak bila pulak anak papa ni pandai main game dekat tablet tu? Kan papa dah cakap, jangan main game, nanti Danish terleka. Papa bagi tablet tu, senang untuk papa hubungi Danish. Bukannya untuk bermain game," tegas Farish pada anaknya itu.

"Alah..." Danish Rayyan kecewa dengan jawapan papanya.

"Abang, apa salahnya Danish..." 

Belum habis Irma Syazira berkata sepantas kilat Farish memintas.  

"Kau diam!" 

Irma Syazira terpempan dengan jerkahan itu. Terhenjut kedua belah bahunya akibat terkejut.

Danish Rayyan pula  tergamam di tempat duduk belakang.

Sepantas kilat juga air mata Irma Syazira menitis membasahi pipinya. "Abang, maafkan Ima... kalau Ima ada buat salah. Tapi..."

"Aku suruh kau diam, kan... tak faham bahasa ke?!" tengking Farish lagi.

Irma terkedu. Entah-entah, dia nampak aku dengan Uzair tadi kot? Aduh... Irma! Kenapalah kau bodoh sangat, kalau aku tak keluar balik dan pergi jumpa Uzair tadi, pasti takkan jadi macam ni! 

"Irma!"

Sebaik sahaja Irma Syazira menapak keluar semula dari perut kereta Range Rover Velar milik suaminya, dia segera berjalan menghampiri lelaki yang memanggilnya sebentar tadi. Dia ni dah kenapa cari aku sampai ke sini? Kalau suami aku perasan, habis aku! 

"Uzair, awak buat apa datang ke sini?! Macam mana awak tahu saya tinggal dekat sini?? Awak tahu kan, saya dah berkahwin?" Dengan perassan marah, Irma Syazira bertanya.

"Awak, sampai hati awak lupa janji awak pada saya..." ujar Uzair Nazry dengan perasaan sedih.

Uzair Nazry, rakan sekelas Irma Syazira semasa di bangku sekolah menengah. Dia terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke New York. Uzair Nazry pernah berjanji dengan Irma Syazira yang dia akan melamarnya sebaik sahaja keluarganya berpindah semula ke Malaysia dan juga setelah dia habis melanjutkan pelajarannya di New York, America. Dalam tempoh itu juga, Uzair Nazry tidak pernah menghubungi Irma Syazira sehinggalah dia kembali muncul semula hari ini.

"Apa, janji? Sepuluh tahun awak senyap tanpa berita, sekarang baru awak muncul balik, lepas tu nak tuntut janji?" soal Irma Syazira dengan kasar.

"Maafkan saya, awak. Saya mengaku silap saya sebab langsung tak menghubungi awak. Tapi percayalah, awak sentiasa berada di hati saya selama ni, dan saya sentiasa ingat janji kita," balas Uzair Nazry seraya mencapai pergelangan tangan Irma Syazira.

Cepat-cepat Irma Syazira melepaskan genggaman Uzair Nazry pada tangan kanannya. Dia mengerutkan dahinya seraya mengecilkan matanya merenung tajam wajah Uzair Nazry. "Kita? Janji kita? Tunggu, apa yang awak merepak ni?! Setahu saya, awak seorang aje yang berjanji, saya tak pernah berjanji apa-apa pun dengan awak..." 

"Awak. Saya... saya cintakan awak. Tolonglah awak..."

"Enough! Awak tak nampak ke? Saya dah jadi isteri orang! Dah ada anak... Awak tak nampak ni?" Irma Syazira berkata sambil mengusap-usap perutnya yang sudah mula membesar itu.

"Tak kisahlah awak mengandung ke... atau dah ada anak, saya tak peduli semua tu. Saya cuma nak awak berada di sisi saya. Itu aje," ujar Uzair Nazry lagi. Kali ini, dia dengan beraninya memegang erat pergelangan tangan Irma Syazira menggunakan tangan kirinya seraya tangan kanannya pula mengusap lembut pipi Irma Syazira.

Sepantas kilat Irma Syazira menyentak kuat tangan Uzair Nazry untuk melepaskan tangan lelaki itu seraya menjauhkan jaraknya. 

"Uzair... saya rasa, lebih baik awak pergi, sebelum suami saya nampak awak," pinta Irma Syazira seraya memalingkan wajahnya kearah lain.

"Alah... biarlah dia nampak, biar dia tahu yang dia dah rampas awak dari saya," balas Uzair Nazry bersahaja.

Irma Syazira terlopong sebaik sahaja kata-kata dari Uzair itu menampar telinganya.

Sebaik sahaja melihat Irma Syazira yang melopong di hadapannya, Uzair Nazry segera merapatkan dirinya di hadapan Irma Syazira seraya menarik tubuh wanita itu supaya berada di dalam dakapannya lantas dengan pantas bibirnya bertemu dengan bibir Irma Syazira.

Irma Syazira terkejut dengan tindakan berani lelaki di hadapannya ini dan berusaha untuk melepaskan dirinya dari pelukan Uzair Nazry. Selepas beberapa saat, Uzair Nazry melepaskan pelukannya.

Pang!!

Serta-merta tapak tangan Irma melayang singgah tepat di pipi kiri Uzair Nazry.

"Awak dah melampau Uzair, melampau! Saya nak awak tahu, selama ni... saya langsung tak pernah menyimpan apa-apa perasaan pun pada awak! Saya hanya cintakan suami saya sorang sahaja! Ahmad Farish Adrian. Itulah cinta hati saya dunia dan akhirat! Tiada yang lain! Sekarang, awak langsung tiada di dalam kamus hidup saya! Sebelum suami saya serang awak, baik awak pergi! Jangan ganggu hidup saya!" tegas Irma Syazira dengan panjang lebar seraya melangkah pergi.

"Awak... awak! Irma Syazira!" Uzair Nazry memanggil Irma Syazira sebaik sahaja dia melangkah pergi meninggalkannya.

Farish yang sedang menahan hatinya yang seolah-olah seperti gunung berapi yang menunggu masa untuk memuntahkan laharnya itu mengetap bibirnya dengan kuat saraya kembali berpura-pura membelek skrin telefon bimbitnya seperti tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.

Irma Syazira segera masuk semula kedalam perut kereta seraya menarik nafas panjang.

"Mama, yang tadi tu siapa?" Danish Rayyan bertanya.

Irma Syazira tersentap dengan pertanyaan dari Danish Rayyan itu. 

"Entahlah, mama tak kenal... orang silap cari alamat rumah kot," bohong Irma Syazira, dia cuba menyembunyikan dari pengetahuan Farish yang sedang memandu di sebelahnya.

Irma Syazira sempat mengerling ke arah suaminya. Nampaknya macam biasa aje tu, harap-haraplah dia tak nampak apa yang berlaku tadi. 

Farish sempat menjeling dengan anak matanya ke arah isterinya yang duduk di sebelahnya dan sedang menjawab soalan dari Danish Rayyan. Baru sekejap tadi kau cakap takkan layan lelaki lain selain dari aku, huh, belum sampai setengah jam kau ungkapkan kata-kata tu, sekarang jugak kau dah buat! Takpe... sekarang kau masih selamat, sebab Danish ada sama di dalam kereta ni, aku tak nak Danish menangis ketakutan. Kau tunggulah sampai rumah nanti, siap kau aku kerjakan! 

"DAH sampai ke?" Irma Syazira bertanya sambil mengerling ke arah kondominium mewah di hadapannya.

Farish tetap diam membisu, langsung tiada respon darinya.

Kereta Range Rover Velar itu dipandu masuk dan diparkir di bawah bangunan tujuh belas tingkat itu.

Tali pinggang keledar dibuka dan Farish terus menapak keluar dari perut kereta seraya membuka pintu bahagian penumpang belakang untuk mengejutkan anaknya, Danish Rayyan yang sedang terlena itu.

"Danish, jom turun, kita dah sampai dah ni."

"Dah sampai ke papa?" Danish Rayyan bertanya.

"Ye, dah sampai dah ni... Jomlah turun," jawab Farish dengan lembut.

Irma Syazira yang masih duduk di kerusi penumpang hadapan tergamam dengan tingkah suaminya yang seperti tidak menghiraukan keberadaan dirinya di situ. Hmm... aku yakin, mesti dia ternampak apa yang berlaku tadi. Irma, kau harus bersedia. Lepas ni pasti dia akan naik hantu dekat kau, Irma... 

Farish menarik keluar semua bagasi dari perut kereta. Bagasi-bagasi itu diletakkan di sebelah kereta.

Irma Syazira tergamam sekali lagi sebaik sahaja mendapati Farish hanya membawa bagasi miliknya sahaja sambil mendukung anaknya berjalan jauh di hadapan meninggalkan dirinya yang masih berdiri di sebelah kereta itu. 

Irma Syazira berdiri terpaku di tengah ruang kondo itu. Terpaku melihat hiasan dalaman rumah yang berkonsep moden dengan padanan warna biru muda yang merupakan warna kegemaran suaminya, serta dipadankan pula dengan warna hijau yang merupakan warna kegemarannya. Farish sengaja memilih padanan dua warna ini bagi melambangkan cinta mereka berdua.

"Danish, Danish kongsi satu bilik dengan papa. Jangan nak memandai-mandai pergi bilik tidur nombor dua tu. Itu bilik untuk orang gaji!" laung Farish dari dalam bilik tidur utama, master room.

"Hah, orang gaji? Siapa orang gaji kita, papa?" Danish Rayyan yang menjenguk dari pintu bilik tidur nombor dua itu bertanya.

"Tu ha... yang berdiri tercegat dekat luar tu... dialah orang gaji kita," laung Farish dengan selamba dari dalam bilik tidur itu.

Irma Syazira sekali lagi tergamam. Hatinya pedih selepas mendengar kata-kata dari suaminya itu, namun dia sudah bersedia untuk menghadapinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience