Bab 20: Pilihan Zhafri

Romance Completed 32302

Perjalanan pulang ke Manjung ditemani sepi..Zhafri fokus memandu, dan Arianna melayani perasaannya. Tidak disangka sebegitu tinggi harga yang harus dibayar untuk memiliki Zhafri. Teringat kejadian di saat Arianna melangkah keluar rumah keluarga Zhafri tadi.

FLASHBACK

Ketika kaki dihayun melangkah keluar rumah, Arianna terserempak dengan Tuan Haji Zuhdi yang baru pulang daripada kedai. Melihat wajah Arianna yang basah, dia semestinya dapat mengagak bukan perkara baik yang berlaku.

"Arianna nak ke mana? Mana Zhafri? Ni Abah ada belikan nasi tomato ayam merah kegemaran Arianna, kita makan dulu ya," suara lembut abah seakan memujuk hatinya yang lara, menambahkan lagi sebak di dada Arianna. Hanya abah sahaja yang masih menerimanya seperti dahulu, di saat dia berdendam, di saat dia sakit, abah masih ada.

"Abang ada kat dalam dengan Ummi, Abah. Anne ambil angin sekejap," Arianna cuba menghadiahkan senyuman walaupun dia sendiri rasakan tak mampu untuk senyum di saat hatinya yang tengah hancur berkecai begini.

"Baiklah, sekejap lagi dah siapkan meja, Abah minta Zhaf panggil kamu ya," Tuan Haji Zuhdi tersenyum, cukup menyenangkan seraya berlalu masuk ke rumah.

"Pilihan apa yang Ummi bagi ni, Ummi? Ummi tahu kan Zhaf tak boleh terima Syuhada tu..Zhaf cuma nak Arianna sahaja dan Naaila. Tolonglah faham, Ummi.." Tuan Haji Zuhdi terdengar suara Zhafri yang merayu ketika beliau mahu melintasi ruang tamu rumah mereka untuk ke ruang makan.

"Kalau Zhaf tak boleh terima Syuhada, Ummi juga tak boleh terima Arianna, dan kalau terpaksa Naaila pun Ummi tak mahu lagi ambil tahu," kejamnya kata-kata ummi, menikam jantung Zhafri. Mahu sahaja dia pinta ummi untuk membunuhnya biar dia tak perlu hadap semua kesakitan yang ummi ciptakan ini.

"Piahhh!!! Awak cakap apa ni? Permintaan gila apa yang awak buat ni? Pergi balik, Zhaf! Abah restu dah redha kamu nikah dengan Arianna. Tak perlu kamu tunggu Ummi kamu ni, entah apa yang dah merasuk dia sampai sanggup nak buang darah daging sendiri dengan janji yang dia sendiri buat! Pergi balik sekarang!," Tuan Haji Zuhdi menolak tubuh Zhafri keluar daripada rumah dan ketika Zhafri mahu menyarungkan kasut, dia terdengar suara umminya, "..Ummi sanggup hilang anak lelaki daripada ada anak derhaka.." jatuh air mata Zhafri apabila mendengar 'tekad' umminya. Sungguh berat dugaannya. Tidak layakkah dia bahagia bersama orang yang dia cintai?

END FLASHBACK

Arianna berpaling kepada Zhafri apabila terdengar keluhan lelaki itu.

Zhafri kemudiannya memberikan isyarat untuk berhenti di stesen minyak berhampiran, lalu masuk ke kawasan parkir.

"Anna boleh solat? Abang nak solat sekejap," Zhafri memandang Arianna yang masih bersisa air matanya.

"Boleh. Jom, Abang," Arianna tersenyum. Walaupun kelat, dia ikhlaskan juga senyumannya. Zhafri tak salah. Ummi juga tak salah. Semua ini berpunca daripada salah dirinya sendiri.

Usai menunaikan solat di surau stesen minyak, mereka mencari gerai makan untuk makan tengah hari. Teringat pula nasi tomato ayam merah yang abah beli tadi. Tiada rezekinya. Tak apalah, makan apa pun, okay sahaja asalkan ada Zhafri depan mata. Hatinya sedikit tenang selepas solat tadi. Dia memohon, agar Allah mudahkan urusan mereka. Andai ada jodoh, pasti akan bersama. Sekarang, semuanya bergantung kepada Zhafri untuk membuat keputusan.

Zhafri makan sedikit sahaja, padahal ikan keli goreng berlada itu lauk kegemarannya. Arianna hanya memerhati. Mungkin Zhafri memikirkan pilihan yang diberi ummi tadi. Sekarang bergantung kepada Zhafri. Kalau tanya Arianna, dia sudah redha sekarang dan sanggup terima pakej madu walaupun dia tahu dia akan lebih terluka, namun dia mahukan restu ummi dalam hubungan mereka.

Makan tengahari mereka hanya ditemani bunyi daripada sudu dan pinggan yang berlaga sahaja serta suara sekeliling. Tiada langsung perbualan antara mereka. Usai membayar harga makanan dan minuman, mereka beriringan menuju kereta.

Zhafri menghidupkan enjin kereta dan penghawa dingin, namun tidak ada tanda mahu meneruskan perjalanan. Dia bersandar, matanya dipejam. Kemudian, nafas berat dihela. Apabila dia berpaling ke arah Arianna di sebelahnya, Arianna sedang merenungnya sambil tersenyum.

"Anna, Abang dah nekad. Kita kahwin, dan tolong jangan pujuk Abang terima offer Ummi tadi," seperti dapat meneka apa yang ada di dalam kepala Arianna, cepat-cepat Zhafri memintas.

Arianna tersenyum, mengangguk. Biarlah dia pentingkan diri kali ini, biar masa yang akan memulihkan hubungan dan menyembuhkan luka di hati Ummi dan hatinya. Kalau tadi dia redha jika Zhafri memilih untuk menerima pilihan yang ummi beri demi sebuah restu, kini dia lega dengan apa yang Zhafri janjikan.

Dia yakin, Ummi terluka apabila Zhafri memilihnya, namun dia sendiri sudah tidak mampu menanggung derita andai Zhafri memilih untuk menikahi Syuhada. Walaupun andai terpaksa menerima kemungkinan bermadu, tetapi dia tidak mahu jika diberi pilihan. Kerana dia sendiri tidak yakin dengan dirinya, adakah dia mampu untuk ikhlas menerima ada perempuan lain dalam hidup suaminya, walaupun hakikatnya dia pernah dimadukan di luar pengetahuannya.

"Kalau Anna dah setuju, balik rumah kejap lagi kita bincang dengan mama dan babah, dan tetapkan tarikh. Lepas tu, Anna dan Naaila kena bersedia untuk ikut Abang tinggal kat KL," Zhafri senyum, menutup kesedihan di hati kerana dia baru sahaja menjadi 'anak derhaka' yang dibuang keluarga kerana memilih untuk terus bersama cinta matinya dan darah dagingnya.

Semoga pilihan yang dibuat ini, adalah tepat dan semoga hati ummi akan lembut untuk menerima dia dan keluarga kecilnya kembali meraih tempat di hati ummi.

---

"Babah rasa, kalau Anne dan Zhaf dah setuju, eloklah kita cepatkan. Nanti Naaila pun boleh terus daftar sekolah kat sana," Encik Yusri memberi cadangan. Puan Suraya di sebelah Arianna menggenggam tangan anaknya meyakinkan bahawa keputusan mereka ini adalah betul. Arianna sekadar tersenyum dan mengangguk setuju apabila Zhafri memberitahu dia memerlukan masa seminggu untuk menguruskan hal berkaitan dokumen untuk pernikahan mereka.

Akhirnya kata sepakat dipersetujui, dan mereka bakal dinikahkan minggu berikutnya, dan semestinya adik langkah bendul abang lagi. Apabila Puan Suraya mencadangkan Arianna dan Zhafri bersanding sekali dengan Tengku Fakhri dan pasangannya, Arianna menolak dengan baik kerana cukuplah dulu mereka dah pernah bersanding, biarlah kali ini, dia menjadi peneman mamanya sahaja di bawah pelamin. Zhafri juga menyambut baik keputusan Arianna.

Walaupun ada sedikit rasa terkilan, namun Zhafri bersyukur mereka masih punya restu abah, babah dan mama. Itu sudah memadai buat masa sekarang. Tentang ummi, dia akan memujuknya nanti, selepas semuanya selesai dan ketika marah ummi sedikit reda. Tentang adik beradiknya, semoga suatu hari nanti mata hati mereka akan terbuka untuk kembali melihat kebaikan Arianna. Dan tentang Syuhada dan keluarganya yang ummi takut sangat dimalukan itu, biarlah..dia tidak mahu ambil tahu lagi, kerana Syuhada sendiri yang mahu melibatkan diri sendiri.

Dia..ingin mementingkan dirinya sendiri..untuk sekali ini tanpa memikirkan rasa hati orang lain yang mungkin terluka kerananya, kerana dia juga berhak bahagia bersama Arianna si cinta matinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience