Bab 14: Syuhada

Romance Completed 32302

Usai solat Isya' mereka sekeluarga makan malam bersama. Zhafri sungguh berselera kerana sudah lama dia hanya makan di kafe hospital. Semasa tinggal di Manjung, dia sudah terbiasa makan masakan bekas ibu mertuanya.

"Opah, sedapnya. Naaila tak pernah makan ikan poyak ni, tapi rasanya sedap," Naaila teruja kerana kali pertama mencuba makanan berasaskan tempoyak.

"Naaila suka? Mama Syu boleh masak hari-hari untuk Naaila nanti, kan Abang?," hampir tersembur air sirap yang sedang dihirup Zhafri. Kalau tak diselamatkan, mesti dah mandi sirap AbangNgah di depannya.

"Mama? Why Mama not Aunty?," Naaila polos bertanya tanpa memahami apakah perancangan orang dewasa, lalu Tuan Haji Zuhdi menegur menyelamatkan keadaan. "Yaya..," hanya sekadar nama diseru, Zahra terus tunduk seraya menyuap makanan ke mulutnya. Syuhada dengan wajah yang merona merah juga diam, malu untuk mengangkat wajahnya. Yang lain juga terus diam, senyap tanpa ada lagi bicara sehingga Puan Hajjah Safiah bersuara "Naaila boleh panggil Mama Syu atau Aunty Syu, pilih aje mana suka," sekadar tersenyum nipis kepada cucunya yang petah berkata-kata. Bijak seperti Arianna. Ya, dia sendiri terkilan dengan sikap keras hati Arianna. Kalau dulu, Arianna lah yang dirasakan paling sesuai untuk anaknya Zhafri, namun takdir jodoh yang tak panjang dan Arianna sendiri sudah tidak mahukan Zhafri, apa salahnya dia carikan isteri baru untuk Zhafri buat peneman hidup anak lelaki tunggalnya yang dia sayangi.

"Naaila suka Aunty Syu, not Mama Syu. Naaila dah ada Ibu," tegas dan nampaknya sukar diuruskan anak Zhafri yang seorang ini.

"Naaila kalau dah siap makan, jom ikut Ayah kita video call Ibu nak?," Zhafri ingin mengelak daripada perbincangan yang bakal berlaku. Dia tahu pasti dia bakal dijodohkan dengan Syuhada. Dia tidak kisah siapa pun Syuhada, tapi hati nya masih belum terbuka untuk mana-mana wanita. Kalau Arianna dengan prinsip 'I don't need a husband..for now', dia pula dengan prinsip 'I don't need a wife..for now'. Dia masih berupaya menguruskan diri sendiri dan sudah terbiasa begitu.

---

"Abang, please think about Syuhada. Dia BFF Yaya tau masa dekat uni dulu. Yaya tahu dia boleh jaga Abang, jaga Naaila," entah ke berapa kali Zahra masih memancingnya. Umpan Zahra satu pun tak kena.

"Taknaklah Yaya, Abang okay je lah jaga diri sendiri. Naaila pun bukan fulltime dengan Abang, dia ada mak dia," tetap dengan jawapan yang sama daripada awal. Keputusannya seteguh konkrit. Tak perlu berfikir pun Zhafri dah ada jawapannya..Dia tidak pernah bersedia untuk mencari pengganti Arianna yang masih hidup sihat itu.

"Dia memang ada mak, tapi Abang takde wife. Yaya tak faham lah apa yang Abang tunggu lagi. Dah terang-terang Anne tu taknak Abang tau. Ummi dengan Abah pun dah berkenan dengan Syu tu. Lagi pun dia mengajar tak jauh daripada rumah Abang. Abang tak nampak ke, jalan jodoh yang Allah dah lorongkan?," lagi dan lagi, Zahra masih memujuk Zhafri satu-satunya Abang dia yang rapat dengannya seperti mana Arianna dan Tengku Fakhri. Sebut nama Tengku Fakhri, nampaknya dia bertepuk sebelah tangan. Tak sangka Tengku Fakhri hanya anggap dia sebagai adik, dan disebabkan dia tidak mahu terus memasang angan-angan bersaudara lagi dengan Arianna yang dia dah menyampah sangat tu, dia terus terima lamaran rakan sekuliahnya dulu.

"Pergilah tidur, esok mata sembap baru tau tak elok bakal suami tengok. Syuhh.. syuhh.." Zhafri memotong hujah Zahra dengan 'menghalau' adiknya itu. Bukan main nak jadi match maker. Tak habis-habis. Yang Syuhada ni pula, kenapalah setuju nak ikut plan keluarganya. Kalau ikutkan, Syuhada memang tiada yang kurang, gadis bertudung, raut wajah yang cantik, pandai memasak, rajin, sopan, lemah-lembut. Semualah. Pakej isteri solehah dambaan kanda. Namun, soal hati. Hatinya tidak terbuka untuk perempuan lain selain daripada Arianna. Zhafri akhirnya mengeluh sendiri. Arianna. Kenapa keras sangat hatinya. Apakah luka yang pernah dia tinggalkan dulu terlalu dalam sehingga Arianna langsung tidak dapat maafkan dan menerima dia kembali.

---

Majlis pertunangan Zahra berjalan lancar. Arianna yang hadir bersama keluarganya merasakan layanan keluarga Zhafri kepadanya dingin. Kalau dulu, bekas ibu mertuanya akan memeluknya erat setiap kali berjumpa. Namun, tidak untuk kali ini. Sekadar bersalaman dan ketika dia mahu mencium tangan Puan Hajjah Safiah, tangan bekas ibu mertuanya itu segera ditarik. Arianna agak terkejut, dan cepat-cepat dia mengawal riak wajahnya. KakLong dan KakNgah juga seperti orang asing, yang pura-pura tidak menyedari kehadirannya, nampak sangat sibuk melayan tetamu lain. Zahra lagilah, asyik menjeling sahaja. Dan ada seorang perempuan bertudung di sebelah Zahra. Cantik. Ketika dia asyik melirik kepada perempuan itu, pandangan mereka bertaut dan senyuman manis dihadiahkan kepada Arianna. Ada rasa tak enak dalam hatinya. Siapakah perempuan itu?

"Ibu!" Naaila yang berlari memeluknya lalu duduk di ribaannya berbisik, "Ibu, Naaila taknak Mama. Tu, kawan Acu tu, semua cakap Naaila kena panggil Mama Syu."

Zapp!

Apakah yang sedang berlaku? Arianna pandang wajah Naaila yang hanya menunduk.

Arianna menggosok perlahan kepala Naaila. "Ibu kan ada, tak perlu Naaila nak panggil orang lain mama," kemudian, wajah suci anak kecilnya kembali mendongak, matanya bercahaya seperti mendapat harapan baru. 'Apa agaknya yang diorang ni dah sumbat dalam kepala anak aku ni, sampai nampak sangat dia terganggu.' Arianna bermonolog sendiri, geram. 'Nampaknya mereka sedang mencari pengganti aku. Pengganti untuk status ibu kepada Naaila? Langkah mayat aku dulu! Tapi kalau setakat pengganti suri hati Zhafri aku tak kisah pon. Yeke kau tak kisah Arianna?' hati Arianna mendidih panas..Dan dia tak betah lagi duduk di situ. Dilihat mama dan babahnya, rancak berbual dengan keluarga Zhafri..Nampak mesra. Ya, mereka masih melayan keluarganya dengan mesra, hanya dia sahaja yang 'dipulaukan' sendiri. Macam halimunan dibuatnya. Zhafri? Mana Zhafri ni? Dia tahu, dia perlu mencari Zhafri sekarang. Lalu kaki diatur keluar rumah sambil memimpin tangan Naaila. "Jom kita cari Ayah, Sayang." Naaila mengangguk dan Arianna tersenyum.

Zhafri dilihat sedang memasukkan barang ke dalam keretanya. Nampaknya macam sedang bersiap untuk pulang.

"Ayah!" Naaila melepaskan tangannya dan berlari masuk ke dalam pelukan Zhafri. Dia kemudiannya berjalan ke arah Zhafri. Tepat dia berhenti di hadapan Zhafri, dan dengan suara yang masih dikawal, "We need to talk. Now," perlahan namun tegas. Zhafri yang masih terkejut cuba menghadam. Tak pernah berlaku Arianna ajak berbincang.

"Okay, ada apa Anna?," Zhafri mendukung Naaila lalu diletakkan anaknya di atas bonet keretanya yang baru ditutup.

"Somewhere else." Arianna yang masih membekukan riak wajah, membuat permohonan untuk berbincang di tempat lain. Serius gayanya. Tengok muka Arianna pun dia dah tahu bukan perkara yang baik. Mungkin Arianna mahu menjaga air muka keluarganya yang masih ada tetamu, risau mereka bergaduh di sini mungkin.

"Okay, come." Lalu dia menghidupkan enjin kereta. Sepanjang perjalanan mereka hanya melayan perasaan masing-masing cuma Naaila sahaja yang menyanyi kecil mengikut rentak lagu daripada corong radio. 10 minit kemudian mereka sampai di sebuah taman awam, untung sahaja tempat yang redup. Sekurangnya dapat menyejukkan hati Arianna. Naaila sudah berlari bermain gelongsor, buaian dan permainan lain yang ada. Setelah mengambil tempat berhadapan dengan tempat Naaila bermain, Arianna bersuara, "What the hell your family doing to my daughter? Siapa Mama Syu or whaterver tu? Kalau You dah tak boleh sangat tak ada bini, kahwin je lah! But don't You dare nak suruh anak I call someone else mama ke apa." suara Arianna keras. Zhafri dah agak ada sesuatu yang menyebabkan Arianna marah. Zhafri menarik nafas dalam sebelum memulakan bicaranya. "Watch your words, Arianna. Kalau family Abang suruh Abang kahwin pun, tapi Abang taknak, tak akan jadi jugak. I'm mature enough untuk tentukan jalan hidup Abang, bukan macam dulu, semuanya ikut aturan keluarga.." Arianna sedikit tersentak. Jodoh dia dan Zhafri dulu adalah aturan keluarga. "..so, I don't think benda macam ni boleh bawa kita sampai nak bergaduh kat sini," tenang Zhafri menuturkan kata. Dalam hati dia dapat rasakan Arianna rasa tergugat. Lalu tanpa sedar dia tersenyum sendiri.

"Fine, kalau macam tu. Anne anggap benda ni tak berulang. Please, minta keluarga Abang jaga emosi Naaila. She's still small. Dia tak faham pun. Keliru budak tu nanti. Tiba-tiba nak bermama bagai." suara Arianna mengendur..Tanpa sedar dia menukarkan panggilan ganti nama mereka. Zhafri hanya mengangguk seraya tersenyum lagi..kembang hatinya.. Dia, tidak mahu bergaduh dengan Arianna, tambahan pula di depan Naaila. Selagi dia boleh bersabar, dia akan bersabar asalkan Arianna tidak melampaui batas.

"Jomlah balik, Abang nak kena gerak awal ni, esok pagi ada operation," selepas beberapa ketika mereka masing-masing diam melayan pandangan indah permata hati di depan mata yang sungguh ceria berlari dan melompat, Zhafri akhirnya mengajak Arianna pulang dan Arianna hanya menurut sambil menggamit Naaila.

Perubahan emosi Arianna kadangkala membuatkan Zhafri risau. Sampai sekarang dia masih tidak dapat kenal Arianna yang baru. Doanya semoga hubungan tenang mereka akan kekal begini.

Syuhada? Dia pasti ada jodoh lain yang menanti Syuhada..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience