Bab 17: Permintaan Ummi

Romance Completed 32302

Berat rasa hatinya nak meninggalkan Arianna yang masih menjalani sesi kaunseling dan terapi untuk masalah trauma yang dihadapinya. Namun, mengenangkan mesej Zahra petang tadi, dia gagahkan juga diri untuk pulang ke Taiping. Meninggalkan Arianna ditemani keluarganya. Proses rawatan Arianna juga menunjukkan perkembangan positif, itu sahaja sudah melegakan hati Zhafri. Namun, perkara yang perlu dia selesaikan di kampungnya nanti baginya penambah masalah. Sesuatu yang ingin sahaja dia abaikan, namun mengenangkan ada hati tua yang dia perlu hormati, sebagai anak dia akur.

Perjalanan ke Taiping ditemani hujan renyai, seakan memahami rasa hatinya. Dia tahu dan sedar, sejak dia memberitahu masalah yang dihadapi Arianna, keluarganya seperti tidak boleh menerima. Lebih parah, mereka menganggap Arianna jahil agama sehingga sanggup cuba bunuh diri ketika di UK dulu. Dia tahu, bekas mertuanya terasa dengan apa yang berlaku, dia sekarang seolah ditelan mati emak, diluah mati bapa. Apa yang dia paling risaukan penerimaan Arianna tentang apa yang diperkatakan oleh umminya dan Zahra dihadapan mama Arianna.

FLASHBACK

"Akak datang ni, nak minta maaf dengan apa yang berlaku hari itu. Zahra ni kasihankan si Zhafri, dia nampak Arianna memang dah tutup hatinya untuk Zhafri, sebab tu dia nak jodohkan dengan kawan baiknya, Syuhada. Terus terang Akak pun berkenan, baik budaknya. Akak mohon, tolong pujuk Naaila, Zhafri memang taknak terima bila awal-awal lagi Naaila dah tolak mentah-mentah," Zhafri yang kebetulan melalui ruang tamu daripada luar rumah ingin ke dapur, terdengar perbualan antara umminya dan mama Arianna.

"Ummi, apa ni? Tadi Ummi cakap nak minta maaf dan melawat Naaila, sebab tu Zhaf setuju bawa Ummi dan Yaya. Kenapa nak pujuk Naaila untuk Zhaf terima Syuhada? Zhaf taknak, Ummi." Zhafri membela dirinya seperti anak kecil sambil mencari mata umminya.

Dia lihat mama Arianna hanya tertunduk, wajahnya pilu menahan air mata mungkin.

"Apa Abang nak harapkan lagi? Abang nak ke keturunan Abang ada mak yang gila?," sungguh lancang mulut Zahra , menyiat-nyiat hatinya, apatah lagi hati mama Arianna.

"Zahra!!!" tanpa sedar dia menengking kelancangan kata-kata Zahra. Untung sahaja lima jarinya tidak melekat di pipi gebu Zahra. Dilihat bekas ibu mertuanya sedang menyapu air mata, umminya pula hanya sekadar menunduk. Terus dia menyalami bekas ibu mertuanya dan memohon maaf di atas kata-kata Zahra, dan segera menarik tangan Zahra dan umminya beredar daripada rumah keluarga Arianna.

Sepanjang perjalanan menuju ke Taiping, dia hanya diam. Radio pun tak dibukanya..Sepi dan dingin sungguh suasana dalam kenderaannya.

Sesampainya di hadapan rumahnya, dia keluar daripada kereta, mencari kelibat abahnya dan bersalaman memohon maaf kerana tidak sempat singgah lalu terus mengatur langkah ke kereta yang enjin pun tidak dimatikan dan menyalami tangan umminya yang masih tercegat di luar rumah.

"Maaf, Ummi. Zhaf tak boleh terima kata hinaan Zahra tadi, dan Zhaf tak boleh maafkan dia. Zhaf mohon pada Ummi, tolong hormatkan perasaan Arianna, perasaan mama dan babah, perasaan anak Zhaf sekalipun Ummi taknak pedulikan perasaan Zhaf. Zhaf balik dulu," dia terus masuk ke perut kereta tanpa menunggu balasan kata-kata daripada Puan Hajjah Safiah. Sedih sungguh rasa hatinya sekarang.

Arianna jadi begitu disebabkan dia. Tidakkah ada sedikit belas ihsan umminya sebagai bekas ibu mertua yang dahulunya sangat menyayangi Arianna sehingga pernah memulaukannya sehingga tiga tahun kerana terlalu marah dengan tindakan dia, yang mudah sangat buat keputusan menerima permohonan perpisahan daripada Arianna. Lupakah umminya dengan apa yang berlaku dulu? Kini, bila Arianna sakit begini, mudahnya dia diminta meninggalkan Arianna..Sungguh dia kesal dengan tindakan umminya yang terlalu mengikut sangat kehendak Zahra, yang kononnya untuk kebahagiaannya. Tidak sedarkah mereka, kebahagiaan dia yang mereka sedang hancurkan sekarang? Mana mungkin dia mampu bahagia dengan orang lain apabila Arianna menderita? Dan dia..ya dialah penyebabnya bermulanya penderitaan Arianna..

"Ya Allah, Kau mudahkanlah..sakit yang ku rasakan ini akan sembuh..Kau tunjukkanlah jalan kebenaran untuk aku meneruskan perjalanan dalam mencari redhaMu, kerana aku yakin semua yang Kau hadiahkan ini ada hikmahnya, ada ganjaranMu yang menanti.. Aku yakin," mengalir air mata lelakinya mengharapkan semua ini berakhir dengan baik.

END FLASHBACK

---

"Ummi, semua ni tak betul, Ummi. Kenapa tak tanya Zhaf dulu, terus pergi hantar tanda macam tu? Dah tu Zhaf ke yang kena tanggung? Zhaf tak boleh tinggalkan Arianna, dengan keadaan dia yang macam tu" Zhafri meraup wajahnya kasar. Entah berapa kali keluhan dilepaskan sambil berjalan ke kiri dan ke kanan dengan tangan sebelah lagi di pinggangnya. Tak sangka umminya, Puan Hajjah Safiah bertindak sendiri tanpa meminta persetujuannya. Terdesak sangat ingin bermenantu. Kusut sangat dia rasakan. Yang Syuhada pun satu, dah bisu ke nak menolak? Dah terang-terang nampak dia setia pada Arianna je. Kalau dia nak kahwin dengan orang lain, masa Arianna 'hilang' dulu, dah selamat dah. Tak faham betul kenapa mudah sangat manusia-manusia ini nak atur hidup dia, nak buat kerja Tuhan?

"Zhaf, tolonglah terima je, Ummi merayu. Malu keluarga Syuhada nanti kalau tak jadi, kita dah bagi harapan," Puan Hajjah Safiah masih memujuk.

"Ya Allah, Ummi..masa Ummi nak pergi hantar tanda tu, Ummi tanya Zhaf dulu ke Ummi? Kan Zhaf dah cakap, Arianna sahaja Ummi, Arianna sahaja yang Zhaf nak. Ummi lupa ke, dia menantu pilihan Ummi? Tolonglah Ummi," Zhafri seakan merayu supaya Puan Hajjah Safiah memahami perasaannya.

"Itu sebelum dia gila..," belum habis ayatnya, tiba-tiba suara Tuan Haji Zuhdi memintas, "Ya Allah, Piah! Kenapa suka sangat cakap Arianna tu gila? Dia sakit! Sa..kit! Sekarang, awak sendiri dengan Zahra tu yang selesaikan masalah ini. Kalau dah Zhafri tak mahu, jangan dipaksa. Sampai bila awak nak aturkan hidup dia?!," Tinggi suara Tuan Haji Zuhdi dengan muka yang dah merah padam menahan marah. Zhafri sedikit lega apabila abahnya tidak menyokong tindakan terburu-buru umminya. Sekurang-kurangnya masih ada yang faham dan berada di belakangnya.

"Tolonglah Ummi, kali ini, biar Zhaf tentukan jalan hidup Zhaf. Zhaf tak boleh lepaskan Arianna lagi," Zhafri sudah melutut di hadapan umminya sambil memegang tangan wanita itu, mohon memahami apa rasa hatinya, apa yang dia mahukan.

Tangan Zhafri ditepis lembut, sambil menyeka air mata yang mengalir.."Kalau dah Zhaf lebih memilih Arianna daripada Ummi..tak mengapa lah," lalu Puan Hajjah Safiah bangun dan terus berlalu ke biliknya.

Zhafri terduduk lemah, berat sungguh dugaan yang dia rasakan. Ibunya sendiri tidak meredhai pilihannya. Di saat Arianna sendiri sudah mula membuka hatinya kembali untuk Zhafri, ada halangan lain pula dalam perjalanan mereka.

Abahnya yang berada berhampiran menggosok perlahan bahunya seraya berkata, "Esok Zhaf pujuklah Ummi, biarkan dia tenang dulu dan bincanglah dengan Syuhada. Selesaikan elok-elok," nasihat abahnya sedikit sebanyak dapat meredakan gelora di hatinya. Semoga ada sinar bahagia untuk dia dan Arianna.

---

"Maaf Zhafri, Saya berpegang pada janji. Malu keluarga Saya kalau tak jadi," Syuhada, sukar juga diuruskan..tidak seperti yang dia bayangkan. Hilang wajah manisnya yang selalu tersenyum dan butir bicara yang lembut. Macam dia jumpa orang lain sahaja.

"No, Syuhada. Saya tak boleh terima Awak. Saya ada anak dan Saya akan kembali dengan ibu kepada anak Saya. Sebelum ikatan antara kita ini lebih jauh, Saya nak kita berhenti di sini," Zhafri mahu berkompromi dengan Syuhada, supaya Syuhada faham tiada siapa dapat menggantikan tempat Arianna.

"Takkk!!!," tiba-tiba Syuhada menjerit sambil menutup kedua belah telinganya dengan tapak tangannya. Zhafri terperanjat. Sungguh berbeza perwatakan Syuhada yang dia jumpa apabila di depan keluarganya. Banyak mata menumpukan kepada mereka di dalam restoren itu. Dalam keadaan yang masih mahu menghadam transformasi Syuhada, dia terdengar suara Syuhada menyambung. Seperti ugutan. Keras walaupun perlahan. "..Saya akan buat Awak terima Saya dan bekas isteri dan anak awak akan hilang terus daripada pandangan mata Awak. Awak pegang kata-kata saya ni!" kemudiannya dia tersenyum sinis seraya bangun meninggalkan Zhafri yang masih terkejut. Psiko! Siapa yang gila sebenarnya ni Ummi?!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience