Bab 12

Romance Series 41999

Suasana di dalam sebuah restoran kelihatan agak lengang dari pengunjung. Cuma beberapa orang pelanggan yang berada di sana sambil menikmati makanan mereka. Di salah satu meja, kelihatan Fiza sedang duduk sendirian. Fiza melihat jam di tangannya. Sebuah hembusan nafas berat dilepaskan. Gadis itu kemudian mencapai gelas air di atas meja dan menghirup air teh o ais limau yang baru dihidangkan kepadanya sebentar tadi.

Tidak lama kemudian, seorang pelayan di restoran menghampiri Fiza sambil membawa pinggan yang terisi nasi goreng. Pinggan itu diletakkan di meja Fiza sambil pelayan tersebut melemparkan sebuah senyuman sebelum segera berlalu pergi. Fiza yang sudah kelaparan tidak menunggu lama, lantas memegang sudu dan garpu yang sudah tersedia bersama nasi di dalam pinggan.

"Ish.. mana la perempuan ni.. lambat betul." Fiza meluahkan omelan sebelum menyuap nasi goreng yang dipesannya ke dalam mulut. Dia awalnya sudah berjanji untuk bertemu dengan Ayra di sana. Namun sampai sekarang temannya itu masih belum muncul. Oleh kerana tidak mampu menahan perutnya yang sedang berkeroncong, Fiza terpaksa makan terlebih dahulu dari terus menunggu Ayra.

Sambil mengunyah makanan di dalam mulutnya, mata Fiza sesekali menjeling ke arah pintu masuk restoran. Dia masih menantikan kedatangan Ayra. Sejak Ayra berkahwin, Fiza sama sekali masih belum bertemu sahabatnya itu. Sebelum ini,  dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan oleh Ayra, bahawa sahabatnya itu akan berkahwin. Malah paling tidak disangka, lelaki yang menjadi suami Ayra itu adalah Harzan, pekerja am di pejabat mereka. Lelaki bergaji rendah yang pernah di perlekehkan oleh Ayra. Begitulah rahsia jodoh. Tiada sesiapa yang mampu menyangka. Orang yang dianggap jelik dan tidak mungkin akan bersama, namun akhirnya orang yang sering dihina itulah yang akan menjadi jodohnya.

Sedang leka memikirkan nasib Ayra, tiba-tiba Fiza dikejutkan dengan kehadiran seorang perempuan di hadapannya. Perempuan yang berbaju kurung merah dan bertudung itu tanpa berlengah menarik kerusi di hadapan Fiza dan duduk semeja dengannya. Fiza menghentikan kunyahan mulutnya dan menatap perempuan yang mendekatinya itu.

"Dah lama ke kau tunggu? Maaf la lambat sikit.. jalan jammed." Perempuan bertudung itu menyapa Fiza. Fiza terbeliak matanya. Mulutnya mula terlopong apabila menyedari identiti perempuan tersebut.

"Ay..Ayra? kau..." Fiza tergamam. Dia terkejut dengan penampilan sahabat yang duduk di hadapannya.

"Kenapa? Kau macam tak pernah tengok aku je.." Ayra mengerutkan dahinya. Terasa aneh dengan perubahan riak wajah Fiza apabila memandangnya.

"Kau.. sejak bila kau pakai tudung ni? Tak pernah pernah aku tengok kau pakai macam ni.." Fiza meluahkan rasa janggalnya ketika melihat Ayra.

"Hmm.. salah ke?" Ni semua laki aku punya pasal la.. duk suruh aku pakai tudung, tutup aurat kalau nak keluar rumah.. kononnya dah jadi tanggung jawab dia untuk tegur aku." Ayra menyatakan punca kepada perubahan penampilannya sekarang.

"Eh, mana ada salah.. elok la kalau macam ni.. dah betul la kata suami kau tu.. lagipun aku tengok kau makin cantik la pakai macam ni." Fiza cuba memuji sahabatnya itu.

"Ye la tu.. kau pun saja nak main angin aku je kan? saja nak bagi aku senang hati.."

"Ish, kau ni.. aku cakap benda betul la.. kau memang makin cantik dengan pakaian dan tudung macam ni.. pandai Harzan didik kau.. baru berapa hari kahwin, dia dah mampu ubah penampilan kau." Fiza cuba meyakinkan Ayra mengenai pujiannya itu. Dia benar-benar ikhlas memuji Ayra. Pada masa yang sama, Fiza turut kagum dengan kemampuan Harzan yang mampu mendidik Ayra. Entah bagaimana pekerja am berjawatan rendah itu mampu membuatkan Ayra yang keras kepala menjadi penurut dan mendengar kata. Sementara itu, Ayra turut senang hati mendengar ucapan Fiza. Kini dia tidak ragu-ragu lagi untuk berpenampilan sebagai perempuan bertudung sepertimana kehendak suaminya. Ayra mula berubah pandangannya. Selama ini dia berpendapat, perempuan yang berpenampilan menarik haruslah membiarkan rambutnya terlepas bebas. Rambut yang sihat dan menarik adalah mahkota kecantikan bagi seorang perempuan untuk tampil dengan lebih yakin di khalayak umum. Itu juga adalah salah satu senjata untuk menawan dan memikat perhatian para lelaki.

"So, macam mana kehidupan kau sejak berumah tangga ni? Fiza ingin tahu.

"Hmm.. macam ni je la.. simpanan aku pun dah susut. dah la takde kerja sekarang ni.. duk harap dengan Harzan tu je la.. gaji dia banyak mana la sangat.. "

"Tak boleh nak clubbing la kau sekarang?"

"Aku kena berjimat cermat la sekarang.. lagipun kau ingat Harzan nak bagi ke aku keluar malam-malam pergi clubbing? Dia tu dah macam ustaz kau tahu.. siang malam duk bagi tazkirah, ceramah siang malam. Naik pening aku dengar.." Ayra meluahkan perasaan.

"Bagus la kalau kau dapat suami yang dapat didik kau.. itu lebih baik dari kau kahwin dengan jantan kaki perempuan macam Rafiq tu. Lagi merana hidup kau.." Fiza memberi nasihat dan peringatan.

"Hmm..entahlah Fiza.." Ayra menghembuskan nafas yang bergelumang keluhan. Pandangan matanya diturunkan. Ayra mendiamkan diri sambil memikirkan sesuatu. Beberapa saat kemudian, seorang pelayan restoran menghampirinya untuk diambil pesanan dari Ayra. Gadis itu sedikit tersenyum kepada pelayan restoran sambil memesan segelas teh ais. Setelah pelayan restoran berpaling punggung dan menjauh, Fiza kembali bersuara, melanjutkan perbicaraannya bersama Ayra.

"So, macam mana kau dengan Harzan? best tak kahwin?"

"Apa maksud kau?" Ayra sepertinya tidak memahami makna pertanyaan sahabatnya itu. Dahinya berkerut sambil menatap wajah Fiza.

"Ish, kau ni.. itulah.. best tak buat tu?"

"Weh.. gila la kau ni.. benda dalam kain aku, kau tak perlu ambik tahu.." Wajah Ayra lantas merona kemerahan apabila memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Fiza. Ucapan dari Ayra segera disusuli oleh gelak ketawa dari Fiza yang cuba mengusiknya.

"Aku tanya je.. mana la tau, dari kau tak suka Harzan tu.. lepas dah buat, terus jatuh cinta ke." Fiza semakin galak menghamburkan tawa.

"Bongok la kau ni.. takde benda lain ke nak fikir.. lagipun aku masih uzur la.. Ish.. tak sanggup la aku nak bersama.. fikir pun dah rasa geli." Ayra tidak selesa untuk terus membicarakan soal hubungan suami isteri walaupun kepada teman baiknya. Baginya itu adalah rahsia yang tidak perlu diketahui oleh sesiapa pun. Malah Ayra turut berkata jujur kepada Fiza. Sepanjang perkahwinannya sejak beberapa hari yang lalu, dia masih tidak pernah bersama suaminya kerana keuzuran.

"Tak rasa lagi, memang la kau kata geli.. nanti dah rasa, baru kau tahu betapa nikmatnya.." Fiza masih tidak ingin berhenti mengusik Ayra. Ketawanya semakin terbahak-bahak.

"Ishh kau ni.. dah la.. tak payah nak cakap pasal tu.. lagipun aku memang takde perasaan pun kat Harzan tu. Kalau nak buat pun, aku hanya nak bersama orang yang aku sayang je."

"Aku pun bukannya tahu sangat pasal agama.. tapi setahu aku, seorang isteri wajib melayan suaminya. Kalau suami dah mintak, isteri wajib beri. Kalau tak, malaikat akan laknat si isteri yang taknak layan suami dia. Jangan sampai suami sakit hati sebab syurga seorang isteri tu tergantung kepada redha suami dia. Kalau suami tu meninggal ketika hatinya sakit dengan perbuatan isteri, tak bau syurga isteri tu."Fiza memberikan nasihat. Ayra termenung sejenak apabila mendengar kata-kata sahabatnya itu.

"Dah la kat rumah pun aku kena dengar ceramah ustaz Harzan.. kat sini, kau pulak yang nak jadi ustazah.." Ayra mencebikkan bibir. Fiza tertawa melihat telatah Ayra. Selesai menghabiskan tawa, Fiza masih tetap tersenyum sambil menatap Ayra tepat ke matanya.

"Syukurlah Ayra.. kau diberikan suami yang ada pengetahuan agama.. yang boleh didik kau.. mungkin Allah dah tetapkan jodoh kau dengan Harzan sebab Allah nak beri hidayah kat kau. Harzan tu hanya asbab untuk membimbing kau.. aku tengok kau berubah macam ni pun, aku dah gembira.. semoga aku pun boleh berubah macam kau suatu hari nanti." Fiza meluahkan isi hatinya dengan jujur. Ayra pula diam terbungkam. Ketika itu, pelayan restoran kembali dan meletakkan segelas air teh ais yang dipesan oleh Ayra sebentar tadi. Ayra memakukan pandangannya ke arah gelas air di atas meja. Titisan air jernih yang muncul di permukaan luar gelas ditatap Ayra. Kedinginan ais yang berada di dalam gelas mampu menghasilkan titisan air jernih di permukaan luar gelas. Mungkin begitulah hidayah yang dimasukkan ke dalam hati seseorang. Penampilan luaran seseorang mampu berubah dengan adanya hidayah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience