Bab 22

Romance Series 41999

PAGI minggu yang tenang. Matahari terbit sudah segalah tingginya. Harzan yang selesai memakan roti sebagai sarapannya tidak berlengah untuk menunaikan solat sunat duha dua rakaat, sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Tuhannya. Ketika itu, Ayra pula baru mencelikkan mata dari peraduannya. Walaupun sudah mendapat tidur yang cukup, namun kelopak mata Ayra masih dirasakan berat. Wanita itu langsung menggenyeh matanya beberapa kali untuk membuang rasa berat tersebut.

Seketika kemudian, Ayra membangkitkan badannya dari pembaringan. Kakinya masih terlunjur lurus di atas katil. Kepalanya dirasakan berat dan sedikit pening. Tidak menunggu lama, Ayra menjatuhkan kedua belah kakinya dari katil dan mula menginjak lantai. Perlahan-lahan punggungnya diangkat dari tilam empuk yang menjadi alas badannya untuk tidur. Langkahnya sedikit terhuyung-hayang ketika berjalan menuju ke tandas.

Setelah selesai menunaikan hajatnya ditandas dan mencuci muka, Ayra mula merasai sedikit kesegaran. Dia kemudiannya langsung keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Sampai di ruang dapur, Ayra segera mengambil air susu di dalam peti sejuk dan melabuhkan punggungnya di kerusi pada meja makan. Air susu dari kotak dituang pula ke dalam gelas sebelum diminumnya. Dia juga mencapai bungkusan roti dan segera mendapatkan makanan tersebut untuk melapik perutnya di pagi itu.

Sedang Ayra mengunyah roti, Harzan yang baru selesai melaksanakan solat sunatnya mula muncul dan menghampiri isterinya.

"Roti tu je yang ada untuk sarapan pagi ni.. makan je la dulu buat lapik perut. Nanti saya keluar belikan makanan untuk makan tengah hari." Harzan mula menyapa. Ayra pula hanya mendiamkan diri. Wanita itu langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas dari kata-kata suaminya sebentar tadi.

"Ke awak nak kita makan kat luar je sama-sama?" Harzan bertanya. Dia masih memakukan pandangannya kepada Ayra yang langsung tidak memandang ke arahnya. Wanita itu membuat lagak seolah Harzan tidak wujud di depannya. Dia tetap meneruskan kunyahan roti di dalam mulut sambil menatap dinding. Langsung tiada jawapan ke atas pertanyaan yang dilontarkan oleh suaminya.

"Ayra.. saya bercakap dengan awak ni.. ada apa yang tak kena? saya ada buat salah ke?" Harzan bertanya lagi. Lelaki itu mula berkecil hati dengan tindakan Ayra yang cuba mengabaikan kewujudannya di situ. Ayra kemudian segera berpaling dan menyorotkan pandangan matanya kepada Harzan. Wanita itu kemudian mendengus kencang. Harzan semakin kebingungan.

"Awak tak perlu pedulikan hal saya.. kenapa nak ambil tahu pasal saya kalau awak sendiri tak pernah nak bagitahu pasal diri awak?" Ayra mula bersuara. Mendengar ucapan isterinya, Harzan tertegun. Riak wajahnya segera berubah.

"Pa..pasal..pasal saya? apa.. maksud awak?" Harzan tergagap ketika bertanya kembali. Dia masih tertanya-tanya akan maksud ucapan Ayra kepadanya.

"Apa maksud saya? Pernah tak awak ceritakan pasal diri awak kat saya? pernah tak awak bagitau urusan kerja awak kat saya? Apa masalah yang awak terima pun saya tak pernah tahu.. Segala urusan kerja kat pejabat setiap hari pun awak tak pernah nak bagitahu.. tapi setiap hari awak duk tanya pasal saya.. masalah kerja saya.. makan minum saya.. semuanya pasal saya.." Ayra mula meninggikan suara. Harzan pula terbungkam sambil menjatuhkan pandangannya.

"Apa yang terjadi kat pejabat, tak sekali pun awak ceritakan kat saya.. si Rafiq tu kena tangkap, kena gantung kerja pun awak diamkan..itu takpelah.. tapi  awak jadi pengurus projek pun, awak langsung taknak bagitau kat saya.. apa masalah awak sebenarnya?" Ayra meneruskan bebelannya.

"Dah awak tak pernah tanya.. lagipun urusan kat pejabat, biarlah habis kat sana.. saya taknak bawa urusan kerja sampai ke rumah.." Harzan menjawab dengan pandangan matanya masih menatap lantai.

"Habis tu urusan kerja saya, boleh pulak awak ambil tahu, setiap hari duk tanya.. ke awak memang taknak bagitahu saya, gaji awak dah naik, takut saya ambil? takut habis harta? ke sebab takut tak boleh cari perempuan lain? Ye la kan.. dah ada duit lebih, boleh la joli sana sini.. cari betina kiri kanan.. enjoy sakan.." Ayra tanpa sedar telah mengungkapkan rasa cemburu buta tanpa alasan.

"Ya Allah, jauh benar awak pergi.. tak baik awak berprasangka macam tu.." Harzan semakin rimas. Kepalanya yang tidak gatal digaru berkali-kali.

"Ya, kalau yang tak baik tu saya la.. awak semua bagus. calon ahli syurga kan.. solat pun tak pernah tinggal.. saya ni ahli neraka.. dengan suami pun tak reti hormat.. jadi isteri derhaka.. kan?" Ayra semakin beremosi. Akalnya sudah tersudut ke tepi. Dia hanya ingin terus berkata-kata. Ingin meluahkan semua yang dia rasa. Harzan pula semakin tercengang. Lelaki itu benar-benar tergamam. Selama ini Ayra tidak pernah mengeluarkan ucapan sebegitu. Dia mula risau. Apakah hal yang telah membuatkan emosi Ayra menjadi tidak menentu sebegitu. Harzan bingung.

"Astagfirullah.. Ayra, saya tak pernah pun berfikir macam tu." Harzan cuba membela diri dari kesalahan yang dia sendiri tidak tahu puncanya.

"Hah, lelaki semuanya sama!" Ayra bangkit berdiri dari kerusi. Dia menatap tajam ke arah suaminya.

"Harzan, ingat! kita dah jadi suami isteri. Tak boleh ke kalau awak tak berahsia dari saya? Kalau awak rasa saya ni membebankan hidup awak, awak boleh lepaskan saya.. kita bercerai je.. saya pun tak perlu sakit kepala." Ayra kemudian berjalan untuk beredar dari dapur. Dia menolak Harzan dengan kasar sekali untuk memberikan laluan kepadanya. Harzan pula terus terdiam. Membiarkan sahaja perlakuan kasar si isteri terhadap dirinya. Lelaki itu hanya menundukkan kepalanya, menyimpan rasa kesal di dalam dada.

Baru sahaja Ayra melepasi Harzan, langkah kaki wanita itu terhenti. Ayra meraba dan menahan tangannya pada dinding. Kepalanya terasa pening dengan tiba-tiba. Harzan yang melihat keadaan tersebut mula merasa keanehan. Namun lelaki tersebut masih kaku dan mendiamkan dirinya.

"Harzan.. tolong.." Ayra bersuara perlahan. Secara tiba-tiba wanita itu mulai rebah. Dia sudah tidak mampu untuk terus berdiri. Pandangannya mulai kabur dan kepalanya terasa ligat berpusing.

"Ayra!" Harzan segera menerpa. Mujur sahaja Harzan bertindak pantas dan berjaya menyambut isterinya itu dari terhantuk kepalanya ke lantai. Harzan yang sudah terduduk di lantai, meletakkan kepala Ayra di pahanya.

"Ayra.. kenapa ni?" Harzan mulai risau.

"Tolong.. saya pening.." Ayra berkata sambil matanya terpejam rapat. Dia tidak mampu untuk terus mencelikkan mata kerana pemandangan dunia terasa sedang berputar-putar. Harzan pula mati akal. Dia tidak tahu harus bertindak bagaimana. Lelaki itu kemudian hanya memicit kepala isterinya seketika. Tangannya kemudian membelai dan menggosok lembut kepala Ayra.

Ayra pula merasa semakin selesa diperlakukan sebegitu. Emosinya yang tadi membuak-buak sudah luput sama sekali. Dirinya terasa semakin nyaman. Peningnya juga semakin hilang. Perlahan-lahan Ayra mula mencelikkan matanya kembali. Wajah Harzan memenuhi pandangan. Ayra yang terbaring berbantalkan paha suaminya itu menjadi kaku. Pandangan mata Harzan yang sayu dan penuh kelembutan memandang ke arahnya membuatkan ego Ayra tewas. Dia dapat merasakan kasih sayang dari sentuhan jari jemari Harzan di kepalanya. Mata Ayra mula berkaca dan pandangannya kembali kabur. Tapi kaburnya kali ini adalah kerana genangan air mata yang memenuhi bendungannya. Tubuh Ayra mula turun naik menahan sedu sedan. Wanita itu kemudian berpaling dan merapatkan mukanya ke perut sang suami.

Kini Ayra sepertinya kembali bertenaga. Dia menggerakkan tangan dan tubuhnya, seraya merangkul badan Harzan ke pelukannya. Harzan kembali tergamam. Emosi dan tingkah laku Ayra berubah mendadak dalam sekelip mata. Jika tadi lagaknya seakan singa, namun sekarang berubah serta merta menjadi seperti anak kecil yang manja.

"Maaf.. maafkan saya.. tadi.. saya tak bermaksud untuk menjadi derhaka.." Tangisan Ayra semakin kencang. Harzan pula membalas pelukan isterinya sambil membelai lembut kepala wanita tersebut.

"Sudahlah Ayra.. saya tahu awak tak maksudkan apa yang awak katakan tadi.. semua ini salah saya juga." Harzan cuba memujuk agar Ayra tidak terus merasa bersalah.

"Ini.. mesti balasan Allah kepada saya.. saya berdosa.. sebab dah jadi isteri derhaka. Maafkan saya.." Ayra bersungguh-sungguh meminta kemaafan daripada suaminya.

"Saya tak pernah anggap awak macam tu.. kalau awak ada buat salah pun, saya dah maafkan." Harzan masih memujuk untuk menenangkan Ayra. Tangannya tidak berhenti dari mengusap kepala sang isteri.

"Ukk..uukk..uuweekk.." Ayra meluahkan muntah. Harzan kembali cemas.

"Ayra.. awak keracunan ke? Ada salah makan apa-apa?" Harzan semakin bingung. Tanpa terus menunggu lama, Harzan segera bangkit berdiri dan mendukung Ayra. Tangannya digagahkan untuk menampung Ayra yang berada di dalam pangkuan. Perlahan-lahan Harzan menapak sambil mendukung isterinya. Ayra diletakkan di sofa pada ruang tamu. Harzan kemudian bergegas mengambil kunci kereta milik Ayra dan segera keluar untuk menghidupkan enjin kereta tersebut. Seketika kemudian, lelaki itu kembali mendapatkan isterinya. Sekali lagi Ayra didukung dan dibawa menuju ke kereta.

"Kita.. nak kemana?" Ayra yang merasa lemah seluruh badannya bertanya.

"Ke mana lagi.. bawa awak ke klinik la.. ni mesti keracunan makanan." Harzan yang berwajah cemas menjawab. Setelah menempatkan Ayra ke dalam kereta, Harzan segera mengunci pintu rumah. Setelah itu, dia memandu kereta milik isterinya itu menuju ke arah klinik berdekatan.

SETELAH membuat pemeriksaan kesihatan, Harzan dan Ayra menunggu laporan keputusan dengan tenang. Sesekali, Harzan memicit kepala Ayra apabila isterinya itu mengadu masih merasa sedikit pening. Tidak lama kemudian, seorang doktor wanita datang sambil membawa helaian kertas yang berupa laporan kesihatan.

"Tak ada apa yang perlu dirisaukan.. Puan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan..puan cuma alahan." Doktor perempuan itu tersenyum selepas melihat laporan kesihatan milik Ayra.

"Alahan?" Harzan bertanya dengan penuh penasaran.

"oh ya, saya terlupa untuk ucapkan.. tahniah, isteri encik dah mengandung. Jadi selepas ni, tolong jaga kesihatan betul-betul.. jangan buat kerja berat, jangan selalu stress.. takut nanti memberi kesan kepada janin." Doktor tersebut tidak lekang dengan senyuman manisnya. Wajahnya berseri-seri tatkala memberi khabar mengejutkan itu kepada pasangan suami isteri di depannya. Harzan dan Ayra pula tercengang.

"Me..mengandung?" Ayra sangat terkejut dengan berita yang dia dengar. Doktor di depannya itu hanya menganggukkan kepala kepada pertanyaan yang ditujukan. Harzan yang terlopong seketika kini perlahan-lahan mengukirkan senyuman.

"OK, setakat ini saja saya dapat bantu.. lain kali kalau ada apa-apa masalah, encik dan isteri boleh datang merujuk kembali ke sini.." Doktor wanita itu menganggukkan perlahan kepalanya.

"Baiklah doktor.. terima kasih untuk kali ini.. kalau ada apa-apa, lain kali saya datang lagi." Harzan bangkit berdiri. Dia dengan pantas memapah lengan Ayra untuk membantu isterinya itu bangun dari kerusi.

"Boleh jalan tak? ke nak saya dukung lagi?" Harzan bertanya.

"Ishh.. jangan buat malu depan orang boleh tak..?" Ayra menepuk lengan Harzan lantas mencubit pula pinggang suaminya itu. Si doktor wanita itu pula hanya menggelengkan kepala sambil mengukir senyum melihat telatah pasangan suami isteri di hadapannya. Harzan kemudian menuntut tangan isterinya dan mereka segera keluar dari bilik doktor tersebut.

"Huh.. macam mana boleh mengandung pula.." Ayra seakan mengeluh sambil berjalan beriringan dengan Harzan. Harzan pula segera memandang ke arah Ayra.

"Kenapa pula?" Harzan ingin tahu. Dia mula rasa tidak selesa dengan ucapan Ayra sebentar tadi.

"Hmm.. ishh.. kita.. kitakan mana pernah tidur bersama.. cuma.. baru dua kali kita.." Ayra mematikan kata-katanya disitu. Walaupun ayatnya tidak dihabiskan, Harzan sudah memahami maksud yang ingin disampaikan oleh isterinya itu.

"Jangankan dua kali.. kalau sekali pun, Allah nak bagi rezeki, tetap akan lekat.. tak perlu pelik.. yang peliknya kalau tak pernah sama sekali.. tiba-tiba mengandung.. hal macam tu, hanya Maryam, ibu nabi Isa seorang je yang alami.." Harzan segera memberikan hujahnya. Ayra terdiam. Harzan terlihat riang sekali dengan berita yang baru dia terima daripada doktor sebentar tadi. Namun Ayra pula hanya membungkam diri. Fikirannya seolah jauh melayang. Sepertinya ada sesuatu yang sedang sarat bermain di mindanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience