Bab 10

Family Series 8576

Waktu kokurikulum. Macam biasalah. Aku sedang menunggu kehadiran si ustaz kesayanganku. Hari ini, pakai baju apa pula ya... Tak sabar hendak menunggu.

"Zureen. Termenung jauh ke?" Sapa Dilla yang baru sahaja pulang dari kantin membeli makanan untuk kami bertiga.

"Eh, tak lah... Jomlah makan dulu. Ada lagi 15 minit je ni... Harap sempatlah." jawabku lalu menyuapkan roti bakar ke dalam mulutku.

10 minit kemudian...

Kami semua telah siap makan lalu berjalan menuju ke dewan sekolah. Ramai pelajar sudah mula berkumpul dan ada juga yang rajin menghabiskan masa yang berbaki lima minit ini dengan menelaah pelajaran.

"Ha, tu dia future husband hang dah mai...." bisik Aulia ke telingaku. Future husband? Apa-apa jelah. Okey lah tu kot...

"Diamlah. Nanti bocor rahsia lah." balasku semula. Tahulah berbisik, tetapi orang di sebelah boleh dengar juga. Sudahlah duduk rapat-rapat pula tu.

"S-O-R-R-Y..." Itu sahaja yang si Aulia ni tahu. Sorry, sorry, sorry... Sorry naik lori!

"Nasib baik kita dapat duduk depan tau. Kalau jauh, nanti lagi tak nampak." Giliran Dilla pula bersuara. Hish, budak berdua ni memang tak ada kerja. Mahu menyakat aku saja.

Aku memerhati seluruh badan Ustaz Imran. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Eh silap, hujung kasut. Kaki mana nampak.

Okey, almost perfect. Tiada apa yang pelik. Dah lah tu Zureen, tak pasal-pasal berdosa tau!

Tiba-tiba, aku terlihat sesuatu benda di jari manis Ustaz Imran.

"Ya Allah, serius lah?...." Aku terkedu. Tidak tahu hendak cakap apa. Hanya Allah yang tahu perasaanku sekarang. Mengapa? Mengapa semua ini terjadi? Aku tak pernah sangka pun selama ini....

*

"Minggu ni kita balik kampung lagi ke abah?" tanya Imran kepada ayahnya Ramli.

"Iyelah. Mesti kamu tu suka sangat kan. Tahulah kamu tu dilamun cinta.... Nak jumpa si Jannah yang bakal jadi isteri kamu tiga bulan lagi...."jawab Ramli. Seronoknya tengok anak nak kahwin, rasa macam mahu kahwin lagi. Tetapi siapalah yang mahu terima si duda anak empat yang satu anaknya masih hidup, satu anaknya sudah meninggal dunia dan lagi dua, masih belum dikenalpasti lokasinya hingga hari ini. Kalau ada pun, mesti yang dah tua seperti dirinya. Mana ada anak dara yang sanggup berkahwin dengan lelaki tua. Lumrah manusia, suka mencintai dan dicintai. Lagi-lagi apabila kasih itu sudah lama pergi.

Imran membalas dengan senyuman manis. Di dalam hatinya hanya teringat Jannah. Jannah, I will love you forever... Itulah kata dan janji hatinya. Berjanji dengan sepenuh hati akan menjaga, menyayangi dan mengasihi bakal isterinya.

Tok tok tok.

Bunyi pintu diketuk. Imran segera membuka pintu rumah itu. Entah siapa pula yang datang tiba-tiba pula ni....

"Ni Encik Imran ke?" tanya lelaki yang berada di hadapannya. Oh, penghantar barang rupanya. Kejap, sejak bila dia ada pesan barang?

"Ye saya...." jawab Imran. Apa benda pula ni? Besar semacam kotaknya. Tetapi tidaklah besar sangat. "Betul ke ni barang untuk saya? Saya tak ada pesan apa-apa pun." tanya Imran lagi. Pelik bin hairan sungguh.

"Ni barang untuk encik.. Saya tukang hantar je. Mungkin hadiah dari orang lain kot.." Posmen itu menghulurkan kotak itu kepada Imran. Memang benar, tertulis namanya pada bahagian atas kotak itu. Tetapi, kalau hadiah pun, daripada siapa?

Mahu tidak mahu, Imran terpaksa mengambil kotak tersebut. Posmen itu terus berlalu pergi. Imran terus masuk ke rumahnya. Betul ke ni hadiah? Rasa bersalah hendak buka.

"Siapa orang tadi tu? Kotak apa pula tu?" soal Ramli apabila melihat anaknya sedang mengangkat kotak yang sederhana besar itu.

"Posmen. Ada barang untuk Im. Im tak pesan apa-apa pun, dia yang hantar. Tapi nama Im lah." jawab Imran.

"Kalau macam tu, bukalah. Lihat isinya. Mana tahu hadiah tak?"

"Okey..." balas Imran lalu mengambil pisau lipat yang berada di dalam laci. Dipotong satu persatu pita pelekat yang melekatkan kotak tersebut.

"Apa isinya?" soal Ramli lagi.

"Kad... Kahwin?...." Imran menggelengkan kepalanya. Jannah, Jannah. Kan hari itu sudah pesan, letak alamat kampung. Kan senang. Inipun nasib baiklah minggu ini hendak balik kampung. Kalau tidak, entah bila dapat diedarkan.

"La, kad kahwin rupanya... Ingatkan apa... Tengoklah. Ada salah ke tidak."

"Kalau salah pun, bukannya boleh betulkan. Beratus-ratus dah cetak ni." balas Imran. Satu persatu ditelitinya tukisan dan corak bunga-bungaan pada muka kad jemputan tersebut. Semuanya atas pilihan Jannah. Tak dinafikan, memang cantik belaka dengan rekaan minimalis bercorak beberapa kumtum bunga lili serta daun-daun hijau yang menghiasi. Cantik! Pandai Jannah pilih.

"Hmm, Im simpanlah sikit kad kahwin tu. Bukan semua kita nak jemput orang kampung. Jemputlah kawan Im ke, ataupun siapa-siapa jelah. Yang paling penting, kena jemput mama." ujar Ramli.

"Mama?..." Kata-kata Imran terhenti di situ. Mahu jumpa anaknya sendiri pun susah apatah lagi ibunya. Entahlah. Bukan tak pernah mencuba, tetapi mungkin sudah ditakdirkan belum masanya lagi. "Insha-Allah..." Itu sahaja yang mampu dikatakan oleh Imran.

Ramli membisu. Tidak tahu hendak jawab apa. Khairiah, Khairiah.. Mengapa kau tidak mahu jumpa anakmu sendiri....

"Im cuba...." ujar Imran. Kali ini dia bertekad. Tiada alasan lagi. Walau apa halangan yang berlaku sekalipun, dia mesti tempuhinya. Tiada siapa yang boleh memisahkan kasih seorang ibu dan anak kecuali Allah.

"Tak apa. Ada masa dua bulan lagi. Edarkan sebulan sebelum majlis. Jangan terlalu awal dan jangan terlalu lambat." pesan Ramli. Di hatinya tidak henti-henti berdoa agar percubaan kali ini berjaya. Tak tahulah yang ke berapa. Tetapi rasanya mungkin sudah lebih daripada 20 kali.

*

Aku mencapai telefon bimbitku. Hari ini aku tiada semangat untuk membuat apa-apa. Hatiku kecewa. Langsung tidak ku jangka akan berlaku semua ini. Ingin saja aku menjerit 'ini semua tak mungkin terjadi!!!!!'

Entahlah. Aku tak pasti sama ada benar atau tidak apa yang aku lihat semalam. Rasa seperti mimpi. Tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Semalam juga telah menjadi hari terakhir aku menyukai si dia atau Ustaz Imran. Benar sekali sangkaanku pada awalnya. Memang dah berbini pun! Tak pun, tunang agaknya.

Aku juga pernah berpesan pada diriku agar jangan sesekali letak harapan, nanti aku juga yang kecewa. Mungkin pada masa itu aku tak percaya 'kecewa' itu. Tetapi pada hari ini, terbukti segalanya. Dia sudah berpunya!

Adakah cinta yang ditakdirkan buatku hanya bertahan tiga bulan sahaja? Adakah itu takdir buatku? Entahlah. Sejak dua menjak ini aku selalu termenung sendiri. Cinta memang tak pernah mengira umur mahupun taraf seseorang, tetapi....

Tetapi....

Tetapi entahlah. Cinta itu menyakitkan. Cinta itu racun yang membunuh. Semua yang buruk tentang cinta.

Aku tak mampu bertahan lagi. Air mataku menitis. Hanya Allah yang boleh menjadi penenangku......

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience