Bab 5

Family Series 8576

Pelik betullah. Mama asyik menangis sejak semalam. Makan tak selera, mandi tak basah, tidur tak lena. Tak tahulah kenapa. Asal sebut nama Ustaz Imran je, mesti mama berubah. Aku yakin ini bukan kebetulan. Aku nak tahu juga apa sebenarnya rahsia yang tersimpan di sebalik semua ini.

"Adik, minggu ni kau pulak kemas rumah. Minggu lepas kakak dah kemas dah." Tegur kak Zehra dari belakang sambil membawa sebatang mop dan sebuah baldi.

"Yelah, yelah." Jawabku lalu mengambil batang mop dan baldi yang dibawa oleh kak Zehra.

"Adik, kenapa mama asyik menangis sejak semalam? Adik ada buat apa-apa ke?" tanya kakakku kepadaku. Aku dah agak. Mesti kakakku akan tanya juga. Bagaimana aku hendak jawab jika soalan itu masih tertanya-tanya dalam fikiranku. Aku sendiri pun masih tertanya-tanya.

"Adik pun tak tahulah kak. Adik rasalah, semua ini ada kaitan dengan Ustaz Imran. Asal adik sebut nama Ustaz Imran je, mesti mama berubah." Aku menjelaskan perkara yang sebenar kepada kak Zehra.

"Siapa Ustaz Imran? Ustaz di sekolah adik ke? Ustaz baru ke? Tahun lepas tak ada pun." soal kak Zehra kepadaku. Betul juga, aku pun tak pernah beritahu tentang Ustaz Imran kepada kakakku, jadi sudah tentulah dia tidak tahu.

"Haah. Ustaz praktikal. Hensem. Kawan adik kata, dia tinggal satu pangsapuri dengan kita." jawabku.

"Ye ke? Ustaz yang jadi imam solat terawih masa bulan puasa tu ke? Nama dia Imran juga. Suara sedap, muka hensem... Siapa dapat dia, cun lah!" Ish, apa kakak ni. Takkan kakak suka jugak kot?

"Yelah kot." jawabku ringkas. Kakak ni pun satu. Takkan mahu berebut dengan kakak sendiri kot?

"Hmm, apa kaitannya dengan mama?" Soal kak Zehra dalam nada yang serius.

"Itulah yang peliknya. Kalau adik tahu, dah lama adik bagitahu. Adik rasa ada sesuatu yang tak kena. Rasa macam mama dengan Ustaz Imran tu dah kenal lama." Aku menjelaskan perkara yang berlaku dari awal hingga akhir. Dari tentang bertanya nama hinggalah ke hari ini.

"Ooo, kalau macam tu, adik pergi kemas dululah. Bye. Kakak nak pergi taman dulu. Nak jogging." kata kak Zehra sambil melambaikan tangannya kepadaku.

Bermulalah episod mengemas rumahku. Dari bilikku, bilik kak Zehra, hinggalah bilik mama dan papa. Setelah siap mengemas bilikku dan bilik kak Zehra, kini giliran bilik mama dan papa pula untuk dikemaskan.

Tok tok tok.

Aku mengetuk pintu bilik mama untuk meminta izin masuk. Memang mama dan papa ajar agar mengetuk pintu dahulu sebelum memasuki ke dalam bilik mereka sejak dariku kecil lagi. Bilik suami isteri kan, mestilah kena ada privasi. Kalau main terjah je masuk, nak pulak diorang tengah buat sesuatu, boleh istighfar memanjang si anak.

"Masuklah. Tak kunci." Suara mama kedengaran dari dalam. Aku memusing tombol pintu lalu melihat mama yang terduduk di birai katil. Mata mama masih sembap kerana terlalu banyak menangis.

"Mama, kenapa ni? Mama sakit ke? Kalau mama sakit jomlah kita pergi klinik." Tanyaku lembut.

"Tak ada apa-apalah. Adik nak kemas bilik ni ke? Kalau adik nak kemas, biar mama keluar dulu." kata mama sambil melihat alatan mencuci yang aku bawa.

Aku mengangguk. Mama keluar perlahan-lahan dari bilik ini. Aku, macam biasalah. Memulakan kerja pembersihan dengan menyapu, mengelap habuk. Kemudian, baru mengemop lantai dan menyemburkan pewangi.

Sedang aku mengelap habuk di meja sisi, aku terjumpa sebuah album lusuh. Mesti dah lama ni. Aku membelek satu per satu gambar yang ada di dalam album tersebut. Semuanya gambar-gambar lama dalam lingkungan tahun akhir-akhir 80-an hingga awal-awal 90-an. Ada gambar mamaku bersama seorang bayi lelaki dan seorang anak perempuan. Bayi lelaki itu mungkin usianya dalam beberapa bulan dan anak perempuan itu mungkin dalam 2 tahun. Yang pastinya bukan diriku. Tetapi wajahnya,... Seperti aku kenali. Tetapi di mana ye....

Aku melihat tarikh yang berada di sudut bawah gambar. Tahun....... Eh, aku pun belum lahir lagi. Bukan setakat aku, kak Zehra pun belum lahir lagi. Kalau ditolak dengan tahun hari ini, sudah 22 tahun.

Aku menyelak ke helaian seterusnya. Ada gambar kahwin mamaku dan seorang lelaki yang tak dikenali di atas pelamin. Ianya bukan papaku. Jadi, siapa pula lelaki ini? Tarikh gambar ini ditangkap pula lebih lama dari gambar sebelumnya. Mama dan papa pun belum berkawin lagi. Siapa sebenarnya lelaki ini? Kenapa pula mama berkahwin dengannya? Jangan-jangan, mama ini janda agaknya?... Aku terus menyelak ke helaian seterusnya.

Kali ini tiada gambar. Hanya ada sekeping kertas dan beberapa bait perkataan yang ditulis pada kertas itu.

'Haruskah aku membuka mulut dan memberitahu orang lain? Aku tak mahu nyawa Zureen dan Zehra menjadi taruhan hanya kerana aku membuka mulut dan memberitahu rahsia sebenar. Cukuplah sekadar seorang anakku yang terkorban disebabkan kau, Azizul. Tetapi dalam masa yang sama, aku masih sayangkan satu-satunya anak lelakiku meskipun dia anak daripada bekas suami yang telah ku benci itu. Ya Allah, bantulah hamba-Mu yang lemah ini... Aku sedang buntu....'

Satu persatu perkataan dibaca dan diteliti. Aku tak fahamlah. Kalau mama membuka mulut, nyawaku dan kakakku menjadi taruhan? Ada seorang anak mama yang terkorban? Siapa pula Azizul ni, bekas suami mamakah? Satu satunya anak lelaki? Maksudnya, mama ada anak lelaki? Yang gambar tadi tu ke gambar anak mama? Apa semua ni? Tak sangka mama ada menyimpan rahsia besar disebalik kehidupan yang bahagia ini. Lagi satu, apa pula kaitannya dengan Ustaz Imran? Berjuta-juta persoalan bermain di benakku. Tidak ku sangka, 17 tahun aku hidup baru ku dapat tahu apa rahsia yang mama simpan. Benar sekali sangkaanku, ada sesuatu di sebalik semua ini. Tetapi kandungannya langsung tidak ku sangka.

Setelah siap mengemas, aku memasukkan album lusuh itu ke dalam kotak vakum yang ku bawa. Aku mahu curi album ini untuk diteliti dengan lebih lanjut. Harap mama tidak perasan lah.

Aku keluar dari bilik mama seperti tiada apa yang berlaku. Namun di hatiku semakin curiga dengan mama. Hendak saja aku tanya mama apa semua ini. Tetapi aku batalkan saja niatku kerana mood mama masih tidak baik.

Bilikku.

Aku menangkap gambar pertama yang aku temui iaitu gambar mamaku dengan seorang bayi dan anak perempuan lalu dihantar ke grup Whatsapp 'Tiga Sahabat Sejati'.

ME : Assalamualaikum Dilla, Aulia. Ni gambar yang aku jumpa masa kemas bilik mama aku. Ni mama aku masa muda. Aku rasa macam kenal lah bayi ni.

Tidak sampai lima minit, mesejku dibalas.

DILLA : Ni ke mama kau masa muda? Serius lah? Aku macam pernah nampak tapi tak ingat kat mana. Budak ni pun aku macam pernah nampak. Macam kakak Syifa.

Kakak Syifa? Siapa kakak Syifa ni sebenarnya....

( replying to Dilla )
AULIA : Aulia pun. Rasa macam pernah nampak lah mama kau masa muda ni.

( replying to Dilla )
ME : Siapa kakak Syifa tu?

DILLA : Aku dah tak ingatlah. Aku rasa je. Takkan dia kot. Mungkin pelanduk dua serupa agaknya.

ME : Ni pulak satu lagi gambar. Gambar kahwin mama aku dengan lelaki ni. Tak tahu siapa. Masa ni kita pun belum lahir lagi.

DILLA : Biar betul Zureen? Nilah bapak kakak Syifa. Serius la? Mama kau pernah kahwin lain dulu?

Aku terkejut dengan mesej Dilla. Dah kenapa? Pelik betul dengan Dilla ini. Aku sendiri pun tak tahu apa-apa macam mana dia boleh tahu pula?

( replying to Dilla )
ME : Kalau ni kakak Syifa, baby ni pula siapa?

DILLA : Tak ingatlah. Aku pun tak pasti kak Syifa ni ada adik. Yang aku tahu kak Syifa ni dah tak ada. Meninggal masa umur 12 tahun. Dialah yang selalu jaga Dilla masa Dilla kecil.

Aku terkejut membaca mesej Dilla. Sudah meninggal dunia? Sama macam apa yang mama tulis dalam album itu. Tetapi, bagaimana Dilla lebih tahu segalanya dariku sedangkan aku anaknya sendiri pun langsung tak tahu apa-apa.

ME : Dah tak ada? Ni adik dia lah ni?

Tidak salah lagi. Ini memang adik beradik seibuku. Kalau kak Syifa ni dah tiada, mesti adik dia ni hidup lagi kan. Masalahnya, siapa sebenarnya adik dia ni? Satu petanda pun tak muncul lagi.

Nak tak nak, aku perlu tanya mama sendiri untuk mendapat kepastian. Aku sendiri pun tak pasti kak Zehra tahu atau tidak tentang semua ini. Yang pastinya, aku akan simpan dahulu rahsia ini daripada pengetahuan kak Zehra.

*

"Aulia, Zureen. Korang perasan tak Ustaz Imran tu selalu pandang-pandang kita lah." kata Dilla kepadaku dan Aulia. Aku pun pelik juga. Sejak daripada tanya nama haritulah semua benda pelik ini terjadi.

Sekarang, aku ada dua masalah besar. Masalah mama yang selalu menangis bila sebut nama Ustaz Imran, masalah misteri keluarga lagi. Ah... Takkan nak tambah lagi satu masalah?

"Entah-entah dia tengah usha calon isteri kot.." kata Aulia sambil ketawa nakal. Masih lagi sempat bergurau ketika ini. Biarlah. Mungkin mereka masih bebas bergelak ketawa. Tetapi aku, masih runsing memikirkan misteri yang masih belum terungkai ini.

"Kalau ye pun, takkan nak ngap tiga sekali. Nanti jadi madu tiga lah kita..." Kata Dilla dalam nada bergurau. Aduhai. Dilla, Dilla. Tak boleh kalau sehari tak ada celotehnya.

"Hish, tak mau lah bermadu. Jealous sesama sendiri nanti." kataku pula.

"Tahulah kau tu kuat cemburu. Jangan makan hati okey. Aku harap cinta kau tercapai lah." Dilla mengenyitkan matanya kepadaku. Aku tahu itu satu gurauan tetapi kata-kata tu doa kan.

Aku mengakui, aku telah jatuh hati pada ustaz itu!

Puas hati? Puas sangat. Kalau mengaku kan senang. Tak perlu nak berselindung di sebalik batu lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience