Chapter 32

Romance Completed 17238

Tujuh bulan berikutnya...

DUDUKNYA dilabuhkan di birai katil. Bayangan wajah suami dan keceriaan wajah anak lelakinya terbayang di matanya. Hari ini sudah masuk tujuh bulan dia ditinggalkan oleh sang suami.

Irma Syazira sering mengutuk kebodohan dirinya sendiri, jika dia tidak mengikut kata hatinya yang keras tujuh bulan yang lalu, sudah tentu sekarang dia sudahpun hidup bahagia bersama suaminya, Farish dan anak tirinya, Danish Rayyan.

Kini dia tidak boleh menyalahkan Farish secara membuta tuli kerana digantung tak bertali. Sering kali juga telinganya menjamah umpatan jiran-jiran dan kaum-kaum bawang mengenai dirinya. Album gambar ketika bersama dengan suami semasa sebelum Farish hilang ingatan tiga tahun yang lalu direnungnya lama, cuma foto-foto di dalam album itu sahaja menyimpan banyak kenangan manis mereka bersama. Gambar Farish diusapnya lembut. Air matanya berjuraian membasahi pipi dibiarkan kering dengan sendiri. "Abang, maafkan Ima, abang... Ima tahu abang takkan maafkan Ima, Ima menyesal tak percayakan abang..." 

Sedang Irma Syazira duduk termenung di balkoni bilik tidurnya itu, dia tidak menyedari ada dua pasang mata sedang merenungnya dari tadi di sebalik daun pintu.

"Papa, sekarang ke?" bisik si anak ke telinga papanya.

"Okey... Jom!"

Si anak segera berlari ke arah balkoni itu sambil membawa satu bungkusan chocolate serta diiringi oleh papanya di belakang dengan membawa sejambak bunga mawar putih.

Irma Syazira memejamkan matanya seraya berfikir. Aku yakin, papa dan mama mertua aku pasti tahu di mana Farish dan Danish berada sekarang. Mungkin diorang sengaja sorokkan dari pengetahuan aku? Mungkin ini permintaan Farish supaya dia tidak diganggu? Aku kena pergi jumpa papa dan mama sekarang, apa pun nak jadi lepas ni, jadilah! Aku dah tak peduli, aku hanya nakkan suami dan anak tiriku saja! 

Sebaik sahaja Irma Syazira membuka kelopak matanya, pandangan matanya terus menangkap pemandangan yang cukup indah dan sangat dirinduinya.

"Danish?" Pantas Irma Syazira memanggil nama budak lelaki comel berdiri di hadapannya sambil menghulurkan bungkusan chocolate kepadanya.

"Mama Ima jangan sedih-sedih tau," pujuk Danish Rayyan seraya memeluk erat tubuh Irma Syazira yang sedang duduk di kerusi itu.

"Ya! Mama takkan sedih dan nangis lagi dah lepas ni..." jawab Irma Syazira seraya membalas pelukan Danish Rayyan.

"Assalammualaikum..." 

Tiba-tiba pendengaran Irma Syazira menangkap satu suara yang sangat dia kenal dan rindui selama ini. Sepantas kilat Irma Syazira menoleh ke arah pintu bersebelahan dengan kerusi tempat duduknya itu.

Susuk tubuh suami yang dirindui sedang berdiri sambil menghulurkan sejambak bunga mawar putih untuk dirinya.

"Ab... abang?" Bergetar-getar bibir Irma Syazira ketika ini. 

"Ima, Sayang... apa khabar? Maaf sebab tinggalkan Ima..."

Sebaik sahaja mendengar panggilan sayang dari Farish, serta-merta Irma Syazira memeluk tubuh Farish dengan erat seolah-olah tak nak dilepaskan.

Farish pula membalas pelukan isterinya. Terukir senyuman bahagia di bibirnya ketika ini. 

"Abang..." Serta-merta juga esakan Irma bergema dari dalam pelukan Farish.

"Maafkan abang, sayang... maafkan abang, sebab lama lupakan sayang..." Farish berkata sambil mengeratkan lagi pelukannya pada isterinya itu.

"Abang kejam! Kenapa abang sanggup lupakan Ima? Kenapa abang bencikan Ima? Kenapa abang abaikan Ima??" Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Irma Syazira.

Farish hanya membiarkan isterinya mengamuk menumbuk-numbuk dadanya ketika ini. Kesakitan ditumbuk isterinya itu tidaklah sesakit yang dirasainya ketika ini, hatinya sakit mengenangkan nasib isteri dan anaknya yang diabaikan selama tempoh tiga tahun ini. Namun yang paling menyakitkan hatinya, dia tergamak bercadang untuk berkahwin dengan Tengku Isma Fatieha sedangkan yang sebenarnya dia sudahpun berumah tangga. Dia mengeratkan lagi pelukannya pada si isteri. "Sayang, lepaskanlah segala kemarahan sayang pada abang, sayang... abang banyak sakitkan hati sayang sebelum ni." 

Keadaan itu berlarutan selama lima minit. Naik lebam juga dada sasa Farish akibat ditumbuk oleh si isteri.

Irma Syazira masih melayan sendunya di dalam pelukan suaminya. Manakala Danish Rayyan pula sudahpun turun ke tingkat bawah untuk bermain dengan atuk dan neneknya, Encik Ahmad Nizam dan  Puan Zarena.

Farish membawa Irma Syazira masuk ke dalam bilik seraya melabuhkan duduk di birai katil. Irma Syazira langsung tak mahu berenggang dengan suaminya walaupun sesaat. Kepalanya disandarkan di dada sasa suaminya. Air matanya masih ligat mengalir menyusuri pipi.

"Abang..." Irma Syazira memanggil perlahan.

"Ya?"

"Selama tujuh bulan ni, abang dan Danish pergi mana?" soal Irma Syazira polos.

Farish tidak menjawab pertanyaan isterinya itu, sebaliknya Farish khusyuk menngusap pipi gebu isterinya itu.

"Abang, dengar tak?" Irma bertanya sekali lagi.

"Ye... abang dengar ni..."

"Kalau dengar, kenapa tak jawab?"

"Abang pergi bercuti tenangkan diri di Australia. Abang bawa Danish pusing-pusing satu Australia. Bermula dari Perth, Darwin, Brisbane, Adelaide, Sydney, Melbourne, dan Christmas Island. Danish nampak happy sangat," cerita Farish panjang lebar.

Irma Syazira tergamam, dia tak sangka suaminya pergi membawa diri ke Australia selama tujuh bulan ni. Dia menggengam erat pergelangan tangan suaminya itu.  "Abang, maafkan Ima... mesti abang pergi disebabkan oleh Ima. Ima nak minta maaf sangat-sangat, Ima bodoh, ego, terlampau ikutkan sangat perasaan marah dan cemburu. Betul kan, apa yang Ima cakapkan ni?" 

"Mungkin," jawab Farish ringkas.

"Mungkin? Betullah tu kan?" soal Irma lagi.

Farish menganggukkan kepalanya perlahan.

"Sekali lagi, maafkan Ima ye abang?" sekali lagi Irma memohon ampun dan maaf dari suaminya itu.

Farish tersenyum. "Sayang, abang dah lama maafkan sayang, okey... Dah... dah... mulai saat ni, kita buka buku baru ye! Lupakan perkara yang dah lepas tu, biarkan ianya turut berlalu seiring dengan aliran waktu." Farish berkata dengan tenang. Sesungguhnya hatinya kini berasa sungguh bahagia.

Petang ini, Farish dan Danish Rayyan menjemput Irma Syazira untuk balik bersama ke banglo papanya, Dato' Radzi Izham. Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata sedang memerhati dan mengekori gerak geri mereka bertiga ketika ini.

"Ahmad Farish Adrian Bin Dato' Radzi Izham, akhirnya kau tunjukkan diri kau jugak, tujuh bulan aku cari kau! Kali ni aku takkan lepaskan kau! Aku akan ikut ke mana saja kau pergi, perempuan tu... apa hubungan kau dengan perempuan tu? Aku takkan biarkan perempuan tu rampas kau dari aku!" Pedal minyak ditekan, kereta yang dipandunya itu bergerak mengekori ke mana sahaja arah tuju Range Rover Velar milik Farish yang bergerak di hadapannya.

"Aku akan kejar kau sampai dapat!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience