Bab 23: Mengalah Bukan Bererti Kalah

Romance Completed 32302

Suasana di rumah Tuan Haji Zuhdi pada hujung minggu itu seperti dilanda kemarau.. Sepi.. Tiada langsung bunyi suara yang keluar daripada bibir-bibir ahli rumah itu seolah bisu semuanya, hanya dua pasang mata menghantar isyarat bicara yang disaksikan oleh empat pasang mata yang lain.

Untung sahaja cucu-cucu Tuan Haji Zuhdi sudah dibawa keluar oleh dua menantu lelakinya, AbangLong dan AbangNgah untuk memberikan privasi pertemuan ini.

Suasana sepi itu menyaksikan ada air mata kekesalan yang tumpah, satu-satunya anak lelaki kesayangan keluarga, datang sujud di kaki syurganya yang dia 'abaikan' selama hampir seratus hari.

"Ampunkan Zhaf, Ummi..Zhaf anak derhaka, Zhaf tak dengar cakap Ummi.." Zhafri yang mengongoi seperti anak kecil di kaki Puan Hajjah Safiah dipandang sebak oleh ahli keluarga yang lain, kecuali umminya. Ada pandangan kekecewaan di matanya. Tiada setitis pun air matanya tumpah.

"Ummi boleh ampunkan Zhaf, tapi Ummi tak redha dengan apa Zhaf dah buat. Ummi tak boleh terima perempuan tu dan anak dia.." lembut tutur bicara Ummi seakan memujuk hatinya yang resah selama tiga bulan ini, seawalnya seperti memberi cahaya dalam hidupnya yang suram namun di akhirnya terus dia terkurung dalam kegelapan yang dia tak mampu nampak lagi walau secebis sinaran. Zhafri menunduk, terlepas pegangannya daripada kaki ummi. Air mata yang mengalir lebat yang membasahi seluar khakisnya tadi, diseka.

Jeda.

Bumi mereka seakan berhenti berputar. Yang terdengar hanyalah bunyi kipas syiling sahaja.

Adik-beradik Zhafri sudah lencun muka menangis hiba, seperti ada kematian sahaja.

Tuan Haji Zuhdi dipandang. Wajahnya juga mendung. Dia juga menanggung rasa, keras sungguh hati seorang ibu.

Kemudian Zhafri bersuara, "Terima kasih, Ummi, ampunkan Zhaf," perlahan ucapannya, dia tersenyum, payah.. seraya mencapai tangan tua yang banyak sungguh jasanya pada dia, anak yang 'derhaka' itu lalu dicium penuh rindu. Umminya juga mengusap lembut kepalanya seperti dulu. Dia.. rindukan ummi yang dulu, yang sokong apa sahaja yang dia buat. Lama mereka begitu, berpelukan. Dan barulah air mata ummi mengalir lebat..sungguh dia berdosa melawan cakap umminya yang telah bergadai nyawa membawanya ke dunia ini..Teringat dia segala pesanan Arianna sebelum dia berjumpa ummi.

FLASHBACK

"Apa pun jawapan Ummi nanti, Abang jangan bangkang tau. Anne taknak Abang terus jadi anak derhaka yang Ummi cakap, sebab kata-kata seorang ibu kan doa, Nauzubillah..benda tu jadi kenyataan, Abang.."

Jeda..

Arianna menarik nafas dalam, kemudian menyambung bicaranya. Zhafri hanya diam, menggenggam tangan Arianna.

"..Abang sendiri tahu Allah tak redha seorang anak tanpa redha kedua ibu bapanya. Ummi tu syurga Abang. Anne tak boleh lagi jadi penghalang untuk Abang bertemu syurga Abang. Abang faham kan?.."

Sebak, Arianna cuba mengawal suaranya yang sudah mula tersekat-sekat..dia tidak mahu membayangkan Zhafri dipaksa meninggalkannya namun, dia harus buat semua ini kerana dia juga seorang ibu, dia tidak mampu membayangkan jika Naaila mengabaikannya nanti..

"Benda ni memang susah, dugaan kita berat tapi kita terpaksa hadap, kita terpaksa kuat. Kita tak ada pilihan sebab ini jalan hidup yang kita pilih. Kalau Ummi tak boleh terima Anne, Anne okay selagi ada Abang dengan Anne dan Naaila. Biarlah Anne jadi menantu yang tak diakui, yang penting Anne nak Abang tahu, Anne sayang Abang tanpa syarat.."

Tangan Zhafri yang menggenggam tangannya digosok perlahan, seperti memberi kekuatan untuk diri sendiri untuk terus menyampaikan apa yang terlintas di hati..

"Anne taknak Ummi buang Abang, Anne tahu Abang sakit, simpan perasaan itu sebab nak jaga hati Anne, tapi percayalah Abang, Anne dapat rasa apa yang Abang rasa kerana kita berkongsi 'beban' yang sama.."

Arianna dapat mendengar air hidung Zhafri ditarik, dia tahu Zhafri menangis, namun dia sendiri tak kuat untuk memandang wajah Zhafri sekarang..

"Sekurang-kurangnya bila 'beban' Abang terangkat, kita tak tergelam sama-sama, Anne masih ada Abang untuk berpaut sebelum lemas."

Akhirnya, Arianna dapat juga meluahkan rasa yang terbuku di hatinya. Seakan satu batu besar diangkat daripada bahunya..dia terasa lega selepas meluahkan..dan selepas beberapa ketika mereka melayan perasaan, akhirnya Zhafri menarik Arianna ke dalam pelukannya. Erat.

"Abang janji, Abang tak akan lepaskan Sayang selagi Sayang mahu berpaut pada Abang, Abang janji Sayang.." dalam sedu-sedan mereka yang bersatu, Zhafri bersuara.

Sungguh mahal harga syurga seorang anak.

Cinta yang tidak direstui rupanya lebih menyakitkan daripada cinta yang dikhianati. Arianna redha dengan dugaan yang Allah hadiahkan padanya kerana dia tahu, Allah sayang sangat pada dia.

END FLASHBACK

Berkat doa isterinya, menantu yang ummi tidak akui itu, dan yang lebih menyakitkan perasaannya anaknya juga yang pernah menjadi kesayangan umminya dulu, juga sudah tidak ummi mahu peduli..akhirnya Zhafri diterima kembali kerana doa dan sokongan seorang Arianna.

Bermulalah kehidupan Zhafri sebagai anak yang masih bujang dan masih tunangan Syuhada di mata ummi. Biarkanlah masa yang menentukan, selagi ummi bahagia..Mereka redha.

---

Setiap kali mahu melawat ummi, Arianna dan Naaila pasti akan ditinggalkan di Manjung. Begitulah yang berlaku dalam hidup mereka. Hubungan antara dua keluarga juga telah putus, majlis Zahra, keluarga Arianna langsung tidak dijemput ummi. Walaupun abah ada menelefon babah, namun babah dan mama membuat keputusan untuk tidak mengeruhkan keadaan dengan menjadi tetamu yang tak diundang ummi, ibu kepada mempelai yang diraikan. Apa yang Arianna kesalkan, Naaila juga mendapat tempiasnya. Walaupun Naaila dilayan baik oleh semua ahli keluarga sebelah Zhafri kecuali ummi, Naaila masih tidak dibawa ke Taiping kerana ummi melarang Zhafri berbuat begitu..terpaksalah mereka mencipta pelbagai alasan setiap kali Zhafri pulang ke Taiping apabila Naaila bertanya. Entah sampai bila lagi mahu disorokkan pergolakan hubungan ibu dan opahnya itu.

Hari ini, majlis perkahwinan Tengku Fakhri dan Syarfa. Semua ahli keluarga Zhafri hadir kecuali ummi serta Zahra dan suaminya.

Walaupun kelihatan KakLong dan KakNgah sedikit kekok, Arianna melayan mereka seperti biasa. Dia tidak ambil hati dengan apa yang berlaku sebelum ini, dia sudah redha..Tiada dendam yang dia simpan, berkat bantuan Doktor Maryam dulu..dan akhirnya tenang yang dia dapat. Itulah impiannya, dia tidak mahu menang, cuma mahu tenang.

"KakLong, KakNgah jemput makan dulu, Anne boleh jagakan baby," pelawa Arianna sambil menghulurkan tangan mahu mengambil bayi daripada KakNgah. KakNgah yang baru lima bulan bersalin, menghulurkan bayinya kepada Arianna. Untung sahaja anak-anak yang lain dah selamat dengan bapa masing-masing termasuk Naaila.

"So cute lah baby, siapa nama ni KakNgah?" Arianna kelihatan teruja, kerana semasa Naaila kecil dulu, yang banyak menjaga Naaila adalah Sofie, dan Mimi pula sibuk menguruskan dia yang tidak sihat ketika itu.

"Zayn Aydan," jawab KakNgah sambil tersenyum membalas soalan Arianna.

"Anne nampak berseri-seri, Naaila nak jadi kakak ke?," Arianna hanya tersenyum membalas soalan KakLong.

"Doakan ya, KakLong..KakNgah..Eh, borak pula kita, makanlah dulu, nanti kita borak lagi, Anne nak bawak Baby Zayn masuk dalam dulu, panas ni kesian dia," ujar Arianna seraya melangkah menuju ke dalam rumah.

Usai menjamah makanan, KakLong dan KakNgah menuju ke dalam rumah, mencari Arianna. Kelihatan Arianna mengendong Baby Zayn yang tertidur.

"Nyenyak Baby Zayn tidur, sedap dipeluk MakLang ye," teguran KakNgah sedikit menyentak tangkai hati Arianna. Alangkah indahnya kalau gelaran MakLang itu diiktiraf. Arianna hanya senyum segaris. Senyuman kebiasaannya yang mampu dia pamerkan sekarang.

"Ha'ah KakNgah, tadi Anne buai-buaikan sikit dalam pelukan ni, tertidur dia. Baik pula tak meragam langsung, mudah nak handle ni. Anak soleh," ujar Arianna sambil mencium ubun-ubun Baby Zayn. Wangi sangat. Tersedar dia diperhatikan, Arianna terus bertanyakan soalan sekadar berbasa-basi. Dahulu pun mereka tidaklah rapat, seingat Arianna semasa dia kecil, KakLong dan KakNgah yang kembar sama tahun, memang tak genglah dengan dia bak kata orang. Sempat jadi ipar dulu pun sekejap sangat, cuma sekaranglah selepas hubungan Zhafri dengan keluarganya dah pulih, Arianna baru nak memulakan sesi ta'aruf.

Setelah hampir satu jam mereka berborak KakLong dan KakNgah meminta izin untuk pulang. Mama ada kirimkan bekal hidangan nasi kenduri untuk ummi serta Zahra suami isteri, semoga ummi dan Zahra dapat menerima kiriman ummi itu.

"Anne doa banyak-banyak ya, semoga terbuka hati Ummi dengan Yaya untuk terima ketentuan Allah ni. KakLong minta maaf masa majlis pertunangan Yaya dulu, KakLong abaikan Anne sebab KakLong dengar cakap-cakap orang," erat pelukan KakLong sambil mengusap belakang Arianna. Arianna hampir menangis. Sebak, walaupun masih belum diterima sepenuhnya ahli keluarga mertuanya, sekurang-kurangnya KakLong dan KakNgah sudah buka hati mereka.

Beralih kepada KakNgah.."Anne jaga diri tau, KakNgah pun sama, minta maaf dengan Anne atas apa yang dah lepas..kita sama-sama doakan semoga Allah gerakkan hati Ummi dan Yaya, Anne jangan putus harapan tau. KakNgah tengok Zhaf cuma bahagia bila dengan Anne. Dah lama kami tak tengok mata dia yang bersinar tu, sejak Anne terima dia semula memang nampak sangat dia bahagia walaupun Ummi masih menentang."

Tubuh KakNgah juga dipeluk seeratnya. Arianna sedang menghitung kesyukuran yang Allah kurniakan kepadanya walaupun dia masih menunggu restu daripada syurga suaminya.

"Assalamu'alaikum.." terdengar satu suara yang amat Arianna kenali, suara yang dia rindui.. Airmata kesyukuran Arianna mengalir lagi, sesungguhnya doanya Allah dah jawab.

Saat berpaling kepada suara yang dia nantikan untuk menyapanya selama ini, hatinya yang tenang tadi seakan direntap kembali..apakah maksud di sebalik semua ini? Bala apa pula yang hadir kali ini...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience